16.9.11

Ejen FBI diajar Islam serong..Semakin Alim Muslim Semakin Berpotensi Menjadi Pengganas!....Perang NLP ni!

Ejen FBI diajar Islam serong

WASHINGTON 15 Sept. - Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengajar ejen antikeganasannya pelbagai perkara tidak benar tentang Islam, antaranya majoriti penduduk Islam Amerika berkemungkinan besar menyokong pengganas dan Nabi Muhammad SAW pula adalah seorang 'pemimpin kumpulan ajaran sesat'.

Turut diajar ialah amalan bersedekah yang dituntut oleh agama Islam hanyalah 'mekanisme pembiayaan untuk berperang'.

Perkara itu terkandung dalam berpuluh-puluh muka surat dokumen latihan FBI mengenai Islam yang diperoleh oleh akhbar Huffington Post.

Di pusat latihan FBI di Quantico, Virginia, ejen-ejen diperlihatkan carta yang menggambarkan 'lagi warak seseorang Muslim, lagi besar kemungkinannya dia akan bertindak 'ganas'.

Kecenderungan tersebut tidak dapat dibetulkan, menurut bahan latihan FBI itu.

"Perang ke atas orang kafir adalah wajar mengikut undang-undang Islam, dan proses penyederhanaan tidak boleh berlaku jika al-Quran terus dianggap sebagai kalam Allah yang muktamad dan tidak boleh dipinda," menurutnya.

Dalam manual latihan itu, agama Islam yang mendapat perlindungan di sisi Perlembagaan AS dan menjadi anutan berjuta-juta rakyat Amerika dipaparkan sebagai petunjuk aktiviti keganasan.

Namun bekas ejen antikeganasan yang mendedahkan modul pengajaran itu berkata, FBI bukan sahaja mempunyai asas undang-undang yang goyah untuk memaparkan rakyat AS beragama Islam yang mematuhi undang-undang sebagai bakal pengganas, tetapi pendekatan biro itu juga boleh dieksploitasi oleh al-Qaeda.

Dengan memberi fokus terhadap amalan agama penduduk Islam Amerika, dan bukan terhadap petanda aktiviti keganasan seperti menyimpan senjata api atau menggunakan pembiayaan tidak telus, kemungkinan besar FBI akan gagal mengesan amaran sebenar tentang keganasan, kata bekas ejen.

Menggambarkan Islam sebagai tidak boleh dipisahkan daripada keganasan adalah propaganda yang disebarkan oleh al-Qaeda yang juga mahu menunjukkan AS memerangi Islam, kata mereka.

Atas sebab itulah, pendedah maklumat dalam FBI menyalurkan bahan-bahan tersebut kepada Huffington Post.

Orang ramai boleh meneliti kertas taklimat FBI yang dimuat turun di laman web akhbar itu dengan melayari: http://www.wired.com/ images_blogs/dangerroom/2011/09/ fbi_islamic_law.pdf

Sejak beberapa tahun lalu, pertubuhan hak sivil Islam Amerika menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan pemantauan FBI dan polis di masjid dan pusat-pusat komuniti Islam.

Mereka khuatir segala tindak-tanduk mereka yang tidak menyalahi undang-undang kini menjadi sasaran di bawah kempen memerangi keganasan.

Dokumen tersebut boleh membantu menjelaskan mengapa FBI dan polis meningkatkan pemantauan terhadap penduduk Islam. - Agensi

No comments: