Banyak pihak tersentuh dengan kepekaan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang sanggup mencemar duli turut menyertai rakyat jelata bergotong-royong membersihkan persekitaran Pantai Sri Tujoh, Tumpat pada Sabtu lalu.
Pantai Sri Tujoh merupakan antara pantai yang dianugerah oleh Allah SWT kepada penduduk Kelantan yang sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya, bukan sahaja sebagai tempat beriadah bersama seisi keluarga, malah boleh dijadikan sumber ekonomi sekiranya dimajukan sebaik-baiknya.
Namun, sama seperti kebanyakan pantai lain termasuk Pantai Cahaya Bulan, Sri Tujoh turut dicemari oleh 'tangan-tangan kotor' pengunjungnya yang sesuka hati membuang sampah-sarap sehingga menyakitkan mata memandang.
Lantaran itu, sikap cakna Sultan Muhammad seharusnya dijadikan teladan oleh semua pihak, terutama pemimpin kerajaan negeri supaya turut sama-sama menggerakkan usaha secara bersepadu untuk membersihkan negeri ini daripada kekotoran sampah-sarap.
Janganlah pemimpin kerajaan negeri hanya 'kemaruk' berceramah politik siang malam bagi memastikan kelangsungan kuasa masing-masing. Janganlah hanya berdemonstrasi secara haram di jalanan kononnya bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil, tetapi kekotoran di depan mata dan di sekeliling mereka tidak pula terfikir untuk membersihkannya.
Lebih daripada itu, teguran baginda supaya rakyat jelata menjaga kebersihan termasuk tandas masjid, wajar dipandang serius, sesuai dengan imej Kelantan sebagai Negeri Serambi Mekah dan ditadbir oleh sebuah parti yang memperjuangkan Islam.
Sebagaimana dititahkan oleh baginda al-Sultan, kebersihan merupakan sebahagian daripada iman. Ini bermakna, tidak lengkap iman seseorang muslim itu sekiranya ia mengabaikan aspek kebersihan dalam kehidupan sehariannya.
No comments:
Post a Comment