22.7.09

Apabil Manusia Tidak Mahu Untuk BerTuhankan Ilahi!

Artikel yang ditulisnya ini menceritakan tentang manusia yang inginkan kerohanian tetapi tidak mahu bertuhankan penciptanya ALLAH.... mereka berselindung disebalik "kerohanian" tanpa mengikat diri dengan Agama.....


Akhirnya apa yang dicari tidak kemana.... pencipta ajaran kerohanian tanpa bertuhan ini akan kaya raya.....

Mudahnya mencari dunia dengan kerohanian


====================================================

Kapitalis agama manusia Barat

Chopra secara terang-terangan ingin menjadi kaya melalui ajaran-ajaran kerohanian yang dibawanya.


SEBAHAGIAN daripada buku-buku Chopra yang membicarakan tentang isu-isu spiritual.



DEEPAK CHOPRA


DIA bersahabat akrab dengan Micheal Jackson, bahkan pernah menjadi doktor spiritual kepada Raja Pop itu.

Menunjukkan keakrabannya dengan Micheal Jackson atau mesra dengan panggilan Jacko, dalam satu wawancara bersama Larry King Live CNN, Deepak Chopra menyalahkan para doktor moden yang terlalu banyak memberi ubat-ubatan kepada Jacko.

Perkara tersebut dikatakan salah satu punca kematian Jacko. Beliau yang bersahabat dengan Jacko lebih dua dekad bukan saja akrab dengan Jacko, malah Madonna, Demi Moore, Shirlay Mcline dan selebriti Hollywood yang lain juga berguru dengannya.

Majalah TIME pernah melabelkannya sebagai The Emperor of Soul.

Penulis spiritual

Itulah sosok Chopra, seorang doktor psikologi kelahiran India. Pendekatan spiritual Chopra menggabungkan khazanah spiritual yang terdapat dalam Buddhisme, Judaisme, Hinduisme dan Kristian.

Malah Chopra terkenal dengan khutbah-khutbah yang berjaya memikat hati selebriti Hollywood yang mewah dengan kekayaan tetapi kosong dari segi spiritual kehidupan.

Inilah yang menjadikan Chopra terkenal bahkan kaya dengan pendekatan spritualnya. Buku-bukunya yang berunsur mistik menjadi best seller. Antara karyanya yang masyhur ialah The Seven Spiritual Law of Success, Journey into Healing: Awakening The Wisdow within You, Overcoming Addictions: The Spritual Solution, The Path to Love: Spiritual Strategies for Healing dan Quantum Healing : Exploring the Forntiers of Mind, Body, Medicine.

Hal ini menjadikan Chopra sebagai penulis buku-buku spiritual paling laris dan popular di dunia masa kini.


MICHEAL JACKSON


Turut menjadi best seller ialah kumpulan ceramahnya dalam bentuk audio kaset. Dengan kejayaan perdagangan segera, Chopra dinobatkan TIME sebagai seorang tokoh The 20th Century's Most Prominent Figure.

Apa yang menarik, setiap yang ditulis dan diajar oleh Chopra benar-benar memberi kesan kepada orang yang mengikuti programnya.

Tambah menarik lagi tentang Chopra ialah kegagalannya dalam perniagaan klinik terapi di India. Beliau dalam keadaan terdesak mencari peluang perniagaan, akhirnya menghidu peluang di Amerika Syarikat (AS).

Chopra cepat membaca tentang kehausan masyarakat Amerika terhadap ajaran-ajaran kerohanian.

Pada ketika itu, gerakan agama New Age sedang berkembang dan mendapat sambutan luar biasa.

Klinik terapi

New Age begitu popular kerana meyakinkan orang ramai bahawa cara yang paling segera dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan sosial dan peribadi yang sememangnya telah menjadi sebahagian daripada krisis kebudayaan Barat, hanyalah dapat diselesaikan dengan hubungan yang disebut sebagai kesedaran tinggi.

Gerakan New Age pada umumnya cenderung kepada ajaran-ajaran kerohanian Timur. Namun, pada hakikatnya gerakan ini menolak ajaran agama yang bersifat formal seperti Islam dan Kristian. Apa yang menarik bagi mereka hanyalah aspek kerohanian dan bukan soal hukum-hakam.

Oleh itu lahirlah slogan terkenal mereka Spirituality Yes!, Organized Religion No!

Menyedari fenomena ini, Chopra membuka klinik terapinya dan mula menawarkan ajaran kerohanian segera yang menggabungkan pelbagai ajaran agama untuk menyelesaikan masalah dalaman manusia Barat dalam mencari erti kehidupan.

Buku The Spiritual Law of Success telah menjulang namanya dan dicetak lebih enam kali. Paling menarik, Chopra telah menyunting sebuah buku bertajuk, The Love Poems to Rumi yang berisi kumpulan puisi kerohanian Jalaludin Rumi. Chopra dalam kata pengantar buku tersebut menulis: 'Kumpulan puisi ini mencerminkan kerinduan mendalam jiwa manusia tatkala menjalani pencarian ketuhanan.'

Guru spiritual

Sebagai guru spiritual terkenal, Chopra juga digelar poet-prophet of alternative medicine daripada klien dan anak muridnya menyatakan bahawa dirinya tidak terikat dengan sebarang agama.

Bahkan secara tegas, Chopra membuat garis pemisah antara agama dan spiritual.

"Personally, I'm not one for religion at all. I make a bid distinction between religion and spirituality", kata Chopra dalam sebuah bukunya. Bersama dengan dakwaan tersebut, Chopra berkhutbah tentang asal-usul alam semester, kewujudan Tuhan, meditasi, keharmonian hubungan akal dan jiwa.

Tanpa identiti agama, Chopra boleh bergerak ke mana sahaja sesuai dengan aliran kebanyakan masyarakat.

Fenomena Mc Spirituality ala Chopra menjadi corak baru yang diminati. Tanpa memeluk sebarang agama, seseorang itu boleh mengamal ajaran-ajaran kerohanian dan sang guru hanya mengambil aspek kerohanian tertentu sahaja untuk diformulasikan sebagai satu bentuk ajaran baru.

Barangkali Chopra boleh juga kita gelar sebagai kapitalis agama yang mengaut keuntungan atas nama ajaran agama-agama. Lalu, apa bezanya Chopra dengan para ustaz yang sering menawarkan pakej-pakej pengajaran agama?

Apa yang membezakan Chopra secara terang-terangan beliau ingin menjadi kaya melalui ajaran-ajaran kerohanian yang dibawanya. T

Harapan

Fenomena segera Mc Spirituality ala Chopra menunjukkan apa sahaja benda boleh diperniagakan, asalkan bijak membaca peluang termasuk apa sahaja atas nama agama.

Chopra sebenarnya merupakan kapitalis yang memberi harapan hidup kepada manusia Barat. Maka untuk mencari hidup lebih bermakna, mereka harus membayar harga yang mahal kepada Chopra.

"Saya tidak menjual pronografi tetapi saya menjual kebijaksanaan. Saya tidak menjual rokok tetapi saya mengerjakan sesuatu yang manfaat bagi umat manusia", kata Chopra dalam buku Overcoming Addictions: The Spiritual Solutions.

Terhadap kekayaannya yang menggunung, Chopra menjawab, "I have created enormous wealth in my life, but I've spent it off. Wealth is energy that is part of the energy of the universe, and the universe is extravagant, abundant, wasteful. In every seed there's a promise of thousands of forests.. I don't accumulate wealth. I generate it". Alangkah bijaknya Chopra, satu jawapan berbudi bahasa daripada seorang kapitalis agama.

No comments: