Ahlan Wasahlan...

Jawatan Kosong Untuk Gadis Bawah 27 Tahun

Minuman Kesihatan dan Kekuatan

Minuman Kesihatan dan Kekuatan
Belum Cuba ..Belum Tahu... Cuba dulu baru tahu..

Penyebab utama sirosis



Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

2010/07/11
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANSER hati kurang popular berbanding kanser jenis lain walaupun tersenarai dalam 10 kanser utama di negara kita. Memang jumlah pesakit kanser hati tidak terlalu ramai iaitu sekitar 1,000 orang, tetapi ia antara kanser yang sukar dirawat kerana kebanyakan kes lewat dikesan akibat ketiadaan gejala penyakit.
Virus Hepatitis B
Virus Hepatitis B


Meskipun kanser hati berlaku di seluruh dunia, yang membimbangkan ialah lebih 50 peratus kes membabitkan penduduk Asia dan lebih 70 peratus kes baru dilaporkan setiap tahun datangnya daripada negara Asia, termasuk negara kita.

Hati adalah organ penting dalam sistem hepatobiliari yang merangkumi pundi hempedu dan duktus hempedu. Ia organ kedua terbesar dalam badan yang kaya dengan darah, berbentuk baji, terletak betul-betul di bawah tulang rusuk kanan, di bawah paru-paru. Hati kita berbentuk seperti baji atau piramid dan terbahagi kepada dua bahagian — kiri dan kanan.


Tidak seperti organ lain, hati menerima bekalan darah daripada dua sumber iaitu arteri hepatik (membekalkan darah beroksigen) dan portal vena yang membawa darah mengandungi nutrien daripada usus kecil ke hati.

Fungsi utama hati ialah menapis dan memproses darah daripada bahan toksik, menghasilkan cecair hempedu (bagi membantu pencernaan lemak); membantu sintesis protein darah, glukos dan kolesterol; membantu proses metabolisme (ubat, vitamin, alkohol, hemoglobin); sebagai stor penyimpan (untuk vitamin larut lemak, zat besi dan glikogen); ejen penyingkiran (menyingkirkan sel darah merah yang mati dan bahan sisa metabolisme) dan meningkatkan daya ketahanan badan.

Kajian dijalankan Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (Globocan) pada 2002 menganggarkan 626,000 kes kanser hati di seluruh dunia setiap tahun dan dijangka terus meningkat.

Oleh kerana kebanyakan kes dikesan lewat, tidak hairan jika kes kematian akibat kanser hati sangat tinggi, terutama di Asia seperti China (anggaran 322,000 kematian daripada 346,000 kes) Jepun (36,000 kes), Taiwan (7,000 kes) dan Korea Selatan (5,000) kes berbanding Eropah (50,000 kes) dan Amerika Syarikat (13,000 kes). (Rujuk Jadual 1)

Kanser hati lebih kerap berlaku pada lelaki (tiga kali ganda berbanding wanita). Berdasarkan kajian Globocan 2008, seramai 416,658 lelaki Asia menghidap kanser hati yang menyebabkan 376,000 kematian.

Di Malaysia, kanser hati adalah kanser kelima utama yang berlaku pada lelaki dengan catatan tertinggi di kalangan orang Cina, diikuti Melayu dan India.

Mengapa banyak kes kanser hati dilaporkan di negara Asia? Ia ada kaitan rapat dengan jangkitan Hepatitis B yang secara perlahan-lahan boleh menyebabkan sirosis hati (kematian sel hati yang akhirnya membentuk parut) dan bertukar menjadi kanser jika tidak mendapat rawatan.

Jangkitan Hepatitis B paling banyak dilaporkan di Asia dan ia dianggap sebagai wabak, terutama di negara Asia Tenggara, Hong Kong dan China.

Menurut Penasihat Perubatan Onkologi, Bayer Schering Pharma, Dr Senthil Sockalingam, jangkitan virus Hepatis B ini menyebabkan jumlah kematian tinggi di kalangan penduduk Asia Pasifik. Sehingga kini dianggarkan 275 juta penduduk di rantau ini menghidap jangkitan hepatitis B kronik.

Kira-kira 90 peratus pesakit dewasa yang dirawat menghidap kanser hati HCC dan kebanyakannya mempunyai masalah sirosis hati iaitu kerosakan sel hati dan kehadiran parut akibat jangkitan virus hepatitis B.

Namun keberkesanan rawatan masih rendah kerana kebanyakan pesakit hanya datang ke hospital apabila penyakit mereka sudah teruk.

Faktor risiko dan gejala
Kanser hati terbahagi kepada dua jenis iaitu primer dan sekunder. Kanser hati primer bermakna kanser bermula di hati. Kanser hati sekunder bermakna sel kanser berasal daripada organ lain dan merebak ke hati.

Bagaimana kanser hati boleh terjadi? Menurut Dr Senthil, banyak faktor boleh menyumbang kepada penyakit ini tetapi penyebab utama ialah jangkitan virus hepatitis B yang kronik sehingga menyebabkan sirosis.

Kebanyakan pesakit berusia 30 tahun ke atas kerana virus hepatitis B mengambil masa lama untuk merosakkan hati dan biasanya kerosakan ini berlaku dengan cepat. Lebih membimbangkan ialah peningkatan jumlah kes yang baru dikesan.

Dalam kebanyakan kes barah hati peringkat awal tidak mempunyai tanda atau gejala. Apabila ada gejala, itu menandakan barah hati sampai ke peringkat serius. Ini sebabnya individu berisiko tinggi disaran menjalani pemeriksaan.

Banyak faktor risiko boleh mendedahkan seseorang kepada penyakit ini seperti:
# Jangkitan hepatitis B kronik (virus hepatitis B sangat mudah berjangkit melalui hubungan seks, pemindahan darah dan kelahiran; 100 kali lebih mudah daripada virus HIV)
# Jangkitan hepatitis C dengan kehadiran masalah sirosis hati
# Sirosis yang merebak hingga jejaskan fungsi hati
# Pengambilan alkohol berlebihan (boleh merangsang kerosakan hati yang sedia ada)
# Obesiti
# Diabetes
# Merokok
# Penggunaan steroid dalam tempoh lama
# Jangkitan fungus (pendedahan jangka panjang pada aflatoksin iaitu toksin yang dihasilkan fungus)
# Minum air mengandungi arsenik (di sesetengah negara)

Pada peringkat awal, kanser hati tidak menunjukkan gejala. Gejala penyakit hanya timbul apabila penyakit sudah teruk (peringkat ketiga dan keempat) iaitu ketika fungsi hati terjejas teruk. Antara gejala dialami pesakit kanser hati ialah:
# Penurunan berat badan tanpa sebab
# Tiada selera makan berpanjangan
# Terasa sangat kenyang walaupun makan sedikit
# Ada benjolan keras pada bahagian kanan di bawah tulang rusuk
# Sakit sekitar bahu kanan
# Kulit menjadi kekuningan, termasuk mata
# Abdomen atas (kanan) terasa tidak selesa
# Sentiasa berasa lesu dan tidak bermaya
# Mual
Semua gejala di atas hanya muncul apabila kanser sampai ke peringkat serius yang menyebabkan kebanyakan pesakit lewat datang ke hospital bagi mendapat rawatan. Sedihnya, pada peringkat ini penyakit sukar dirawat dan dalam kebanyakan kes peluang hidup adalah kurang daripada satu tahun.

Pengesanan dan rawatan
Beberapa kaedah boleh digunakan untuk mengesan barah hati, antaranya ujian darah AFP iaitu untuk menguji kehadiran protein alfa-feto. Pesakit kanser hati akan mempunyai tahap AFP tinggi.

Kaedah kedua ialah ujian pengimejan hati untuk melihat fungsi hati. Biasanya pesakit kanser hati menunjukkan fungsi hati tidak normal (disebabkan kerosakan sel hati dan parut pada hati).

“Rawatan kanser hati bergantung kepada peringkat barah ketika penyakit dikesan, fungsi hati dan keadaan kesihatan pesakit secara keseluruhan. Biasanya bagi kes kanser hati, peringkat awal pembedahan membabitkan pembuangan sebahagian hati yang diserang barah adalah kaedah terbaik. Malah peluang sembuh juga tinggi.

“Bagaimanapun, secara purata hanya 15 peratus pesakit boleh dibedah kerana kebanyakannya datang apabila penyakit sudah teruk.

“Secara umum rawatan barah mempunyai enam kaedah iaitu untuk peringkat awal membabitkan pembedahan (tanpa penggantian hati), pembedahan membuang seluruh hati diikuti penggantian hati (transplan) atau ablasi radiofrekuensi (pembakaran sel barah menggunakan gelombang radiofrekuensi).

“Bagi peringkat pertengahan; kanser hati dirawat dengan kaedah suntikan ubat kemoterapi pada salur darah yang membawa darah (kemoembolisasi transarteri, TACE). Malangnya, rawatan standard sedia ada tidak berkesan untuk merawat pesakit barah peringkat akhir.

“Sebelum ini pesakit barah hati peringkat akhir tidak mempunyai pilihan rawatan yang berkesan dan ramai mati dalam masa setahun selepas disahkan menghidap penyakit ini dan untuk peringkat lanjutan pula biasanya doktor menyarankan pesakit mencuba ubat makan seperti sorafenib,” katanya.

Ada yang bertanya, mengapa pesakit kanser hati tidak diberi rawatan kemoterapi seperti pesakit kanser lain? Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hepar Kebangsaan, Datuk Dr Nor Shahidah Khairullah berkata, penggunaan kemoterapi akan menambah ketoksikan ubat anti kanser dalam badan. Hati yang sepatutnya bertugas menyingkir bahan toksik daripada badan tidak mampu menjalankan tugas berkenaan dan kemoterapi akan memberi lebih beban kepada hati.

Ini menyebabkan rawatan untuk kes kanser hati, terutama yang teruk, lebih mencabar dan 70 hingga 80 peratus pesakit menunjukkan penerimaan badan yang lemah terhadap rawatan. Faktor lain yang menyebabkan kanser sukar dirawat ialah kerana ia mempunyai beberapa ciri yang sangat unik iaitu:
# Boleh memasuki aliran darah yang memudahkannya merebak dan menyebabkan kerosakan pada organ lain
# Boleh hidup lama
# Mempunyai keupayaan untuk merebak pada sel organ lain (metastasis)
# Mempunyai kebolehan untuk menggandakan sel dan terus hidup
# Boleh membentuk salur darah baru (tidak normal) untuk mendapat oksigen dan nutrien bagi terus hidup (angiogenesis)

Kadar kejayaan kelangsungan hidup pesakit kanser hati yang rendah berlaku di seluruh dunia. Kajian menunjukkan di kalangan pesakit di Eropah kejayaan kelangsungan hidup selama lima tahun hanya 8.6 peratus, Amerika Syarikat (kurang tujuh peratus) dan kurang 10 peratus bagi pesakit yang tidak sesuai menjalani pembedahan di Asia.

Justeru, pesakit perlu peka dengan perubahan pada diri sendiri dan segera mendapat rawatan sebaik disahkan menghidap kanser hati. Memang rawatan untuk kanser sangat mahal, justeru pesakit perlu bersungguh-sungguh dan berdisiplin ketika mendapatkan rawatan.

Antara ubat yang disaran untuk pesakit kanser hati peringkat teruk ialah sorafenib (ubat makan) yang didapati mampu meningkatkan kelangsungan hidup pesakit sebanyak 44 peratus iaitu daripada enam bulan kepada 10.7 bulan. Ia menghalang penggandaan sel barah dan menghentikan pembentukan salur darah tidak normal. Melalui kaedah ini sel barah akan mati kerana ketiadaan oksigen dan nutrien.

Peningkatan ini mungkin dianggap sangat kecil bagi sesetengah orang tetapi besar maknanya kepada pesakit kanser kerana ia membolehkan mereka menghabiskan lebih banyak masa berkualiti dengan keluarga. Malah dengan rawatan yang semakin baik dan kepatuhan kepada pengambilan ubat, kualiti hidup pesakit juga meningkat.

“Sebelum ini pesakit tiada pilihan rawatan yang berkesan dan ramai meninggal dunia dalam masa setahun selepas penyakit dikesan. Memang rawatan untuk kanser hati sangat mahal dan ini sebabnya kita mengadakan Program Bantuan Pesakit (NexPAP) untuk meringankan beban pesakit. Program ini memberi bantuan ubat selama setahun dengan syarat pesakit mesti mencuba dulu ubat ini (biaya sendiri) untuk dua bulan.

“Syarat berkenaan untuk memastikan pesakit bersungguh-sungguh menjalani rawatan dan mampu menghadapi kesan sampingan ubat yang bersifat sementara dan biasanya hilang dalam tempoh 12 minggu. Antara kesan sampingan yang mungkin dialami ialah masalah kulit (ruam, gatal dan sakit), cirit-birit, letih lesu dan keguguran rambut,” katanya.

Program ini adalah kerjasama Bayer Schering Pharma dan Yayasan Hepar Malaysia. Pesakit yang ingin menyertai program ini boleh menghubungi talian 03-7842 6101.

Penjagaan kesihatan hati
# Amalkan pemakanan seimbang dan sihat
# Kerap bersenam
# Kurangkan pengambilan minuman beralkohol
# Kurangkan makan apabila umur meningkat (kerana hati juga mengalami penuaan, mengehadkan makan boleh mengurangkan beban hati)
# Minum banyak air (satu hingga satu liter setengah setiap hari)
# Jalani ujian kesihatan secara berkala (untuk jangkitan Hepatitis B dan C). Individu yang dijangkiti virus ini mempunyai risiko 300 kali lebih tinggi mendapat kanser hati
# Dapatkan rawatan segera jika anda dijangkiti virus Hepatitis C
# Bagi anda yang lahir sebelum 1989, dapatkan suntikan vaksin Hepatitis B (pelalian Hepatitis B dimasukkan dalam Program Vaksin Kebangsaan sejak 1989. Ini bermakna individu yang lahir pada dan selepas 1989 sudah mendapat perlindungan ini
# Tangani tekanan dengan baik
# Boleh ambil makanan tambahan seperti milk thistle dan dukung anak untuk meningkatkan fungsi hati

No comments: