MEGAH... menara baru Freedom Tower dalam proses pembinaan di bekas tapak WTC
Dalam kajian pendapat di 17 negara mengenai kejadian itu, sejumlah responden percaya AS menjadi dalang utama di sebalik serangan itu.
Tujuh peratus responden menyalahkan Israel, manakala angka sama turut percaya individu lain selain daripada Osama dan al-Qaeda menjadi dalang di sebalik serangan itu.
Berikut ialah 10 teori konspirasi yang dirumuskan mereka.
1. MEREKA TAHU LEBIH DULU
Sejurus selepas serangan itu, Presiden George W Bush berkata: “Tidak ada siapa dalam kerajaan AS dan kerajaan sebelum ini pernah terfikir untuk merempuh pesawat pada bangunan.”
Hanya beberapa minggu sebelum itu, ketika Bush dan pemimpin dunia lain berbincang pada persidangan tahunan G8 di Genoa, Itali, perancang keselamatan melakukan persediaan untuk menghadapi serangan seumpama itu.
Peluru berpandu anti-pesawat ditempatkan berhampiran Genoa kerana Itali menerima ancaman bahawa pesawat akan digunakan sebagai senjata bagi membunuh pemimpin G8.
Markas Pertahanan Angkasa Lepas Amerika Utara (Norad) menjalani latihan bagi menghadapi seumpama itu.
2. LETUPAN YANG TERKAWAL
Ahli teori konspirasi, termasuk ahli fizik dan jurutera perisian, percaya bangunan berkembar WTC runtuh akibat letupan yang terkawal, bukan angkara dirempuh pesawat. Pendapat itu diluahkan berikutan fakta bahawa dua menara itu runtuh secara teratur hingga ke dasarnya, berbanding hanya bahagian atas menara yang musnah.
Kumpulan ahli teori itu percaya sejumlah besar bahan letupan disembunyikan dalam kedua-dua menara itu dan cerucuk keluli yang menyokong bangunan itu dipotong terlebih dulu, membolehkan bangunan berkenaan runtuh pada tapaknya. Dan berikutan langkah keselamatan ketat di tapak bangunan itu selepas ia runtuh, bahan bukti kemudian dapat dialihkan dan dihantar untuk dikitar semula.
3. ORANG DALAM BURSA SAHAM MERANCANGNYA
Sebelum insiden serangan 11 September, berlaku beberapa siri perdagangan saham yang luar biasa di kalangan syarikat yang menerima kesan negatif dan positif akibat serangan itu. United Airlines dan American Airlines, yang kedua-duanya hilang pesawat dalam serangan, dijual begitu banyak sebelum serangan. Tiada syarikat penerbangan AS lain dilihat mengalami kegiatan saham seperti dua syarikat berkenaan.
Saham syarikat pertahanan yang mendapat faedah berikutan tindak balas agresif ketenteraan turut memperoleh banyak belian pada minggu sebelum serangan. Morgan Stanley yang beribu pejabat di WTC adalah syarikat yang banyak membuat jualan saham. Begitu juga dengan syarikat insurans.
Malah, Suruhanjaya Sekuriti dan Saham AS melancarkan siasatan terhadap kegiatan Wall Street sebelum serangan berlaku.
4. MENAHAN KEMARAAN PESAWAT
Norad mempunyai sistem maklumat canggih mengenai rampasan pesawat itu tetapi mengarahkan juruterbang mereka supaya tidak bertindak atau sengaja melengahkan tindakan supaya tidak dapat menghalang pesawat yang dirampas itu daripada tiba ke sasaran mereka.
Sudah pasti Norad yang bertanggungjawab ke atas pertahanan udara mampu mengesan pesawat penumpang yang besar dan berat.
Bukankah mereka mempunyai sistem radar paling canggih? Jadi, mengapa mereka tidak bertindak sewajarnya dan menghalang tragedi itu daripada berlaku? Dan mengapa dua jet diarah keluar dari ruang angkasa tentera di ruang udara Long Island ketika Bandar Raya New York diserang?
5. ‘PESAWAT’ PENTAGON
Ahli teori konspirasi berkata, Pentagon tidak diserang pesawat penerbangan American Airlines 77. Bangunan pertahanan paling selamat di dunia itu mempunyai sejumlah besar kamera yang mengawasi keadaan sekitarnya. Namun, tiada satu pun daripada kamera berkenaan dapat menangkap imej pesawat itu. Malah, ia mungkin peluru berpandu yang dilepaskan penyangak kerajaan AS.
Dan lubang akibat serangan pesawat itu hanya seluas 20 meter, sedangkan panjang sayap Boeing 757 adalah 40 meter dari hujung ke hujung. Lubang yang berlaku di Pentagon juga terlalu kemas dan bangunan itu hanya rosak sedikit, seolah-olah ia bukan kesan serangan pesawat yang dipandu laju. Ia adalah hasil tembakan peluru berpandu.
6. KOTAK HITAM
Semua pesawat yang digunakan dalam serangan itu membawa dua kotak hitam. Laporan rasmi insiden serangan 11 September berkata, tiada satu pun daripada empat kotak hitam dua pesawat yang merempuh menara berkembar WTC dapat diselamatkan kerana musnah terbakar. Namun, dua lelaki yang bekerja di kawasan kejadian berkata, mereka membantu ejen persekutuan menyelamatkan tiga daripada empat kotak hitam itu.
Kotak hitam dalam pesawat yang menyerang Pentagon dikatakan musnah teruk dan maklumat mustahil diperoleh. Hanya kotak hitam pesawat penerbangan United 93, di mana penumpang dan kru kabin dikatakan melawan perampas pesawat hingga menyebabkan ia terhempas di ladang jagung di kawasan luar bandar Pennsylvania, ditemui.
Namun, ia mengambil masa tujuh bulan sebelum keluarga dapat mendengar pita rakaman dan lima tahun enam bulan sebelum ia dikemukakan dalam perbicaraan orang yang digelar perampas ke-20.
7. MENYALAHKAN CIA DAN MOSSAD
Seorang bekas Presiden Itali merangsang lagi teori konspirasi apabila berkata, semua anggota parti pembangkang Itali tahu Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan ejen perisikan Israel, Mossad adalah dalang serangan itu dan menjadikan militan Islam sebagai kambing hitam.
Ia membolehkan AS memberi sokongan penuh dan berterusan kepada Israel. Sementara itu, bekas ketua agensi Perisikan Pakistan (ISI) mendakwa, pihaknya mempunyai maklumat mengenai serangan itu dan tahu CIA bekerjasama dalam Israel untuk melancarkan serangan.
Dan serangan itu adalah peluang paling sempurna untuk Zionis menguasai hal-ehwal dunia sebagai membalas dendam.
8. BUKAN ANGKARA PESAWAT
Pesawat Boeing yang digunakan dalam serangan itu sebahagian besarnya diperbuat daripada aluminium dan secara fizikalnya, mustahil ia boleh menyebabkan kemusnahan sebagaimana berlaku di WTC dan Pentagon. Menurut video ahli teori terbabit yang tersebar di Internet, serangan itu dilakukan menggunakan peluru berpandu dengan kesan hologram.
Teori mereka disokong analisis secara berperingkat serangan ke atas menara berkembar WTC. Paparan video itu menunjukkan objek berbentuk cerut dan bukan pesawat. Tambahan pula, bahang disebabkan oleh minyak pesawat tidak mungkin cukup panas untuk mencairkan cerucuk keluli yang menyokong bangunan menara berkembar itu.
9. ISU TENAGA MINYAK YANG BERAKHIR DENGAN BAIK
Harga minyak berikutan peristiwa serangan 11 September menunjukkan penurunan disebabkan pengeluaran secara berlebihan dan penemuan telaga minyak baru. Namun, isu serangan dramatik di AS dan menyalahkan militan Islam atas apa yang berlaku memberi kesan jangka panjang terhadap harga minyak.
Dengan pergolakan yang berlaku di Asia Barat, tindakan ketenteraan AS akan melindungi hasrat strategik mereka untuk menguasai minyak di negara berkenaan. Lagi pun, siapa selain AS mampu merancang serangan seumpama itu.
10. TERSELAMAT DARIPADA TRAGEDI
Ahli teori hairan dengan kisah seorang anggota bomba yang terselamat selepas jatuh dari tingkat 82 runtuhan menara utara dengan memegang sisa runtuhan ketika ia jatuh di besi pasak bangunan itu. Satu lagi kisah menceritakan seorang kakitangan syarikat kewangan yang gemarkan sukan luncur, meluncur di atas sisa runtuhan dengan selamat apabila bangunan itu runtuh.
No comments:
Post a Comment