22.9.10

Negara kaya dalam genggaman



Idris Jala


KUALA LUMPUR 21 Sept. - Hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara kaya pada dekad akan datang tidak mustahil sekiranya semua hasil daripada makmal Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dilaksanakan.

Makmal NKEA itu telah mengemukakan cadangan sebanyak 131 projek permulaan dengan 60 peluang perniagaan.

Projek permulaan dan peluang perniagaan itu merentasi 12 bidang NKEA yang telah dikenal pasti dalam Rancangan Malaysia ke-10 iaitu minyak dan gas (O&G), tenaga, minyak sawit, perkhidmatan kewangan, pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektrik dan elektronik serta borong dan peruncitan.

Selain itu, pendidikan, kesihatan, kandungan komunikasi dan infrastruktur, pertanian dan Greater Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Seri Idris Jala berkata, meskipun cadangan itu masih baru, sektor swasta tempatan sudah pun menerima maklum balas daripada pelabur-pelabur swasta.

Setakat ini, beliau berkata, komitmen serius yang telah diterima membabitkan pelaburan sebanyak AS$37 bilion (RM114.7 bilion) manakala yang hampir membuat pelaburan pula adalah AS$10 bilion (RM31 bilion).

Menurut beliau, projek-projek permulaan itu dijangka mampu membantu negara mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak enam peratus secara konsisten pada 2011 hingga 2020 untuk mencapai status negara maju.

''Jika projek-projek ini mampu direalisasikan, Malaysia akan menjadi negara berpendapatan tinggi dengan per kapita AS$15,000 (RM48,000) pada 2020,'' katanya pada Hari Terbuka Program Transformasi Ekonomi (ETP) di sini hari ini.

ETP merupakan sebahagian daripada agenda ekonomi menyeluruh kerajaan yang menjadi tambahan kepada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), Model Baharu Ekonomi dan prinsip-prinsip 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

NKEA merupakan pemacu aktiviti ekonomi yang mempunyai potensi untuk memberi sumbangan secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi.

Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) berkata, projek-projek permulaan itu dijangka mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan.

Daripada jumlah itu 63 peratus daripadanya membabitkan kategori pendapatan sederhana dan tinggi yang merangkumi 43 peratus daripada jumlah pasaran buruh ketika ini.

Kombinasi pekerjaan baru yang dicipta oleh NKEA dan pertumbuhan upah benar akan mengeluarkan lebih kurang 600 juta pekerja dari lingkungan berpendapatan rendah.

Peningkatan 64 peratus dan 400 peratus pekerjaan pendapatan sederhana dan tinggi masing-masing diharap dapat menarik minat 150,000 rakyat berkemahiran tinggi Malaysia yang bekerja di luar negara dan profesional asing.

Menurut beliau, di bawah program itu negara mengunjurkan pertumbuhan untuk meraih Pendapatan Kasar Negara (GNI) hampir tiga kali ganda daripada RM660 bilion (AS$188) pada 2009 kepada RM1.7 bilion (AS$523 bilion) pada 2020.

Ia diterjemahkan pertambahan GNI per kapita dari RM23,700 (AS$6,700) sehingga sekurang-kurangnya RM48,000, memenuhi penanda aras negara berpendapatan tinggi mengikut Bank Dunia.

NKEA akan menyumbang 73 peratus daripada keseluruhan GNI pada 2020.

Katanya, 92 peratus pelaburan dipacu oleh sektor swasta dan hanya lapan peratus daripada kerajaan dengan keseluruhan pelaburan bernilai AS$444 bilion (RM1.37 trilion).

Sumbangan itu, dijangka disumbangkan sebanyak 60 peratus oleh syarikat-syarikat swasta AS$266 bilion (RM824.6 bilion) dan 32 peratus atau AS$144 bilion (RM446.4 bilion) oleh syarikat milik kerajaan (GLC) serta kerajaan AS$34 bilion (RM105.4 bilion)

Jelasnya, pembabitan swasta itu merupakan satu berita gembira kerana sektor tersebut akan menjadi pemangkin kepada kejayaan Malaysia dalam mencapai status negara maju.

''Mereka akan menyediakan projek dan pelaburan manakala kerajaan pula akan menyediakan kemudahan untuk memastikan kejayaan sektor swasta.

''Memandangkan cadangan projek permulaan dibuat oleh sektor swasta, saya yakin mereka tidak akan membuat cadangan berkenaan sekiranya ia bakal merugikan mereka.

''Ini kerana, perolehan dan keuntungan adalah sangat penting untuk sektor tersebut,'' ujar beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan perlu memantau dalam aspek peraturan dan perundangan untuk memastikan sektor swasta mampu bersaing secara sihat.

Ditanya kerajaan mampu merealisasikan ETP, Idris berkata, ia bukan satu rancangan sebaliknya merupakan program dan sebab itu ia membabitkan pelaksanaan, sasaran dan tempoh masa.

Tegas Idris, Malaysia kini hanya mempunyai 10 tahun lagi untuk melaksanakan dan perlu memastikan ETP berjaya.

''Untuk mencapai status negara maju pada 2020, Malaysia memerlukan satu transformasi ekonomi lengkap dan radikal kerana masa untuk terus bergantung kepada jentera pertumbuhan tradisonal sudah berakhir.

''Jika kita meneruskan model ekonomi sekarang, kita akan mengalami risiko terperangkap dalam pendapatan sederhana dan terus kehilangan bakat yang diperlukan untuk menyokong ekonomi berpendapatan tinggi,'' tambah beliau.

No comments: