Perhimpunan haram gagal
POLIS melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan aktivis Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Selepas dua bulan mencanang propaganda untuk menarik penyertaan 300,000 orang, perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang berlangsung di ibu negara semalam menemui kegagalan apabila sekadar menarik 6,000 orang menyertainya.
Lebih mengecewakan, perhimpunan haram itu menyaksikan para pemimpin kanan pembangkang yang selama ini berselindung di sebalik nama Bersih turut gagal menyerahkan memorandum tuntutan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara sebagaimana dijanjikan.
Kegagalan Bersih yang dianggotai oleh 62 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu jelas berpunca daripada tindakan proaktif polis mengadakan kawalan keselamatan sejak kelmarin.
Tindakan tegas polis bermula dengan sekatan jalan raya di kesemua laluan masuk ke Kuala Lumpur serta penutupan 58 batang jalan dan kawasan tumpuan di pusat bandar sejak pukul 12.01 tengah malam semalam.
Kecekapan anggota polis membuat sekatan tersebut lebih awal telah berjaya menjejaskan komplot Bersih menyeludup masuk lebih ramai penyokong sekali gus mencetuskan huru-hara.
Lebih 1,000 anggota polis lengkap dengan trak meriam air serta helikopter dikerah mengawal kawasan-kawasan tumpuan para pengacau berhimpun sejak pagi.
Sengaja masuk KL untuk ditahan
KHAIRY (tengah) ditahan ketika berhimpun di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Polis menyifatkan pemimpin-pemimpin tertinggi pembangkang sengaja membiarkan diri mereka ditahan apabila tetap memasuki ibu negara walaupun mahkamah mengeluarkan perintah melarang mereka berbuat demikian pada Khamis lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya telah menahan seramai 1,667 individu yang terlibat dalam perhimpunan haram tersebut termasuk 151 wanita dan 16 kanak-kanak.
Katanya, turut ditahan dalam perhimpunan tanpa permit itu ialah 12 pemimpin parti pembangkang dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
"Antara pemimpin yang ditahan termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga; Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
"Turut ditahan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen kawasan Batu, Tian Chua," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.
Beliau berkata, pemimpin yang ditahan itu dilihat sengaja membiarkan diri mereka ditahan polis dengan berhimpun di kawasan yang telah dilarang kepada mereka.
Menurut Ismail, polis menganggarkan antara 5,000 dan 6,000 orang berkumpul di dua lokasi dekat Jalan Pudu dan pekarangan Stadium Merdeka dan berarak menuju ke Dataran Merdeka.
==========
1,401 orang ditahan polis
Oleh A NGELINA SINYANG
dan WANDA IDRIS
|
ISMAIL Omar menunjukkan suspek penangkapan yang berada di pusat tahanan Pulapol dilayani sebaik-baiknya pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH |
KUALA LUMPUR 9 Julai – Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin merupakan antara 1,401 orang yang ditahan polis kerana menyertai perhimpunan haram di ibu negara hari ini.
Turut ditahan, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu; dua Naib Presiden parti itu, Datuk Mahfuz Omar dan Salehuddin Ayob, Pengerusi Kelab 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua serta Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa.
Ambiga dan Abdul Hadi yang masing-masing dibawa untuk siasatan lanjut ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, bagaimanapun dibebaskan selepas keterangan mereka dirakamkan pada pukul 6.30 petang ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, sejak pukul 9 pagi hingga 5 petang, polis telah membuat 1,401 tangkapan membabitkan 1,273 lelaki, 115 wanita, 12 orang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan untuk siasatan dan sebahagian besarnya dibawa ke Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) Jalan Semarak.
“Selesai sahaja siasatan, Insya-Allah semua mereka akan dijamin atau mungkin ditahan lanjut bergantung kepada hasil siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Menurut Ismail, perhimpunan haram diadakan di dua lokasi iaitu Jalan Pudu berhampiran Hentian Puduraya dan luar Stadium Merdeka itu berlaku setelah polis menolak permohonan permit kepada kumpulan terbabit untuk mengadakan perhimpunan dalam stadium-stadium di ibu negara.
Beliau berkata, kumpulan terbabit dianggarkan berjumlah antara 5,000 hingga 6,000 orang itu mulai keluar kira-kira pukul 2 petang dan berkumpul di dua lokasi berkenaan.
“Bagi kumpulan yang berhimpun di Jalan Pudu, mereka bergerak dan berkumpul menuju ke Dataran Merdeka.
“Apabila mereka disekat oleh anggota polis yang bertugas, diberikan nasihat dan amaran bersurai, mereka enggan bersurai sebaliknya bertindak merempuh pasukan keselamatan sedang bertugas,” katanya.
Beliau berkata, tindakan tersebut menyebabkan anggota polis dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tiada pilihan dan terpaksa menyembur gas pemedih mata serta pancutan air ke arah mereka.
Beliau berkata, polis juga berjaya menghalang kumpulan yang berhimpun di luar Stadium Merdeka daripada memasuki stadium berkenaan.
Ismail berkata, kumpulan yang berkumpul di Jalan Pudu bagaimanapun didapati kembali berkumpul di hadapan pusat beli-belah KLCC dan Menara Maybank tidak lama selepas itu.
“Mereka sengaja kembali berkumpul untuk menunjukkan seolah-olah perhimpunan haram ini berlaku di serata Kuala Lumpur walaupun sebenarnya hanya melibatkan dua lokasi,” katanya.
Sementara itu, mengenai semua penunjuk perasaan yang ditahan semasa menyertai perhimpunan haram di ibu negara hari ini, katanya, mereka menerima layanan baik daripada polis.
Ismail berkata, mereka yang ditahan di Pulapol, disediakan makanan, rawatan perubatan dan juga tempat untuk bersolat.
“Pergilah melawat sendiri ke Pulapol (kalau tidak percaya mereka dilayan baik). Lihatlah tempat makan (mereka,) macam kenduri kahwin sedangkan mereka orang tahanan.
“Saya beri pengesahan semua yang ditahan ini diberi layanan baik. Selesai sahaja siasatan, Insya-Allah... semua mereka akan dijamin atau ditahan lanjut bergantung kepada hasil siasatan,” katanya.
Ismail yang turut menunjukkan beberapa keping gambar keadaan tahanan terbabit sebagai bukti berkata, selain memberi makanan, pihaknya turut menyediakan doktor dan pembantu perubatan bagi merawat mereka yang mengadu tidak sihat.
======
Polis berjaya kekang Bersih
BEBERAPA perusuh bertindak liar dengan membaling objek ke arah trak polis yang mengawal rusuhan perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 9 Julai – Langkah pencegahan awal yang diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menggagalkan usaha penganjur Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk berarak dan berhimpun secara haram di ibu negara hari ini.
Langkah polis membuat sekatan jalan raya selain menutup laluan utama menuju ke Kuala Lumpur membolehkan keadaan di ibu negara terkawal meskipun peserta perhimpunan haram terus berdegil dengan cuba merempuh sekatan polis untuk meneruskan perarakan.
Sejak malam tadi sehingga pukul 5 petang ini, polis menahan seramai 1,401 orang yang menyertai perhimpunan haram itu termasuk pemimpin kanan parti pembangkang, penganjur Bersih, Datuk S. Ambiga dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Selain kedua-dua pemimpin itu, antara yang ditahan ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Mohamad Sabu; dua Naib Presiden parti itu, Datuk Mahfuz Omar dan Salehuddin Ayob serta Pengerusi Kelab 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Sebelum ini juga, terdapat maklumat yang mendakwa penunjuk perasaan dari Kedah diberi imbuhan sebanyak RM200 untuk menghadiri perhimpunan haram berkenaan.
Berdasarkan maklumat pasukan keselamatan, dianggarkan 6,000 penunjuk perasaan menyertai perhimpunan haram itu hari ini yang kebanyakannya berkumpul di lima lokasi antaranya Jalan Petaling, berhampiran Kompleks Dayabumi, Masjid Jamek, Jalan Pudu dan pusat beli-belah Sogo.
Pada kira-kira pukul 2 petang penunjuk perasaan yang kononnya mahu berhimpun secara aman mulai bertindak agresif di Hentian Pudu Raya dan Menara Maybank.
Mereka yang menguasai sekitar kawasan itu selepas berarak dari beberapa laluan, mula bertindak di luar kawalan selepas gagal melepasi sekatan pihak berkuasa.
Beberapa penunjuk perasaan cuba merempuh sekatan jalan raya dan menimbulkan suasana huru-hara dengan mencemuh dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis yang bertugas mengawal keselamatan.
Akibatnya, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata serta menembak meriam air ke arah penunjuk perasaan.
Penyokong Bersih juga dikesan menyamar sebagai penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Jalan Sultan Hishamuddin di sini, selepas diusir pihak polis dari Masjid Negara.
Keadaan itu mengakibatkan bangunan KTMB sesak dengan orang ramai yang dianggarkan berjumlah 1,000 orang sejurus polis menyuraikan mereka pada pukul 8.30 pagi.
Berikutan itu, pihak pengurusan KTMB mengarahkan kumpulan penyokong tersebut beredar menyebabkan berlaku kekecohan sehingga memaksa 200 individu ditahan.
Apa yang menyedihkan, orang Melayu merupakan majoriti yang menyertai perhimpunan haram itu dengan sebahagian besar daripadanya adalah golongan muda dipercayai penuntut universiti.
Beberapa wanita dan kanak-kanak serta orang kelainan upaya termasuk berkerusi roda turut diheret bersama-sama menyertai perhimpunan haram itu.
Pasukan keselamatan berjaya menyuraikan penyokong Bersih kira-kira pukul 5 petang ini.
============
Pembangkang pesong niat Bersih
KUALA LUMPUR 9 Julai - Penglibatan pemimpin pembangkang yang membawa agenda 'reformasi' semasa menyertai perhimpunan haram Bersih di ibu negara jelas memesongkan tujuan utama perhimpunan itu diadakan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, agenda yang dilaungkan itu dilihat lebih menonjol berbanding apa yang disuarakan mereka mengenai tuntutan Bersih sebelum ini.
''Dalam insiden yang berlaku, jelas kritikan terhadap peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak kedengaran. Penganjur perhimpunan hilang peranannya dan gagal mengawal keadaan.
''Bukan lagi soal SPR yang timbul tetapi sebaliknya penglibatan pemimpin parti politik pembangkang telah menjadi lebih menonjol dengan agenda jauh berbeza dengan apa yang mereka umumkan sebelum ini.
''Mereka terus menerus melaungkan reformasi dan mencetuskan kacau ganggu. Perhimpunan ini ternyata hilang arah dan penganjur perhimpunan perlu bertanggungjawab di atas kejadian yang telah tercetus,'' katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata, tindakan pembangkang yang berterusan membohongi rakyat termasuk tergamak mencetuskan huru-hara cukup dikesali dan mereka langsung tidak menunjukkan tanggungjawab terhadap masa depan negara.
Mereka, jelasnya, ternyata mempunyai tujuan jahat dan hanya mahu mencetuskan kekacauan serta bermatlamat agar masyarakat antarabangsa mempunyai persepsi negatif terhadap negara ini.
''Pembangkang mahu Malaysia dilihat sebagai tidak stabil dan akhirnya akan membawa kepada pelbagai kesan termasuk kekacauan terhadap ekonomi dan menjatuhkan kerajaan yang telah dipilih secara demokratik.
''Justeru, kerajaan akan tetap mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen, Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dengan menggunakan segala peruntukan sedia ada daripada sebarang anasir yang cuba merosakkan dan mencabuli kehendak majoriti rakyat,'' katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, penyertaan penyokong Bersih dalam perhimpunan haram jelas menampakkan niat dan hasrat mereka untuk menghuru-harakan negara dan mengharapkan mereka ditahan bagi menggambarkan kekejaman kerajaan.
''Kita bersyukur kerana polis berjaya mengawal keadaan dan berjaya melaksanakan tugas dengan baik walaupun dicabar dan menerima provokasi oleh mereka yang berdemonstrasi.
''Segala tindakan ini berjaya menghindari daripada berlakunya perbalahan, kecederaan dan sebarang kemungkinan lain yang lebih serius seperti pertumpahan darah dan kehilangan nyawa.
''Saya juga bersyukur kerana pihak berkuasa telah membuat siasatan yang rapi dan menjalankan tugas dengan sebaiknya termasuk berjaya merampas pelbagai senjata, bom, bahan kimia dan bahan-bahan bakar lain sehingga pihak berkenaan tidak dapat menggunakannya dalam perhimpunan hari ini,'' tambahnya.
======
Tiada lepas tindakan undang-undang
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
dan MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA
utusanterengganu@utusan.com.my
Sebahagian daripada tahanan perhimpunan haram Bersih diberi layanan baik dengan penyediaan makanan oleh polis di Pulapol, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar ihsan PDRM
KUALA TERENGGANU 9 Julai – Sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang negara dengan melakukan perhimpunan haram tidak akan terlepas daripada tindakan tegas pihak polis tanpa mengira sama ada mereka menentang atau menyokong kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika memberi peringatan itu berkata, tanggungjawab polis adalah menjaga keselamatan dan keamanan negara daripada ancaman pelbagai anasir yang boleh mencetuskan huru-hara dan mengganggu-gugat keharmonian negara.
Katanya, dalam sistem demokrasi berparlimen, kerajaan memberi ruang kepada mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan untuk melahirkan perasaan tidak puas hati dan mereka ada cara untuk melakukannya tanpa melakukan perhimpunan haram.
Beliau berkata, kerajaan telah mencadangkan pihak berkenaan mengadakan perhimpunan di stadium untuk mereka berhimpun dan membuat ucapan dengan aman serta mengemukakan tuntutan.
“Itu tawaran sangat baik yang disediakan oleh kerajaan. (Sekarang) kalau ada tindakan, dia kena hadapi sama ada dia sokong kerajaan atau menentang kerajaan,” katanya selepas menyampaikan hadiah Kejohanan Sukan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia di Stadium Negeri, di sini, hari ini.
Perdana Menteri diminta mengulas penahanan beberapa pemimpin kanan parti pembangkang yang menyertai perhimpunan haram Bersih di ibu negara, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyertai perhimpunan kumpulan Patriot di Jalan Bukit Bintang.
Menurutnya, kerajaan tidak akan membiarkan perhimpunan haram diadakan oleh mana-mana pihak termasuk penyokong kerajaan atau pembangkang kerana ia tidak membawa kebaikan kepada negara dan rakyat.
“Kalau Bersih buat, pihak kerajaan pun buat, jadi di mana kesudahannya. Apa akan jadi pada negara kalau saban hari ada demonstrasi jalanan?
“Cara seperti ini akan menimbulkan keadaan huru-hara yang akan merosakkan ekonomi negara dan keyakinan orang luar kepada Malaysia. Apakah ini yang kita hendak?” soalnya.
Najib bersyukur kerana majoriti rakyat cintakan keamanan apabila tidak terikut-ikut dengan demonstrasi jalanan Bersih yang cuba membawa huru-hara dan mencemarkan imej negara.
Menurutnya, mereka yang selama ini menjadi ‘majoriti senyap’ sewajarnya bangkit bersuara dengan pelbagai cara untuk menunjukkan bahawa mereka mahu keharmonian dan ketenteraman negara tidak diganggu-gugat.
Beliau seterusnya mengucapkan tahniah kepada pasukan keselamatan khususnya polis yang telah bertindak untuk menyuraikan perhimpunan itu dengan sebaik-baiknya.
“Saya bersyukur kerana ia berakhir dengan keadaan yang tidak membawa kesan yang terlalu berat terutama kepada rakyat dari segi kerosakan harta-benda dan sebagainya,” ujar beliau.
=======
Anwar pakar 'jalan belakang'
KUALA LUMPUR 9 Julai - Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa memperalatkan Datuk S. Ambiga untuk memimpin perhimpunan haram pada kali ini kerana tahu rakyat sudah sedar putar belit dan lakonan beliau.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, rakyat juga sudah tidak percaya kepada Anwar dan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail termasuk anaknya, Nurul Izzah untuk memimpin perarakan.
"Sekali lagi Anwar membuktikan dirinya adalah pakar mendapatkan sesuatu dari 'jalan belakang'. Kita mahu tahu berapa banyak upah yang dibayar kepada Ambiga sehingga sanggup menjadi kuda tunggangan Anwar.
"Sehingga kini juga Ambiga masih belum memberi respons kepada pertanyaan dari Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin mengenai apa hukuman dari segi undang-undang jika seseorang itu membuat laporan palsu kepada polis," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Kira-kira 10,000 penyokong Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) tetap berdemonstrasi di sekitar ibu kota hari ini meskipun dihalang oleh pihak berkuasa.
Antara yang ditahan pada perhimpunan haram itu ialah Ambiga bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin pembangkang lain.
Dalam pada itu, bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, Ambiga telah dikambinghitamkan oleh Anwar supaya kerajaan, musuh politik termasuk rakyat keseluruhannya tidak lagi memberi tumpuan kepada kes yang sedang dihadapi beliau sekarang.
Katanya, perhimpunan Bersih pada hari ini juga bertujuan menarik perhatian rakan sekutu Yahudi dan negara luar seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia sebagai mendapat simpati politik dan salah guna kuasa.
"Anwar mempergunakan Ambiga yang merupakan seorang penyokong murtad hanya untuk menilai dan mengkaji keteguhan iman dan pemikiran masyarakat Melayu Islam serta pemimpin ulama adakah mereka masih masih lagi kuat dan semangat kasihkan sesama bangsa dan Islam.
"Justeru, ideologi Parti Komunis Malaya (PKM) secara tidak langsung mudah untuk diserap masuk dalam pemikiran rakyat," katanya.
=================
Anwar gagal lagi - Ezam
KUALA LUMPUR 9 Julai - Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi gagal apabila matlamatnya untuk mengumpulkan ratusan ribu peserta menyertai perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini jauh meleset daripada sasaran.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor berkata, matlamat pemimpin pembangkang itu ialah untuk menimbulkan keadaan huru-hara sehingga melumpuhkan negara supaya beliau terlepas daripada dakwaan kes liwat.
Tambahnya, sebagai seorang yang pernah mengetuai perhimpunan seperti itu, beliau cukup masak dengan agenda sebenar di sebalik Bersih kerana skrip dan matlamatnya tetap sama walaupun jenama berbeza.
"Saya terus berdoa mereka yang diperalatkan hari ini diberi pertunjuk seperti mana Allah berikan petunjuk kepada saya, siapa dan apa agenda manusia ini,'' katanya.
===========
Mereka mula membentuk kumpulan-kumpulan kecil dengan berhimpun dan berarak seawal pukul 8 pagi dari beberapa lokasi.
Antara lokasi tersebut ialah Masjid Negara, Masjid India, Pasar Seni, Jalan Raja Chulan, Kampung Baru dan Jalan Pudu-Bukit Bintang, Hentian Puduraya dan Menara Maybank sebelum berarak dalam hujan ke Stadium Merdeka.
====================
Anwar cuba wujud provokasi ke atas polis
KUALA LUMPUR 9 Julai - Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menghalang tugas penjawat awam ketika menyertai perhimpunan haram di ibu negara hari ini menyebabkan pasukan itu terpaksa melepaskan gas pemedih mata ke arah kumpulan penunjuk perasaan itu.
Kejadian ketika hujan lebat itu berlaku di sebuah terowong di KL Sentral apabila Anwar bersama ratusan penyokongnya berarak dari Hotel KL Hilton.
Bagaimanapun, setelah disekat oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) agar tidak meneruskan perarakan, Anwar serta para penyokongnya cuba mengganggu tugas penjawat awam dengan menimbulkan provokasi.
Berikutan kejadian itu, Anwar mendakwa dia mengalami kecederaan di kepala selepas terkena semburan gas pemedih mata.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya terpaksa bertindak sedemikian kerana penunjuk perasaan itu enggan berganjak selepas arahan dikeluarkan untuk bersurai.
"Kumpulan penunjuk perasaan itu cuba menimbulkan provokasi dengan tidak berganjak selain menyebut perkataan 'serang' pihak polis," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ditanya mengenai dakwaan pembangkang bahawa polis menembak tepat gas pemedih mata ke arah kumpulan itu, Khalid berkata, polis tiada pilihan lain kerana lokasi kejadian itu berlaku di dalam terowong laluan bas berhampiran KL Sentral.
"Cuba fikir, adakah kita kena tembak atas sedangkan di situ ada terowong?," katanya.
========
Perhimpunan haram: Anwar dakwa perhimpunan capai matlamat
2011/07/10
Yakin sistem pilihan raya negara berubahPENASIHAT Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap perhimpunan haram yang dianjurkan semalam, sebagai berjaya dan optimis akan berlaku perubahan dalam sistem pilihan raya seperti berlaku di luar negara.
Beliau bagaimanapun menganggap penahanan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi pertubuhan haram BERSIH, Datuk S Ambiga serta beberapa tokoh politik pembangkang sebagai biadab.
“Saya menganggap perhimpunan ini sebagai berjaya walaupun polis bertindak kejam,” katanya pada wartawan di Hospital Pantai di sini, semalam.
“Saya bergantung kepada alat bantuan pernafasan kerana terhidu gas pemedih mata yang dilepaskan dan sudah melakukan imbasan di kepala. Tiada kecederaan serius dan mungkin hari ini saya akan keluar hospital,” katanya.
Sementara itu, Ambiga berkata, walaupun jumlah yang menyertai perhimpunan haram itu tidak seperti dicanang dan dapat dikawal polis, tetapi ia satu kejayaan.
“Ini bukan sekadar desakan mengubah sistem pilihan raya yang lebih telus. Kami tidak gentar dengan ancaman,” katanya selepas dibebaskan daripada tahanan polis petang semalam.
Turut dibebaskan petang semalam ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ahli jawatankuasa pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah dan Yudas Rubis serta Nurul Iman, anak bongsu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum itu, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menegaskan memorandum BERSIH akan tetap diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin selepas gagal berbuat demikian semalam.
Beliau pada sidang medianya menyifatkan perhimpunan haram semalam sebagai kejayaan cukup besar kerana mendakwa mampu mengumpul kira-kira 50,000 penyokong.
A Samad berkata, pihaknya akan menetapkan satu tarikh yang sesuai untuk menyerahkan memorandum bantahan itu dalam waktu terdekat.
=====
BERSIH 2.0
RUANG bagi mengerjakan solat disediakan untuk tahanan BERSIH. - Foto PDRM
BERSIH 2.0
ORANG ramai yang dipercayai penyokong BERSIH keluar dari perkarangan Masjid Negara di Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
BERSIH 2.0
ANTARA suspek dipercayai penyokong BERSIH ditahan pihak berkuasa di Jalan Tun Perak hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Perhimpunan haram: Polis tetap jaga kebajikan tahanan
2011/07/10
KUALA LUMPUR: Di sebalik ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani kumpulan perhimpunan haram di sekitar ibu kota semalam, mereka tetap menjaga kebajikan tahanan dengan memberi layanan yang baik walaupun ada tahanan bertindak ganas ketika ditahan.
Malah, menurut Facebook PDRM semua tahanan yang ditempatkan di Pusat Latihan Polis, Jalan Padang Tembak di sini, semalam diberikan makanan termasuk nasi beriani dan minuman di ruang makan selesa.
PDRM turut menyediakan kemudahan tempat menunaikan solat di bawah khemah yang disediakan dan semua keterangan dan proses dokumentasi daripada tahanan dijalankan dalam suasana selesa, mesra dan profesional.
=====
Perhimpunan haram: Pengangkutan awam lumpuh, kedai tutup
2011/07/10
KEDAI melekatkan notis penutupan pada pintu premis berikutan perhimpunan haram di sekitar Kuala Lumpur, semalam.
Urusan harian, pusat beli-belah turut terjejasKUALA LUMPUR: Pelbagai pihak mengalami kesukaran menjalankan urusan harian di sekitar ibu negara berikutan keadaan jalan raya sesak teruk gara-gara kumpulan yang mengadakan perhimpunan haram, di sebalik nasihat polis melarang mereka berbuat demikian.
Pengangkutan awam turut lumpuh dengan teksi enggan membawa penumpang ke ibu negara dan perkhidmatan LRT terjejas.
Malah kompleks beli-belah Sogo yang biasanya menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah pada hujung minggu diarah polis untuk ditutup mulai jam 2 petang semalam setelah dibuka seketika pada sebelah pagi, bagi kepentingan keselamatan.
=========
KUALA LUMPUR: Warga kota dilihat berwaspada dan enggan terjebak, termasuk peniaga menutup premis perniagaan manakala kawasan tumpuan di pusat bandar raya lengang, namun hasrat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan perhimpunan haram besar-besaran bagi menzahirkan mesej rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, petang semalam, tidak kesampaian.
=====================
Banyak perlu diperbaiki ekoran Bersih 2.0 - Timb menteri Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 10 Julai: Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Saifudin Abdullah (gambar) mengakui "banyak perkara yang perlu diperbaiki" oleh BN ekoran perhimpunan Bersih 2.0 semalam. Ketika bercakap kepada laman web The Malaysian Insider semalam, Saifudin berkata, kerajaan sepatutnya mengkaji cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagaicara menangani perhimpunan aman. "Dalam konteks perhubungan politik, kita perlu perbaiki banyak," kata Saifudin yang juga anggota Parlimen Temerloh itu. Beliau bersetuju perhimpunan di stadium adalah lebih baik berbanding dengan di jalan raya namun dia tidak bersetuju dengan pandangan mudah bahawa "jika berlaku dijalan raya ia akan kecoh, kerana banyak juga perhimpunan di jalan raya berjalan dengan aman." Perhimpunan Bersih 2.0 pada asalnya adalah perhimpunan aman untuk menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agung bagi memohon agar pilihan raya diadakan dalam keadaan bersih dan adil. Lapan tuntutan dikemukakan kepada SPR ke arah memenuhi hasrat itu. Namun, kerajaan BN menyifatkan perhimpunan ini bakal menjadi kecoh dan menganggu keharmonian di ibu negara. Perdana Menteri mencadangkan agar ianya diadakan di stadium dan bersedia untuk membantu mendapatkan stadium yang sesuai. Selepas bertemu dengan Yang Dipertuan Agung, Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga mengumumkan perhimpunan ini akan diadakan di stadium dan Stadium Merdeka menjadi pilihan. Namun, mesyuarat kabinet selepas itu memutuskan, perhimpunan itu tidak dibenarkan berjalan di mana-mana stadium di Kuala Lumpur termasuk Stadium Merdeka. Polis pula yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri mengambil pendirian bertembung dengan perhimpunan ini dengan menyekat seluruh Kuala Lumpur umpama dharurat sebagaimana yang digambarkan akhbar Umno, Utusan Malaysia. Ketua Polis Negara hari ini mengumumkan, 1401 peserta perhimpunan telah ditangkap termasuk Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, timbalannya, Haji Mohamad Sabu, Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga, Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Azmin Ali (timbalan presiden PKR) dan lain-lain. Penangkapan Mohamad Sabu dibuat dengan kasar apabila motorsikal yang ditumpanginya dilanggar oleh sebuah kereta polis sehingga beliau terjatuh dan menangkap beliau. Akibat rempuhan itu, lututnya luka berdarah dan sukar untuk berjalan tanpa bantuan |
==================
Jenazah mangsa gas akan dikebumi pagi ini Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 10 Julai: Para pemimpin PAS akan membuat kunjungan hormat ke rumah Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal semasa perhimpunan Bersih 2.0 semalam di rumahnya dekat Kelompok Camar Ampang Ulu Klang jam 10 pagi ini. Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan jam 11 pagi di tanah perkuburan Islam AU 4 selepas ia disembahyangkan di surau Mukarrabin, Kelompok Camar. "Saya meminta semua ahli PAS datang beramai-ramai untuk memberikan penghormatan terakhir kita kepada Allahyarham pagi esok," kata Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS. Mesyuarat tergempar AJK PAS Pusat yang dipengerusikan Datuk Husam Musa malam tadi juga antara lain membincangkan kejadian ini dan memutuskan untuk bersama-sama turun ke sana. Rumah Allahyarham yang terletak di alamat No 9 - 0 - 4, Kelompok Camar Blok A, Jalan AU 3/8 Kuala Lumpur sejak petang semalam tidak putus-putus didatangi tetamu yang terdiri dari pelbagai peringkat. Baharudin, suami kepada Ketua Wanita Cabang Setiawangsa, Puan Rosni Melan, meninggal selepas jatuh pengsan akibat terkena gas pemedih mata di perkarangan KLCC dalam perhimpunan semalam. Puan Rosni ketika dihubungi Harakahdaily berkata, ketika kejadian beliau dan suaminya tidak duduk sekali kerana beliau ke Stadium Merdeka manakala suaminya ke KLCC. "Saya diberitahu, apabila polis menembak gas pemedih mata, suami saya tidak larat untuk lari dan duduk di situ. Apabila orang ajak lari apabila polis mahu tangkap baru mereka sedar suami saya sudah tidak sedarkan diri," cerita Rosni yang juga Ketua Wanita Cabang Setiawangsa itu. Suami beliau kemudiannya di bawa ke HKL dan disahkan meninggal dunia di sana.
Malam tadi, Jawatankuasa PAS Pusat membuat mesyuarat khas di Pejabat Agung PAS untuk membincangkan sikap post-Bersih 2.0 |
==========
Kenyataan Media Presiden PAS Berkaitan BersihSaya mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang datang dari seluruh negara menyertai himpunan Bersih ini. Alhamdulillah semua mengikut arahan pimpinan dengan tidak melakukan keganasan terhadap pihak polis dan sesiapa sahaja termasuk harta benda awam, walaupun sebahagian kita diganasi.
Ini kerana tujuan kita adalah untuk menyampaikan mesej demokrasi dan pilihanraya yang adil dan bersih, melibatkan pengundi yang benar-benar bertanggungjawab, media yang bebas dan pembentukan semula SPR yang benar-benar adil dan sebagainya.
Tuntutan kita ini memberi gambaran aman dan damai dan bukannya ganas dan melampau. Penyokong Bersih dan Pakatan Rakyat telah menunjukkan budaya demonstrasi yang baik. Walaupun diprovokasi pihak polis, mereka tetap bersabar. Saya ucapkan tahniah kepada yang ditangkap polis. Ini merupakan satu sumbangan awal yang positif.
Disamping itu, kita memberi amaran kepada kerajaan BN, bahawa ini mukadimah kepada kebangkitan rakyat dan jika sekiranya mereka tidak sedia membuat perubahan kepada pilihanraya dan demokrasi,bantahan dan kebangkitan lebih besar boleh berlaku bila-bila masa sahaja dan tidak semestinya sebelum pilihanraya, tetapi juga selepas pilihanraya. Kita tunggu dan lihat respon kerajaan.
Penangkapan saya bukanlah suatu yang besar, kerana masih ramai penyokong kita yang merengkok dalam penjara bertahun-tahun sejak zaman berzaman. Apapun kita sedia bertarung di mahkamah dengan barisan peguam yang lengkap dan mahkamah mesti bebas daripada cengkaman pentadbiran BN.
Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang
Presiden Pas
===========