MEMPELAJARI TRANSFORMASI DARI ALAM SEMULAJADI
Wan Mohd Allwee Wan Ismail
(ARTIKEL INI TELAH DITERBITKAN DI DALAM MAJALAH MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS) YANG DIKENALI “MAIS NEWS” KELUARAN JUN 2011)
Transformasi secara umumnya bermaksud satu perubahan bentuk kepada bentuk yang lain yang melibatkan perubahan bentuk fizikal atau struktur. Transformasi dalam organisasi pula bermaksud menyediakan ruangan pembaharuan, pembaikan, penyemarakan, pengubahan, penggantian, pembentukan dan perpindahan dalam setiap sektor atau elemen penting sesebuah organisasi seperti elemen manusia, kepemimpinan, strategi, polisi, teras perniagaan dan perkhidmatan, sistem, struktur, budaya, perundangan, rancangan dan kegiatan.
Peter Drucker, pakar pengurusan dan perubahan organisasi menyatakan bahawa setiap organisasi perlu bersedia dan melakukan transformasi kerana kita telah berada pada zaman yang dipanggil “The Age of Discontinuity” iaitu zaman yang mana budaya, method, Sistem IT, sistem pengurusan, struktur, polisi, prosedur dan strategi tidak kekal lama, mudah menjadi terpinggir dan ketingggalan zaman. Ianya sentiasa memerlukan pada sesuatu yang lebih baru. Kenapa ini terjadi? Jawabnya ialah perubahan mendadak pada kehendak, keinginan, kepuasan pengguna dan revolusi IT secara pantas dan dinamik.
Agama Islam pula telah lama memperkatakan tentang transformasi terutama transformasi alam melaui perubahan evolusi alam semesta. Ianya adalah satu proses transformasi yang perlu direnungi dan dipelajari olehi umat Islam yang beriman dan mempunyai kekuatan untuk berfikir. Mereka ini dinamakan sebagai ulul-albab.
Dalam surah Ali-Imran, Ayat 190 Allah berfirman:
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;”
Dalam surah al-Mulk, ayat 3 pula Allah meminta kita untuk melihat kejadian-kejadian makhluknya seperti firman Allah:
“Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?”
Marilah kita melihat, mengkaji, mentadabbur, merenung segala kejadian Allah, bagaimana Allah mencipta dan mentransformasikan alam semesta secara semulajadi yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman dan sentiasa releven dengan kehendak zaman.
Kejadian Air
Antara ciptaan Allah yang boleh kita renung ialah kejadian Air. Apakah manfaat Air dalam perubahan transformasi diri dan organisasi?. Di dalam Al-Quran, banyak juga ayat-ayatnya menceritakan tentang air, fungsi dan pertukaran bentuknya. Air adalah keperluan asas seluruhan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Fungsinya pelbagai antaranya sebagai minuman, tempat untuk kapal berlayar, penghidup tumbuh-tumbuhan, penghilang dahaga seperti cerita duabelas matair yang keluar dari celah batu di zaman Nabi Musa, penghidup daerah yang dahulunya kering kontang seperti permulaan kemakmuran Mekah apabila munculnya air zam-zam. Di akhirat pula, air yang mendidih dan bergelegak disediakan untuk orang kafir dalam neraka.
Jikalau kita melihat perubahan air secara saintifik kita akan dapati air boleh berubah keadaan dari bentuk air pada tahap suhu biasa menjadi wap pada tahap suhu yang panas, menjadi hujan, menjadi ais dan menjadi salji pada tahap beku
Apabila kita membandingkan transformasi air dengan transformasi diri dan organisasi, kita dapati bahawa ada pengiktibaran yang boleh diambil iaitu
· Air akan berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain, namun ianya tetap mempunyai dua elemen penting iaitu H2O (gabungan di antara oksigen dan hidrogen). H2O ini tetap ada pada setiap perubahan tanpa mengalami apa-apa transformasi walaupun air berubah bentuk.
· Senario pertama ialah, apabila kita dan organisasi melakukan perubahan transformasi, lakukanlah dengan berhati-hati agar jiwa-jiwa yang ada di dalamnya tidak berubah ke arah yang negatif tetapi masih istiqamah dengan ajaran Islam yang mulia. Kita boleh menjadi semakin moden, semakin canggih dengan pelbagai kemasukan teknologi dan gaya korporat terkini. Namun jangan benarkan perubahan transformasi itu akan melenyapkan keutuhan beragama kita, cara kita beraqidah, beribadah, berakhlak, bermuamalat akan tetap bersama Islam malah sepatutnya menjadi semakin baik.
· Senario kedua pula, rugi kalau kita membina perubahan infrastruktur, sistem dan struktur menjadi lebih baik dalam transformasi organisasi tetapi gerak kerja, budaya yang diamalkan, perubahan diri, gaya pemikiran, gaya bertindak, gaya membuat perancangan, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah tidak berubah dan masih di tahap lama. Transformasi luaran sahaja tidak memadai atau bertahan lama jika transformasi dalaman tidak berjalan atau berjalan tidak seiring dengan transformasi luaran. Apabila transformasi fizikal berubah menjadi lebih baik maka individu di dalam organisasi itu juga perlu bersedia membuat perubahan diri ke arah lebih baik seiring dengan perubahan organisasi itu sendiri.
Kejadian Penciptaan Manusia
Ciptaan Allah yang kedua yang boleh kita renungi ialah kejadian manusia bermula di alam rahim ibu, dilahirkan di dunia sebagai bayi yang tidak bermaya , beransur membesar menjadi kanak-kanak, seterusnya menjadi remaja lalu membesar menjadi belia. Akhirnya menjadi dewasa, seterusnya tua dan penghujung usia kejadiannya ialah mati dan dikebumikan di dalam tanah.
Transformasi yang berlaku dalam kejadian manusia banyak pengiktibaran yang boleh kita nukilkan. Antaranya ialah
· Transformasi yang berlaku tidak kekal lama dan ada penghujungnya. Pada penghujung itu adalah sebuah kelenyapan proses dan kelenyapan kejayaan transformasi. Adakah transformasi yang ingin kita lakukan nanti akan bersifat sedemikian seperti kejadian kita sebagai manusia?
· Allah menceritakan kejadian transformasi yang berlaku secara perlahan dan memerlukan masa yang agak lama. Setiap peringkat transformasi memerlukan perubahan fizikal yang ketara, memerlukan pelbagai kemahiran, ilmu, pengalaman dan ketabahan supaya releven pada peringkat perubahan transformasi itu. Sebagai contoh, untuk membuat transformasi daripada alam bayi ke alam kanak-kanak, bayi perlu melakukan satu perubahan transformasi yang cukup mencabar dan mesti berani iaitu berani untuk meniarap, berani untuk merangkak dan berani untuk berjalan. Setiap kegagalan melakukan sesuatu atau kerap kali jatuh ketika mula berjalan dianggap sebagai satu cabaran yang seronok dan mendapat sokongan yang begitu positif daripada orang sekeliling dengan tepukan tangan, peluk cium dan sebagainya sehinggakan bayi ini jelas matlamatnya bahawa untuk berjalan adalah satu keperluan dan kegembiraan. Segala luka, bengkak akibat jatuh dan sakit cepat dilupakan. Begitulah keadaan transformasi dalam diri dan organisasi yang kita impikan, setiap individu perlu ada matlamat yang jelas, berani membuat perubahan, sanggup menghadapi masalah, cabaran dan dugaan. Menerima secara positif dan mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak terutama pihak atasan yang ingin melihat proses transformasi itu berjaya.
· Transformasi memerlukan ilmu, kemahiran dan pengorbanan yang berterusan. Sebelum kanak-kanak mentransformasikan fizikalnya menjadi dewasa, mereka memasuki alam pendidikan formal dan informal secara berterusan dan mengambil masa bertahun lamanya tanpa rasa jemu. Transformasi diri dan organisasi juga begitu, setiap individu perlu bersedia menerima ilmu dan kemahiran baru dengan minda terbuka. Sanggup melakukan pengorbanan masa dan tenaga kerana cabaran ilmu dan kemahiran baru sentiasa ada di hadapan dan memerlukan tindakan pantas dan tuntas.
· Namun begitu, janganlah menjadikan agenda transformasi ini sebagai agenda yang ada penghujungnya seumpama penghujung manusia adalah kematian. Biarlah proses transformasi ini difahami oleh setiap peringkat pekerja sama ada peringkat pengurusan, pegawai dan kakitangan sokongan. Sokongan padu diperlukan supaya agenda transformasi ini tidak mati di pertengahan jalan malah terus bergerak secara aktif dan progresif sepanjang zaman.
Kejadian Pertukaran Empat Musim
Kejadian transformasi alam seterusnya ialah kejadian pertukaran musim di negara-negara yang mengalami pertukaran empat musim.
Transformasi empat musim adalah transformasi yang berlaku pada struktur yang sama saban tahun bermula musim panas, musim luruh, musim sejuk dan akhirnya kembali semula ke takuk lama iaitu kembali ke musim panas semula. Kalau perubahan musim ini adalah proses transformasi yang kita inginkan maka transformasi yang kita lakukan tidak pergi jauh dan tidak pergi ke mana, matlamat yang ditetapkan adalah matlamat bermusim dan akan kembali pada keadaan yang sama. Segala pengorbanan masa, tenaga dan wang yang dilaburkan tidak memberi erti pada perubahan yang berterusan dan tidak berada dalam posisi lebih baik dan lebih cemerlang.
Metamorfosis Rama-Rama
Transformasi alam semulajadi yang ingin kita selami seterusnya adalah transformasi beluncas bertukar menjadi rama-rama.
Kajian oleh dunia saintis barat mendapati bahawa transformasi dari telur menjadi rama-rama (metamorfosis) ini menceritakan satu proses transformasi lengkap dari sesuatu yang kurang bernilai menjadi sesuatu yang indah dan berharga.
Rama-rama atau kupu-kupu apabila bertelur, mereka bertelur di belakang daun. Tujuannya ialah untuk melindungi telur daripada menjadi kering. Apabila berlakunya penetasan, beluncas yang keluar akan memakan telur yang menjadi sarangnya. Ianya mengambarkan kepada kita bahawa dalam melaksanakan transformasi, kita perlu bersedia untuk keluar dari kepompong yang sedia ada secara total, tidak kembali semula ke kepompong lama malah bersedia membina ilmu, kemahiran dan sikap yang baru untuk meneruskan proses dan agenda transformasi sehingga berjaya. Ini merupakan azam transformasi kepada setiap ahli individu dalam organisasi.
Kehidupan beluncas ialah memakan daun yang ada di hadapan mereka tanpa rasa jemu. Beluncas makan daun dengan banyak sekali kerana beluncas tahu bahawa mereka akan melalui satu masa untuk berada dalam kepompong yang bersifat inkubator (pupa) dalam tempoh yang lama. Sebagai ahli organisasi yang sedang menuju ke arah transformasi, setiap ahli perlu bersedia melengkapkan dirinya dengan apa sahaja ilmu, kemahiran dan sikap yang akan membantunya nanti menghadapi proses transformasi. Mereka menimba ilmu, kemahiran dan membina sikap tanpa perlu disuruh atau diberi arahan bahkan mereka mengambil inisiatif sendiri dengan semangat yang berkobar-kobar mempelajarinya dari perpustakaan yang ada atau perpustakaan maya (internet). Di samping itu mereka telah bersedia meninggalkan apa sahaja perbuatan dan pemikiran yang sia-sia yang tiada kena mengena dengan transformasi yang akan dilaksanakan dalam organisasi mereka.
Beluncas yang sudah matang dan bersedia melakukan transformasi akan mula membina sarang mereka dengan menggunakan apa sahaja bahan yang ada disekelilingnya. Beluncas akan membina inkubator yang kukuh dan kuat yang mampu bertahan dalam tempoh yang lama melebihi dua minggu. Pembinaan inkubator yang kukuh iaitu pupa atau chrysalis diperlukan untuk memudahkan beluncas memeram diri untuk melentur, menukar struktur baru dirinya dan memperkukuhkan diri sebelum bertukar menjadi rama-rama. Proses transformasi yang besar ini memerlukan satu daya kerja yang hebat, ketahanan menghadapi pelbagai dugaan, cabaran dan kesengsaraan bertukar struktur badan. Kalaulah proses ini digambarkan sebagai proses transformasi organisasi, setiap ahli organisasi perlu bersedia membina inkubator diri masing-masing dengan kukuh dan kuat. Inkubator pertama ialah inkubator diri ahli organisasi dalaman atau luaran iaitu memperkukuhkan dimensi rohani, dimensi emosi di samping perkukuhkan dimensi akal, pemikiran dan dimensi kekuatan fizikal. Inkubator yang kedua ialah fizikal, struktur dan sistem organisasi juga perlu diperkukuhkan. Setiap pertukaran yang dibuat perlu diterima dengan hati yang terbuka tanpa membenarkan hasutan nafsu, syaitan dan persekitaran. Setiap diri menjadi kukuh dan bersedia mengukuhkan yang lain.
Pada peringkat terakhir transformasi rama-rama, ketika membebaskan diri dari pupa itu, rama-rama akan membukanya secara perlahan-lahan sebagai tanda kembali berjuang. Membiarkan udara memasuki setiap ruang rongga kepak dan anggota badannya. Setelah segala tenaga dikumpulkan, rama-rama akan mencuba mengepak-ngepak dan akhirnya terbang bebas ke udara dengan struktur badan yang baru tanda kepuasan hidup melaksanakan transformasi secara holistik. Jika digambarkan kepada transformasi yang ingin kita lakukan, setelah berani membuat perubahan organisasi, setiap ahli bersedia memulakan perjuangan baru, daya kerja baru, gaya pengurusan organisasi juga baru sebagai tanda kejayaan melaksanakan transformasi secara holistik.
Secara kesimpulannya, kita boleh mempelajari proses transformasi dari alam semulajadi. Pada setiap transformasi yang dilakukan, kita boleh mempelajari kelebihan dan kelemahan yang ada. Pada kelebihan itu, kita ambil dan perkasakan dalam melakukan proses transformasi organisasi. Pada kelemahan yang wujud, kita ambil dan membaikinya supaya kita tidak melakukan kesilapan yang sama yang akhirnya akan menjadikan proses transformasi organisasi dan individu menjadi satu proses yang lengkap dan bersifat holistik.
Salam Transformasi!
No comments:
Post a Comment