Ada yang bertunang, berkahwin, mengadakan konsert, majlis dan pelbagai aktiviti yang menunjukkan mereka konsen dgn tarikh ini.....
Namun begitu, Allah juga ingin menguji hambanya pada tarikh 10-10-10 ini apabila Allah mengizinkan berlakunya sesuatu yang cukup tragis bagi pembaca malah lebih ngeri dan tragis menjadi memori ingatan yang berkekalan bagi yang mengalami....
Ye..semalam..pada tarikh 10-10-10 ...kemalanagan ngeri di Lebuh Raya Kita.....
12 maut tragedi lebuh raya
|
|
SEREMBAN 10 Okt. – Seramai 12 orang maut, manakala lebih 40 lagi cedera termasuk parah apabila dua buah bas, dua buah kereta dan sebuah van terbabit dalam kemalangan di Kilometer 223, Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang ini.
Nahas berlaku apabila sebuah bas ekspres Delima yang dipercayai dipandu laju dari arah selatan gagal dikawal lalu terbabas dan melanggar pembahagi lebuh raya sebelum melambung ke laluan bertentangan.
Bas ekspres itu yang dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur kemudian melanggar sebuah van dan kereta sebelum menghempap dua buah kereta lain dalam kejadian pada 6.50 petang itu.
Pada masa yang sama, sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dinaiki ahli Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) turut gagal mengelak dan melanggar bas ekspres itu.
Tragedi Oktober itu mengakibatkan puluhan ribu kenderaan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sehingga lewat malam ini apabila pihak berkuasa terpaksa menutup laluan di kedua-dua arah untuk kerja-kerja menyelamat.
Sehingga pukul 11 malam ini, pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mayat mangsa termasuk penumpang bas dan kenderaan yang dihempap oleh bas itu.
Difahamkan, mangsa yang maut adalah pemandu bas dan penumpang serta penumpang dua buah kereta yang terhimpit dihempap bas tersebut.
Pengarah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, Dr. Jaafar Che Mat pada sidang akhbar lewat malam ini memaklumkan, pihaknya menerima 24 orang mangsa yang cedera terdiri daripada lapan lelaki dan 16 wanita, kesemuanya dewasa.
Katanya, seorang daripada mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Menurut beliau, kesemua mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala mereka yang cedera menerima rawatan di HTJ.
Antara yang dilihat menerima rawatan termasuk seorang pelancong warga Jepun.
Berikutan kemalangan itu, pihak polis telah menutup laluan masuk ke lebuh raya arah selatan di Plaza Tol Pedas, Linggi di Rembau.
Kebanyakan kenderaan yang memasuki lebuh raya dinasihatkan oleh Plus Expressways Berhad (PLUS) untuk menggunakan laluan alternatif.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi malam ini mengesahkan kejadian tersebut dan menurutnya, ketika ini, identiti mangsa yang cedera dan meninggal dunia masih belum diketahui.
Operasi menyelamat masih dijalankan oleh pasukan bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta bantuan pihak paramedik dari hospital yang berdekatan.
Dalam pada itu, salah seorang penumpang bas Ekspres Delima yang terselamat, Nur Najlaa Aqilah Mohd. Ghazali, 19, berkata, dia tiba-tiba terasa bas yang dinaikinya berpusing lalu menghempap sebuah kereta selepas melambung ke laluan bertentangan.
“Ketika kejadian, saya sedang tidur. Saya tersedar apabila bas itu berpusing dan menghempap kenderaan di laluan bertentangan. Tidak lama kemudian, bas yang kami naiki dirempuh beberapa kenderaan lain termasuk sebuah bas (membawa ahli PBTM),” kata pelajar Universiti Malaya itu yang kini dirawat di HTJ setelah mengalami kecederaan di tangan dan muka.
Difahamkan, bas JKM membawa peserta yang menghadiri Perhimpunan Raksasa PBTM, turut dinaiki Exco Kerajaan Melaka, Datuk Karim Sulaiman. Bagaimanapun, kesemua penumpang bas itu dilaporkan selamat.
======
Kesesakan teruk empat jam di kawasan kemalangan
ALOR GAJAH: Kemalangan yang meragut 12 nyawa di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara Selatan di antara Hentian Pedas-Linggi dan Tol Plaza Simpang Ampat, mengakibatkan laluan di kawasan itu bagi kedua-dua arah mengalami kesesakan teruk kira-kira empat jam malam tadi.Laluan paling teruk mengalami kesesakan adalah ke arah Selatan apabila ribuan kenderaan terkandas agak lama berikutan dua bas dan beberapa kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu melintang di atas lebuh raya.
Beberapa mayat serta orang ramai yang cedera bergelimpangan di atas jalan turut menyebabkan keadaan bertambah buruk.
Kelihatan juga polis trafik dan peronda bertungkus-lumus cuba membantu bagi melancarkan perjalanan.
Plaza Tol Simpang Ampat yang letaknya kira-kira enam kilometer dari lokasi kemalangan terpaksa ditutup sejurus selepas insiden pada kira-kira jam 6.50 petang itu.
Ini menyebabkan ribuan pengguna terutama yang hendak ke Kuala Lumpur terpaksa menggunakan laluan lama melalui Rembau, Negeri Sembilan manakala bagi ke Selatan, menggunakan Plaza Tol Ayer Keroh.
Antara yang dilaporkan terperangkap dalam kesesakan itu adalah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Beliau dikatakan terpaksa masuk ke Tol Plaza Pedas Linggi, Negeri Sembilan, sebelum menuju ke Rembau dan Simpang Ampat.
Kebanyakan pengguna lebuh raya yang hendak memasuki Melaka atau menuju ke Johor datang dari Kuala Lumpur selepas bercuti hujung minggu.
Sementara itu, jurucakap Pusat Kawalan Trafik PLUS memaklumkan, laluan di lokasi kemalangan mula ditutup jam 8.45 malam, kira-kira dua jam selepas kejadian bagi kerja pembersihan dan penyuraian trafik, menyebabkan lebuh raya kesesakan teruk sejauh 15 kilometer menghala ke selatan dan lapan kilometer di laluan arah utara.
“Hampir keseluruhan laluan di kedua-dua arah terjejas berikutan kemalangan itu kerana membabitkan banyak kenderaan,” katanya.
“Kami mengambil masa agak lama untuk membersihkan lokasi nahas bagi memberi ruang kepada kerja menyelamat oleh pihak berkaitan, termasuk polis, bomba dan paramedik sebelum itu,” katanya ketika dihubungi.
====
Bas bergoyang kuat, berpusing'
Kemalangan berlaku jam 7.12 malam apabila sebuah bas Ekspres Delima dari arah selatan menuju ke Kuala Lumpur terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah van. Sebuah bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tiga kereta turut terbabit dalam kemalangan itu.Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom, berkata kemalangan berlaku di lebuh raya menghala ke selatan, iaitu di antara Hentian Pedas-Linggi dan Plaza Tol Simpang Ampat.
“Sebahagian besar mangsa dihantar ke Hospital Tampin, Alor Gajah dan Melaka bagi memudahkan mereka menerima rawatan kerana kemalangan berlaku di lebuh raya menghala ke selatan,” katanya kepada Berita Harian malam tadi.
Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat, berkata 24 pegawai dan anggota dari balai Rembau, Tampin dan Alor Gajah dihantar ke tempat kejadian untuk menyelamatkan mangsa.
Seorang penumpang bas ekspres yang cedera dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), Nur Najlaa Aqilah Mohd Ghazali, 19, berkata dia sedang tidur ketika kejadian.
Pelajar Universiti Malaya itu berkata, dia terkejut daripada tidur apabila bas bergoyang kuat dan berpusing beberapa kali sebelum terbabas di lebuh raya bertentangan.
“Bas menimpa sebuah kereta sebelum dirempuh sebuah bas dari arah bertentangan. Keadaan kelam kabut dan nasib baik saya hanya cedera ringan,” katanya yang cedera muka dan tangan.
=====
Mangsa terkulai di tingkap van
ALOR GAJAH: “Sebaik keluar dari kereta, saya terlihat mayat pemandu van putih terjuntai dari pintu tingkap, manakala bas Delima Ekspress pula melintang di tengah-tengah lebuh raya sehingga menutupi ketiga-tiga lorong laluan menuju ke Alor Gajah.
“Selepas itu, saya berlari ke arah bas berkenaan dan terlihat pemandu kenderaan itu mengadu kesakitan akibat tangannya tersepit di stereng. Saya cuba membantu tapi tak berjaya,” kata Md Razel Sarmin, 38, pemandu Honda City yang terselamat dalam kejadian itu.
“Saya sempat melihat bas itu merempuh Toyota Hiace, sebelum van itu berpusing beberapa kali. Saya berjaya mengelak dari terkena bas itu, namun tetap tergesel dengan van berkenaan.
“Sejurus selepas itu, saya terus menghentikan kereta dan meminta semua tujuh ahli keluarga lain keluar. Selepas itu, baru saya perasaan terdapat banyak mayat bergelimpangan di atas permukaan jalan,” katanya.
Seorang lagi saksi kejadian, Abdul Hamid Hassan, 55, pesara tentera dari Taman Rambai Jaya, dekat sini, yang turut terselamat dalam kejadian itu berkata, sejurus sebelum kemalangan itu, dia sedang tidur.
Abdul Hamid yang duduk di bahagian depan bas berkata, dia hanya tersedar apabila bas berkenaan berhenti secara mengejut.
“Sebaik membuka mata, saya terperanjat apabila melihat sebuah bas sedang melintang di tengah jalan dan ketika itu juga pemandu bas kami cuba mengelak. Bagaimanapun, bas tetap terlanggar bahagian belakang kenderaan itu.
“Saya dimaklumkan tiga rakan kami termasuk seorang wanita yang sedang mengandung cedera dan terpaksa dikejarkan ke hospital,” katanya sambil mengakui turut melihat dua mayat terbaring di atas jalan termasuk satu tanpa kepala.
No comments:
Post a Comment