25.8.10

Kerajaan jimat RM200 juta guna perisian sumber terbuka


23/08/2010 6:16pm

KEPALA BATAS 23 Ogos – Kerajaan menjimatkan sehingga RM200 juta selepas lebih 95 peratus agensi kerajaan mengaplikasikan perisian sumber terbuka (OSS) sektor awam sejak dilancarkan pada 2004.

Timbalan Ketua Pengarah (ICT) Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Dr. Nor Aliah Mohd. Zahri berkata, MAMPU akan terus menggalakkan syarikat di Malaysia menggunakan perisian sumber terbuka bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos pentadbiran dengan efektif serta memperbaiki kompetitif dalam pasaran global.

“OSS dapat membantu menjimatkan perbelanjaan syarikat dan kerajaan, malah, menjana pendapatan kepada negara dengan mencipta peluang pekerjaan selain dapat memberi kemahiran diperlukan oleh rakyat tempatan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Latihan Bertauliah (CTP) di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Nor Aliah berkata, OSS juga boleh menjadi pemudah cara untuk membantu Malaysia mencapai Wawasan 2020 yang menjadi pemangkin kepada empat tonggak transformasi iaitu Gagasan 1Malaysia, Program Tranformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Ke-10.

Katanya, IPPT USM dipilih sebagai Pusat Latihan Bertauliah bagi kursus perisian sumber terbuka untuk melatih lebih ramai kakitangan awam menggunakan perisian berkenaan. – Bernama

No comments: