Mungkin kedengarannya aneh sekali kerana kita akan selalu mendengar orang berkata yang kita perlu mencari rezeki tetapi saya pula sering berkata yang kita tidak perlu mencari rezeki kerana ianya melelahkan dan lebih bagus dan lebih mudah untuk menarik rezeki kemudian barulah diusahakan rezeki tersebut. Mungkin ada yang salah faham akan pengertian tersebut, mungkin ada yang memikirkan yang kita hanya duduk di rumah dan tidak perlu bekerja, tunggu sahaja rezeki datang bergolek. Saya juga bersetuju dengan kata-kata orang dahulu, rezeki tidak datang bergolek, maka kita perlu berusaha. Perbezaannya adalah usaha, jika mencari tanpa sesuatu yang pasti, saya yakin lambat untuk sampai dan itulah yang pernah terjadi pada diri saya. Saya melakukan pelbagai perkara demi sesuap nasi namun lebih banyak keluhan yang datang kerana usaha kita kadangkala tidak setimpal dengan hasilnya.
Banyak penulisan saya berbeza dengan pandangan masyarakat sedia ada dan pandangan saya dalam penulisan bukan datang secara caca merba melainkan saya sudah mengalaminya dan ada pula fakta yang menyokong. Saya telah mengalami transformasi diri secara praktikal dan rupanya untuk mendapatkan transformasi itu kita perlu tidak sama dengan apa yang kita fikirkan justeru itu saya dahulunya membuat tagline : transforming lives effectively. Hari ini sana sini bercerita untuk jadi kaya, sana sini bercerita tentang harta kerana itulah lambang kejayaan. Jika dilihat di dada akhbar pasti banyak kita lihat program-program kekayaan yang ditawarkan. Adakah salah untuk menjadi kaya… tentu tidak kerana bagi saya orang Islam perlu kaya, perlu ada wang jika tidak bagaimana mereka ingin membeli buku, bagaimana mereka mampu menimba lebih banyak ilmu pengetahuan yang baru yang mana harganya mencecah ribuan ringgit. Kita perlu ada wang untuk itu, namun ironinya apabila kita ada wang yang cukup, simpanan yang lumayan kita alpa dalam pencarian, kita tidak pula mahu menambah ilmu bahkan kadangkala kita terlalu berkira tentang program keilmuan, inilah titik perbezaan kita dan bangsa lain.
Mereka yang tinggal di negara maju sebolehnya menambah sebanyak ilmu untuk mereka lebih maju. Ada juga diantara kita yang bersikap sedemikian akan tetapi penghalangnya adalah wang. Maka benarlah segalanya memerlukan wang pada hari ini hingga ramai diantara kita yang berkiblatkan wang dalam setiap arah pergerakkannya bahkan lebih dari itu ada juga yang mula bertuhankan wang tanpa mereka sedar. Saya pernah duduk dalam situasi yang mana wang menjadi objektif hidup, siang dan malam hanya melihat cara mendapatkan lebih banyak wang. Namun dengan kasih sayang Allah swt, saya diberi jalan untuk berubah. Kehidupan tanpa memikirkan wang, walaupun ianya perlu cukup membahagiakan. Mungkin ada yang berfikir jika tidak memikirkan wang maka bagaimana untuk hidup. Wang itu perlu cuma maksud saya biarkan wang dengan dunianya dan bukan kita duduk dalam dunianya. Apa yang pasti dengan pengalaman yang saya lalui bila wang tidak lagi menjadi objektif, badan lebih bertenaga, hidup lebih ceria dan keadaan itu menarik wang datang dengan lebih cepat dan berkesan. Saya tetap bekerja tetapi saya bekerja bukan dengan motif wang , saya suka dengan kerjaya saya. Maka tiada tekanan yang saya hadapi dan hasilnya kerjaya makin meningkat dan wang datang dengan sendirinya.
Dalam cerita perihal wang, bagi yang pernah hadir dalam program saya, mungkin pernah mendengar hadis yang menjadi kegemaran saya dan hadis inilah yang mengubah pandangan hidup saya terhadap wang serta hadis inilah yang memberi teknik berkesan untuk saya mengalami transformasi berkesan bukan sekadar melibatkan wang tetapi dari segala sudut kehidupan. Abu hurairah r.a berkata bahawasanya rasulullah saw bersabda : Allah telah berfirman “telah berfirman Allah kepada malaikat pembahagi (pengedar) rezeki kepada bani Adam : mana satu hamba Ku yang kamu temui menujukan harapannya kepada Aku semata maka jaminkanlah rezekinya langit dan bumi. Dan mana satu hamba Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain dari itu maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperolehi lebih daripada apa yang telah Aku tentukan untuk mereka itu.” (riwayat abu naim).
Manusia ini tergolong dalam tiga golongan, golongan pertama yang paling berjaya kerana setiap apa yang mereka lakukan, penyerahan dan harapan mereka itu hanyalah kepada Allah swt. Maka apa yang mereka citakan insya Allah tercapai kerana jaminan langit dan bumi telah diberikan yang mana jika boleh saya kupas, ke mana sahaja kita pergi, janganlah risau pasti rezeki untuk kita sudah diadakan. Ianya telah dijamin dan apa juga yang kita lakukan ada jaminan rezeki ASALKAN harapan kita bukan pada hasil usaha tetapi kepada Allah semata. Golongan yang kedua adalah mereka mencari rezekinya maka insya Allah akan dipermudahkan jalan-jalannya. Mungkin ada yang bertanya, mengapa tadinya saya berkata mencari itu sukar sedangkan kini mencari rezeki dipermudahkan. Jawapannya adalah kaedah mencari yang kita ada pada hari ini adalah kaedah yang tergolong dalam golongan ketiga yakni kita sering percaya yang usaha kita menentukan hasil walhal sebenarnya hasil itu hak mutlak keputusan Allah swt. Adakalanya kita sering berkata “inilah sahaja jalan yang ada untuk kaya” sepertinya kita sudah melangkaui kehebatan Allah swt dalam memberi rezeki maka kita tidak akan dapat lebih dari apa yang ditentukanNya. Antara kegagalan dalam mencari rezeki hari ini adalah kita memikirkan hanya jalan yang kita lalui itu cara yang ada dalam mencari rezeki, walhal kita tidak pula meletakkan harapan kepada Allah semata. Maka cubalah lakukan perubahan dalam usaha dengan mengikut tatacara hadis di atas dan perhatikan selama sebulan dua, bagaimana kerzekian anda.
Pertama, dalam apapun usaha, harapan hanya kepada Allah swt, dan sebelum berusaha harapa itu sudah perlu ada dan yang kedua barulah kita berusaha ke arahnya. Jangan lakukan usaha sebelum harapan yang penuh kepadaNya dan yang terakhir yang pula kita yang menentukan kerana jika kita tergolong dalam golongan ketiga, kita bakal duduk dalam kekecewaan. Amiin.
No comments:
Post a Comment