10.8.10

PAndangan Syiah- Nabi-Nabi Dihukum Kerana Enggan Mengakui Walayah Ali A.S.

Terima kasih kepada Darul kauthsar








Terjemahan
Syi’ah: Nabi-Nabi Dihukum Kerana Enggan Mengakui Walayah[1] Ali A.S.
Yang kelapan[2]: Abu Hamzah ath-Thumali meriwayatkan dengan katanya: “Abdullah bin ‘Umar masuk menemui Ali Zain al-‘Abidin a.s.[3] lalu berkata kepadanya: “Wahai anak kepada al-Husain! Engkaukah yang telah mengatakan bahawa Yunus bin Matta telah ditelan oleh ikan kerana walayah datukku telah dikemukakan kepadanya lalu dia enggan mengakuinya? Dia (Ali) pun menjawab: “Ya”. Dia (Ibnu Umar) berkata: “Tunjukkan kepadaku buktinya jika engkau benar”. ‘Ali pun menyuruh supaya ditutup matanya (Ibnu ‘Umar) dan mataku (perawi) dengan kain pembalut kemudian tidak lama kemudian dia memerintahkan supaya dibuka mata-mata kami. Tiba-tiba kami berada di tepian lautan yang bergelora ombaknya. Ibnu ‘Umar pun berkata: “Tuhanku! Nyawaku berada dalam genggamanmu. (Aku berserah kepada) Allah, (Aku berserah kepada) Allah terhadap jiwaku”. Kemudian ‘Ali a.s. pun berseru: “Wahai ikan (yang menelan Nabi Yunus)! Maka muncullah ikan tersebut dengan kepalanya mendongak keluar dari laut bagaikan gunung yang besar sambil berkata: “Ku sahut seruanmu, ku sahut seruanmu wahai wali Allah”. ‘Ali a.s. bertanya: “Siapakah engkau? Dia (ikan) pun menjawab: “Aku adalah ikan (yang menelan) Yunus. Tuan! Sesungguhnya tidaklah Allah mengutuskan mana-mana nabi daripada Adam sehingga datukmu Muhammad s.a.w. kecuali akan dibentangkan kepadanya walayah kamu Ahl al-Bait. Mana-mana nabi yang mengakuinya akan selamat dan terlepas dari sebarang hukuman. Sesiapa yang enggan dan ragu-ragu untuk mengakuinya akan dihukum sebagaimana musibah yang diterima oleh Adam, banjir yang dialami oleh Nuh, dilemparkan ke dalam api sebagaimana yang berlaku ke atas Ibrahim, dibuang ke dalam perigi seperti berlaku kepada Yusuf, diuji dengan bala kepada Ayyub, melakukan kesilapan seperti yang dilakukan oleh Daud sehingga Allah mengutuskan Yunus a.s. lalu Allah mewahyukan kepadanya dengan berfirman: “Wahai Yunus! Hendaklah kamu menerima walayah Amir al-Mukminin ‘Ali dan imam-imam ar-rasyidin daripada keturunannya”. Yunus pun menjawab: “Bagaimana aku akan menerima walayah orang yang tidak pernah aku melihat dan mengenalinya”. Dia pun pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah. Allah ta’ala lantas mewahyukan kepadaku (ikan) dengan firman-Nya: “Telanlah Yunus dan janganlah melemahkannya”. Dia berada di dalam perutku selama empat puluh hari mengelilingi beberapa lautan bersamaku dalam tiga kegelapan[4] dalam keadaan ia terus menyeru:
لاَّ إِلَهَ إِلاَّ أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
“Tiada tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku tergolong dari kalangan orang-orang yang menganiaya diri sendiri. Sesungguhnya aku telah menerima walayah ‘Ali bin Abi Talib dan imam-imam dari keturunannya a.s.”. Setelah ia beriman dengan walayah kamu tuhanku telah memerintahkanku supaya mencampakkannya ke tebing laut”. ‘Ali Zain al-Abidin a.s. pun berkata: “Kembalilah wahai ikan ke tempat tinggalmu”.
(Rujukan: Sayyid Ni’mat Allah al-Musawi al-Jazairi al-Anwar an-Nu’maniyyah jil. 1 hal. 24, 25 dan Mulla Baqir al-Majlisi Bihar al-Anwar jil. 61 hal. 52)
Kesimpulan:
  1. Syi’ah beri’tiqad bahawa mengakui dan menerima walayah Ali bin Abi Talib r.a. dan anak cucunya adalah merupakan satu kewajipan kepada sekalian manusia termasuk kepada nabi-nabi.
  1. Syi’ah telah menghina nabi-nabi dengan mengatakan mereka telah dihukum oleh Allah ta’ala kerana semata-mata tidak menerima walayah ‘Ali bin Abi Talib dan anak cucunya.
  1. Syi’ah beri’itqad bahawa kedudukan nabi-nabi adalah lebih rendah daripada kedudukan anak cucu Nabi Muhammad s.a.w.
  1. Syi’ah mengatakan nabi-nabi telah melakukan perkara yang telah membatalkan keimanan mereka iaitu enggan menerima kepercayaan kepada imam-imam maksum dari kalangan anak cucu ‘Ali bin Abi Talib r.a.



[1] Iaitu kepercayaan bahawa ‘Ali dan anak cucunya adalah dua belas orang imam yang dilantik berdasarkan nas dari pihak Allah dan mereka adalah maksum terpelihara dari dosa kecil dan besar serta dari lupa dan lalai dan lain-lain mengikut sebagaimana yang dipercayai oleh penganut Syi’ah.
[2] Pengarang mengemukakan beberapa bukti kebenaran dan kebesaran imam-imam Ahl al-Bait di sisi Syi’ah.
[3] Beliau ialah `Ali Zain al-`Abidin bin Husain (wafat 94 H) yang dianggap oleh Syi’ah sebagai imam maksum keempat mereka.
[4] Iaitu kegelapan laut, kegelapan malam dan kegelapan perut ikan.

No comments: