MPP pembangkang tidak akan laksana hukum hudud
KUALA LUMPUR 29 Sept. — Majlis Pimpinan Pakatan (MPP) pembangkang tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti yang dicadangkan Pas kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pakatan pembangkang menghormati pendirian Pas dalam hal itu tetapi pada masa yang sama menerima perbezaan pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya.
“Kita tak boleh nafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pendirian tetapi kita terikat dengan dasar bersama dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pakatan pembangkang selama tiga jam di sini malam tadi.
Turut hadir Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Ketika ditanya sama ada isu hudud akan terus diketepikan pada masa akan datang, Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, gabungan itu tidak ada masalah untuk membincangkan tentangnya kerana berpegang pada prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara. — Bernama
======================
Pembangkang tolak cadangan Nik Aziz kerana tak tepati dasar bersama
KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang sepakat tidak akan melaksanakan undang-undang hudud seperti yang dicadangkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana pelaksanaannya tidak menepati dasar bersama pakatan itu, Perlembagaan Persekutuan dan kandungan Buku Jingga.
Turut hadir, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Isu hudud dibangkitkan Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum ini yang bercadang untuk melaksanakannya di Kelantan. Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan rakan sekutu parti itu, DAP.
Ditanya sama ada keputusan itu akan berubah pada masa akan datang, Anwar berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah membincangkan perkara itu jika ia dibangkitkan.
Anwar berkata, pakatan pembangkang juga tidak boleh menafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pandangan berhubung isu itu.
“Kita mengambil berat pandangan itu dengan serius, mereka (DAP) juga mengkaji dan menghormati (pandangan PAS),” katanya.
===========