22.9.10

CIRI_CIRI PEWARIS DAKWAH RASULULLAH

UCAPAN INDAH ini dipetik daripada Haluan Siswa


Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,

Teringat kepada kata-kata Almarhum Dato` Ustaz Dahlan b Mohd Zain iaitu : “Pewaris serba lengkap ialah pewaris yang lengkap mengikuti proses tarbiyyah juga lengkap dari segi persediaan hati, thaqafah, tanzim, jihad, haraki (organisasi) dan syaksiyyah Islamiyyah. Ringkasnya, lengkap dalam kemampuan roh, aqli dan jasmani. Pewaris seperti ini, Insya Allah mampu mewarisi dan meneruskan Islam yang suci murni.

Begitulah hebatnya kerja mengajak manusia lain merasai kemanisan dan kehebatan Islam. Mewarisi kerja yang agung yang pernah dirintis oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW merupakan suatu pewarisan yang hebat dan agung di sisi Allah. Bukan semua manusia sanggup memikul beban dan amanah yang berat ini di pundak bahu mereka. Bahkan ada yang tersadung lalu tersungkur di pertengahan jalan. Berbahagialah mereka yang bersama Islam ketika gharibnya Islam.

Sahabat dan akhowat HALUANSiswa sekalian,

Sebagai mereka yang mewarisi gerak kerja bahtera dakwah ini, kita memerlukan bekalan untuk tiba ke destinasi akhirat dengan selamat. Bahtera perlu dikemudi dengan kemas, para penumpang bahtera juga harus diisi dengan bekalan agar mereka juga merasai kemanisan menaiki bahtera dan tiba ke destinasi dengan selamat. Para Pewaris memerlukan beberapa bekalan yang dapat membantu mengemudi bahtera dakwah ini dengan baik :

1. Iman yang teguh dan Taqwa kepada Allah SWT.

Inilah merupakan 2 makanan istimewa sepanjang perjalanan bahtera ini ke perkampungan akhirat. Iman dan TAqwa ni akan melahirkan para pewaris yang mempunyai ketinggian azam dan cita-cita, melahirkan jiwa-jiwa yang ikhlas, tahan lasak dan sanggup mengorbankan diri, masa dan wang ringgit untuk mengemudi bahtera.

2. Kekuatan Ukhuwwah Islamiyyah.

Pewaris dakwah di jalan Allah terdedah kepada sifat-sifat malas, lesu dan jemu serta berbagai-bagai penyakit hati. Jika dibiarkan penyakit ini berterusan menguasai diri nescaya akan membawa kerenggangan, kelekaan dan terus hanyut sengan dunianya. Sikap para dai’e yang saling menasihati, wasiat mewasiati inilah yang menghindarkan saudaranya leka dan lupa.

3. Membaca, mempelajari dan memahami Al-Quran.

Membacanya adalah ibadah. Al Quran mengajar kita taat pada Allah, membimbing hati kita, perasaan kita dan tingkah laku kita, menceritakan kisah pejuang terdahulu, kecekalannya, ketabahannya, kesungguhannya dan keyakinannya yang boleh dijadikan bekalan disepanjang perjalanan dai’e. Al-Quran juga menjelaskan kehidupan selepas mati, penghisaban, perhitungan dan pembalasan. Semua ini melindungi dai’e dari penyelewengan. Baca, fahami dan amalkanlah.

4. Menghidupkan malam dengan Qiamullail

Sesungguhnya keseronokan, kelazatan dan kebahagian qiyamullail tidak dapat digambarkan. Munajat kepada Allah pula dapat menghilangkan segala keletihan. Begitulah kita dapat melihat Rasulullah SAW bertahajud sehingga bengkak-bengkak kaki sedikit pun tidak merasa susah dan penat kerana baginda telah karam di lautan cinta pada Allah SWT. Bnagunlah di tengah malam seperti bangunnya seorang fakir yang hina yang menyeludup di tengah malam untuk mengetuk pintu tuannya yang pemurah. Dengan berdiri lesu, hina dan merasa bersalah dia mengakui rasa bersalah, dosa dan sangat berhajat kepada keampunan tuannya.

5. Memahami tabiat dakwah

Jalan dakwah adalah jalan yang dilalui oleh para anbiya terdahulu, penuh ranjau, rintangan dan halangan. Rasulullah SAW sendiri dihiburkan dengan kisah-kisah nabi terdahulu agar keperitan mereka dapat merawat dan menguatkan semangat baginda. Kisah nabi Nuh a.s contohnya dapat dilihat dari sudut lamanya dakwah baginda, tentangan musuh-musuhnya dan kesabaran baginda menghadapi kaumnya tanpa putus asa. Begitu juga bekalan yang diambil dari Nabi Nuh menunjukkan betapa hampirnya baginda dengan Allah SWT. Semua nabi meghadapi tribulasi. Oleh itu para pewaris hendaklah mempersiapkan diri anda unruk menghadapi situasi ini, agar kesusahan atau rintangan yang anda hadapi tidak membantutkan kerja mulia anda.

Penutup

Merasai bahawa kerja sebagai pewaris ini merupakan suatu keperluan buat pemuda walaupun kesusahan yang dihadapi sepanjang jalan ini. Memetik kata-kata Almarhu Ustaz Dahlan b Mohd Zain : “"Kita akan berasa sempit apabila memikirkan kitalah yang memulakan dan mengakhiri dakwah ini. Tetapi apabila kita memikirkan kita ini hanyalah satu mata daripada mata-mata rantai yang panjang, kita akan bergembira dan bersemangat untuk berjuang kerana kita tahu akan ada orang yang akan menyambung perjuangan kita.Orang itu tidak lain tidak bukan ialah GENERASI PEMUDA" Tuntutlah Uluwwul Himmah. Uluwwul Himmah beliau adalah dakwah. Selamat berbahagia di sana wahai Murabbi Ummah.

No comments: