21.2.13

Bila KITA Tua!

pix_gal0
Malaysia menjadi negara menua menjelang 2030

Usia lanjut realiti kehidupan yang tidak boleh dielak. Selagi jangka hayat individu belum berhenti bernafas mereka perlu terus menjalani kehidupan.
Dengan tahap penurunan kesuburan dan peningkatan jangka hayat, menjadikan warga tua semakin ramai di negara ini. Malaysia akan menjadi sebuah negara menua menjelang tahun 2030.

Apabila usia meningkat, badan mudah terdedah kepada pelbagai risiko penyakit," Dr Khalid Abdul Kadir, Pakar Perunding Endokrinologi

Justeru, ia adalah satu cabaran kerana dalam tempoh 18 tahun akan datang, 15 peratus daripada populasi penduduk negara ini terdiri daripada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Jangkaan itu turut menjelaskan, Malaysia mencapai tahap negara menua hanya dalam tempoh 26 tahun iaitu lebih cepat jika dibandingkan dengan negara Eropah yang mengambil masa 100 tahun untuk mencapai tahap menua.

Persoalan utamanya ialah cabaran yang akan dihadapi warga tua. Oleh sebab penuaan adalah isu penting dan kompleks kerana ia merangkumi dimensi sosial, psikologi, demografi dan perubatan.

Proses semula jadi
Yang pasti, penuaan adalah proses semula jadi tidak boleh dielakkan tetapi ia turut menjadikan ramai risau mengenai perubahan fizikal dan penyakit bakal dialami akibat penyusutan daya tahan tubuh.

Seiringan dengan penuaan, tubuh bakal mengalami penurunan kadar penghasilan hormon pertumbuhan atau sistem edokrin yang penting untuk mengawal keseimbangan tubuh dan metabolisma seseorang.

Pakar Perunding Endokrinologi, Prof Datuk Dr Khalid Abdul Kadir, menjelaskan tubuh manusia akan mengalami penuaan secara semula jadi seiring peningkatan usia dan perkara itu sangat menarik walaupun tubuh mempunyai sistem agak rumit.

“Apabila usia meningkat, badan mudah terdedah kepada pelbagai risiko penyakit. Ini kerana, mereka yang lebih berusia secara semula jadi menghasilkan glukos dikenali sebagai Advanced Glycosylation End (AGE products - AGEs) yang menyebabkan penimbunan tisu.

“Seiring usia kelenjar pituitari semakin kurang mengeluarkan hormon dan kadar metabolisme tubuh juga menjadi perlahan. Dari situ tanda dan gejala penuaan semakin kelihatan,” katanya ketika perbincangan kesihatan mengenai 'Penuaan dan Hormon: Bagaimana Melalui Penuaan Tetapi Kekal Menawan di Pusat Perubatan Tropicana, baru-baru ini.

Hormon tumbesaran

Dr Khalid berkata, hormon tumbesaran dihasilkan kelenjar pituitari (kelenjar endokrin utama) membolehkan pertumbuhan dan mengawal metabolisma.

Katanya, pelbagai jenis organ dalam badan yang mengeluarkan hormon dan satu organ mengeluarkan beberapa jenis hormon dan pembebasan hormon dikawal selia oleh kelenjar dalam otak depan dipanggil hipotalamus.

“Kadar perkembangan hormon dalam kalangan kanak-kanak amat pesat berbanding dewasa. Semakin meningkat usia, hormon dihasilkan semakin berbeza antara lelaki dan wanita. Hormon itu juga mengalami penyusutan drastik ketika seseorang mencecah 25 tahun.

“Hipotalamus membebaskan satu jenis hormon bertindak merangsang organ lain dan membebaskan hormon yang berakhir dengan penghasilan satu bentuk tindak balas atau fungsi untuk tubuh.” jelasnya.

Kesan penuaan

Proses penuaan turut menyebabkan wanita dan lelaki mula berhadapan dengan pelbagai masalah hingga boleh memudaratkan diri, keluarga dan komuniti.

Katanya, individu melalui penuaan akan terdedah kepada tanda-tanda membimbangkan termasuk peningkatan kadar kemurungan dan kematian, penyusutan memori, kekurangan daya seks, kekuatan otot menyusut, penyakit kardiovaskular dan osteoporosis.

Katanya, lelaki lebih mudah berhadapan risiko masalah berkaitan jantung seperti strok, serangan jantung berbanding wanita dan anak muda kerana berlakunya age products menyebabkan proses pembaikan tisu berkurangan dan penghasilan hormon pertumbuhan semakin kurang.

“Paras gula tinggi dalam darah mempercepatkan pertambahan bahan AGEs dalam tubuh menyebabkan penimbunan tisu. Jadi, tidak hairan kebanyakan pesakit diabetes kelihatan lebih tua daripada umur sebenar.

“Paras gula tinggi juga menyebabkan risiko penyakit seperti kanser, tekanan darah tinggi dan pelbagai penyakit lain, ditambah faktor sekeliling, misalnya merokok dan bahan toksin daripada pencemaran," katanya.

Jaga gaya hidup

Kemerosotan fungsi dan struktur badan boleh berlaku sebelum masa dijadualkan jika tidak diberikan perhatian. Tanda awal penuaan tampak jelas apabila kulit menjadi kering dan mengecut.

Menyambung penjelasannya, pengecutan dan kejatuhan struktur itu turut membabitkan pada buah dada pada peringkat awal, kemudian diikuti menopaus (khusus kepada wanita) dan banyak fungsi penting dalam badan mula merosot.

“Mengamalkan gaya hidup sihat dan berkualiti dapat melambatkan proses penuaan. Alternatif lain boleh menjalani kaedah perubatan melalui terapi hormon disarankan pakar sebagai langkah selamat mengembalikan keceriaan kehidupan.

“Individu perlu mampu kekal sihat secara holistik jika mereka lebih bersifat positif dan banyakkan aktiviti seperti bersenam, berjalan, pengambilan diet betul dan elakkan makanan berkolesterol," katanya.

INFO: Simptom penuaan

* Paras hormon pertumbuhan membantu tubuh membesar, membentuk otot dan mengawal pembebasan hormon lain dalam badan.

* Kekurangan hormon pertumbuhan boleh menyebabkan tubuh menjadi lemah dan mungkin terhenti kerana fungsi badan bergantung pada hormon itu.

* Hormon testosteron penting bagi lelaki dan estradiol (estrogen) buat wanita.

* Penuaan juga dikaitkan dengan perubahan dalam hormon dikenali sebagai menopaus bagi wanita dan endropaus bagi lelaki.

* Kira-kita 70 peratus dari penyusutan penghasilan hormon dikaitkan dengan persekitaran dan 30 peratus dari faktor genetik.

* Hampir 70 peratus lelaki mengalami keretakan tulang belakang akibat penuaan.

* Peningkatan usia menyebabkan lelaki lebih berdepan risiko menghidap penyakit berbahaya seperti sakit jantung dan strok berbanding wanita disebabkan peningkatan sel tisu daripada AGEs .

FAKTA: Jangka hayat penduduk Malaysia

Kajian pada 2009
* Usia lelaki - 72.6 tahun
* Usia Wanita - 77.5 tahun

Kajian pada 1980
* Usia lelaki - 63.5 tahun
* Usia wanita - 67.1 tahun

No comments: