22.9.10

Belasungkawa: Ustaz Dahlan Mohd Zain


E-mail Print PDF

18 September, Perlis - Dato' Kaya Bakti Dahlan @ Dahaman Mohd Zain, pengasas dan mudir Maahad At-Tarbiyah Islamiyah (MATRI) telah kembali ke rahmatullah hari ini. Almarhum yang lebih dikenali sebagai Ustaz Dahlan menghembuskan nafas terakhir pada jam 9:55 pagi di rumah beliau di Kg Kerisik sejurus dibawa pulang dari Hospital Tuanku Fauziah selepas berada di Unit Rawatan Rapi Jantung (CCU) dalam keadaan tidak sedarkan diri selama 41 hari.



Sebelum solat asar sementara menunggu ketibaan jenazah, Al-fadhil Ustaz Omar Haji Salleh merangkap Timbalan Mudir MATRI dan juga Naib Pengerusi Lembaga Tadbir MATRI mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dari jauh dan dekat untuk memberikan penghormatan terakhir buat Almarhum Ustaz Dahlan.



Solat jenazah disempurnakan di Surau MATRI selepas solat Asar dan jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunjung yang terletak tidak jauh daripada MATRI.



Almarhum telah memberi sumbangan yang sangat banyak terutamanya di dalam soal pendidikan dan perkembangan dakwah di Malaysia. Beliau telah menyumbangkan buah fikiran, tenaga dan seluruh kehidupannya untuk memproses dan membangunkan jatidiri dan modal insan yang selari dengan tuntutan Islam. Selain itu, beliau turut memberi dorongan semangat, melatih ramai ahli-ahli pelbagai NGO yang bergiat aktif dalam pendidikan, dakwah dan khidmat masyarakat termasuk organisasi NGO seperti HALUAN. Segala usaha-usaha, jasa dan sumbangannya yang melangkau empat dekad telah memberi kesan dan impak positif kepada perkembangan pendidikan dan penyebarluasan dakwah di Malaysia. Semoga segala amalan yang dilakukan oleh Almarhum diterima sebagai bekal amal soleh oleh Allah SWT.


Almarhum Ustaz Dahlan meninggalkan seorang balu dan empat orang anak serta ramai anak-anak didik yang bertebaran di serata pelusuk negara. HALUAN Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga serta anak-anak didik Almarhum Ustaz Dahlan.

No comments: