ANAK-anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa. Bayangkan ada yang
kahwin, tetapi tidak dikurniakan anak. Namun, jika belum ada rezeki
kenalah reda.
Ada yang berbelas tahun berkahwin baru dikurniakan anak. Tetapi, ramai ibu bapa yang murah rezeki hingga anak berderet-deret.
Saya masih ingat dalam satu program motivasi di Kuala Terengganu, ada
seorang ibu yang ada 17 anak. Pastinya banyak perbelanjaan yang perlu
dikeluarkan dan memerlukan kesabaran yang cukup tinggi mendidik dan
membesarkan mereka.
Seorang ibu boleh menjaga 17 anak, tetapi 17 anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu di hari tua. Kenapa begitu?
Seorang ibu boleh menjaga 17 anak, tetapi 17 anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu di hari tua. Kenapa begitu?
Sebabnya, ketika kita membesarkan anak-anak, kita berikan segala-gala–nya seperti makan, minum, pakaian, buku, kasih sayang, pelajaran dan agama tetapi kita lupa mendidik agar tidak lupa bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
Kita didik mindanya dan kita berikan keperluan fizikalnya, tetapi lupa mendidik hatinya.
Baru-baru ini, seorang guru bertanya kepada saya mengapa pelajar-pelajarnya yang mempunyai cita-cita menjadi orang hebat, tetapi tingkah lakunya tidak hebat.
Mereka bercita-cita menjadi doktor, jurutera, peguam, arkitek dan akauntan tetapi malas belajar, tidak memberikan tumpuan dalam kelas, pengurusan masanya lemah dan kerja sekolah tidak siap.
Jawapan saya ialah minda akan nampak apa yang hati mahu lihat. Apabila minda nampak barulah wujud tingkah laku positif.
Masalah pokoknya ialah hati tidak melihat. Mulut berkata bahawa apabila dewasa kita mahu menjadi doktor, tetapi hati membisikkan sebaliknya.
Sebab itu selagi hati tidak terdidik, maka apa pun tidak akan berlaku.
Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah dalam tubuh anak Adam, ada seketul daging.
Jika baik daging itu, baiklah seluruh anggota badan. Jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah, daging itu ialah hati.” (Riwayat al-Bukhari)
Ini membuktikan kita perlu menjaga, mendidik dan membersihkan hati agar terpancar akhlak dan tingkah laku yang baik.
Malah, dalam satu program motivasi, seorang peserta bertanya bagaimana caranya mahu memiliki gerak hati yang tepat dan mata hati yang tajam.
Jawapan saya ialah gerak hati dan mata hati yang hebat hanya dimiliki orang yang memiliki hati yang bersih, ikhlas, beriman dan bertakwa. Pendek kata, hati yang selalu ingat Allah.
Susah memang susah, tetapi perlu dilatih setiap hari. Tidak dapat banyak dapat sedikit pun syukurlah.
Apabila hati anak-anak bersih, belajarnya cepat faham, hafalan cepat ingat, apa yang dipelajari mudah dikeluarkan semula.
Jiwa mereka lebih tenang dan ibadat pun mudah dilaksanakan. Anak-anak yang berhati bersih tidak kedekut ilmu. Apa yang dipelajari dan diketahuinya diajar kepada orang lain dan kesannya mereka sendiri menjadi lebih ingat dan lebih faham.
Sebagai ibu bapa apa yang boleh kita lakukan bagi menjadikan hati anak terdidik?
Pertama, jaga keberkatan rezeki. Pastikan makanan yang disuapkan ke mulut anak itu dari sumber yang halal dan bukannya dari sumber yang haram seperti duit rasuah, judi, nombor ekor, curi tulang, penipuan dan penindasan.
Misalnya, kita diberikan gaji oleh majikan setiap bulan. Gaji itu dibayar atas andaian kita bekerja lapan jam sehari dan mencapai kualiti kerja yang dijanjikan. Adakah kita menepati janji itu?
Adakah kita mengganti semula waktu kerja yang digunakan bagi tujuan peribadi?
Pernahkah kita terfikir untuk datang lebih awal dan pulang lebih lambat tanpa membuat tuntutan kerja lebih masa semata-mata mahu menggantikan masa kerja yang dicuri itu?
Pernah atau tidak kita secara sedar membuat tuntutan palsu yang mungkin hanya beberapa ringgit nilainya?
Semua ini memberi kesan atas rezeki yang dibawa pulang. Hati anak-anak yang makan dari sumber yang haram pasti sukar dididik.
Kedua, untuk didik hati mesti sentiasa ‘online’ dengan Allah. Ilmu ini perlu kita ajarkan pada anak-anak. Ingatkan anak-anak kita bahawa sebagai manusia kita sentiasa melakukan kesilapan. Pesan pada mereka sentiasa beristighfar, berzikir hati dan lisan.
Sentiasa memulakan sesuatu dengan membaca basmalah. Menjaga solat lima waktu dan menghormati ibu bapa dan guru-guru.
Ramai anak-anak yang menggelarkan guru-guru mereka dengan pelbagai gelaran termasuk mengejek dan mengajuk.
Malah, dewasa ini ada yang berani belasah guru. Ini kesan hati yang tidak terdidik.
Ketiga, didik hati anak dengan memberikan pesanan yang baik-baik. Ramai ibu bapa merungut sebab mereka perlu menasihati dan menegur anak berkali-kali.
Sebenarnya, itulah salah satu peranan ibu bapa setiap hari iaitu menyampaikan pesanan berulang-ulang kali tanpa jemu.
Perhatikan iklan di televisyen, berapa kalikan ia dimainkan setiap hari? Banyak kali sebab bagi mempengaruhi minda untuk percaya dan bertindak atas satu-satu pesanan ia perlu proses pengulangan dan mengambil tempoh yang lama.
Jika hati anak tidak terdidik, mereka perlukan bantuan. Kalau ibu bapa tidak mampu membantu, atau sudah membantu tetapi belum berhasil, carilah orang lain untuk membantu.
Lakukan sedikit pengorbanan bagi melihat hasil yang besar dengan izin Allah. Hati lebih mudah terdidik apabila ia bersedia untuk berubah.
No comments:
Post a Comment