19.10.09

Penyingkiran pertama Penyampai Ikon

Penyingkiran pertama Penyampai Ikon


PARA peserta berdebar-debar setiap kali juri profesional memberi komen.


PROGRAM realiti mencari penyampai berita yang pertama terbitan RTM, Penyampai Ikon, baru sahaja melalui penyingkiran pertama dengan menyingkirkan tiga orang peserta Khamis lalu.

Bersiaran pada pukul 8.30 malam di TV2, program ini menyaksikan tiga orang peserta,

Mohd. Sharkawi Mohd. Salehuddin, 23; Noormadiana Kamaluddin, 23; dan Norsila Talaha, 26, disingkirkan setelah lapan minggu berada di dalam program itu.

Penyingkiran

Penyingkiran mereka diputuskan secara konsensus oleh juri profesional yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Chamil Wariya, Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin dan pensyarah di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah.

Menurut Pengetua dan Penerbit Eksekutif Penyampai Ikon, Yusanani Yushak, penyingkiran mereka dibuat berdasarkan prestasi mereka yang dinilai lemah dalam penyampaian berita dan laporan lokasi.

"Bagaimanapun penyingkiran itu tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan perjuangan mereka di Kolej Penyampai Ikon.

"Walaupun mereka tersingkir, tetapi mereka kekal sebagai pelajar sehingga program itu tamat.

"Cuma mereka tidak akan muncul sebagai calon-calon Penyampai Ikon dalam program realiti ini mulai tarikh penyingkiran mereka," ujarnya kepada Hits di sini baru-baru ini.

Tambah Yusanani, 14 peserta ini akan melalui lagi dua kali penyingkiran bagi memilih lima orang finalis yang akan berentap di pentas final Penyampai Ikon yang pada 8.30 malam dari Istana Budaya pada 14 November ini.

Peserta yang masih tinggal untuk meneruskan perjuangan ialah Kamal Firmanshah Kamaluddin, 25; Siti Aisyah Baslie, 24; Cassandra Manja, 23; Athikah Mohd. Naim, 23; Aina Suzaily M. Zailanny, 20; Mohamed Shahril Sarapudin, 21; dan Enzyfrido Abu Hasan, 24.

Tujuh lagi peserta ialah, Nur 'Izaati Abul 'As, 22; Hazel Anak Desmond, 26; Siti Fazurita Mohd. Famir, 25; Beatrice Krishnan, 23; Al Firdaus Shahrul Naing, 21; Khirjaa a/p Palanisamy, 27; serta Khairul Faizi Dalaiil, 23.

Tidak seperti program realiti yang lain, penyingkiran dalam Penyampai Ikon diputuskan sepenuhnya oleh panel juri profesional yang menilai hasil kerja mereka dalam bidang penyampaian berita dan membuat laporan di lokasi.

Antara aspek yang dinilai oleh juri profesional termasuklah disiplin penyampaian, penampilan dan keterampilan dan kandungan laporan editorial .

Program Penyampai Ikon, yang bermula pada pertengahan Ogos lalu adalah usaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk melatih bakat-bakat baru dalam bidang kewartawanan telelvisyen, penyampaian berita dan pengacaraan program-program ehwal semasa Radio dan Televisyen Malaysia.

17 orang peserta dari seluruh negara telah dipilih untuk menyertai program itu melalui uji bakat yang telah diadakan.

Selama tiga bulan mereka diberi latihan intensif dalam bidang kewartawanan siaran oleh tenaga pengajar yang mahir dalam dunia itu.

No comments: