24.10.10

KITA PENCINTA DUNIA ATAU PENCINTA AKHIRAT

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

“Barang siapa yang fokus perhatiannya hanya pada akhirat maka Allah akan kukuhkan urusannya dan Allah jadikan kekayaan di dalam hatinya dan dunia datang kepadanya tanpa diminta, dan barang siapa yang fokus perhatiannya hanya pada dunia maka Allah cerai-beraikan urusannya dan Allah jadikan kefakirannya di depan kedua matanya dan tidaklah datang dunia kepadanya kecuali yang telah Allah tetapkan baginya.” (HR Ibnu Majah)

Barang siapa yang menjadikan akhirat sebagai fokus kepedulian dan liputan hatinya, pastilah semua gerakan hidupnya sentiasa berselimutkan akhirat.

Tidak ada waktu yang berlalu kecuali akhirat ikut mengambil bahagian dalam :

  1. Ucapannya.
  2. Wacananya.
  3. Perbincangannya.
  4. Diskusi-diskusinya.

Dia :

  1. Gembira kerana akhirat.
  2. Sedih kerana ingat akhirat.
  3. Rela berjuang demi akhirat.
  4. Marah demi akhirat.
  5. Bergerak kerana akhirat.
  6. Membela kebenaran kerana akhirat.
  7. Menerjah bahaya kerana akhirat.
  8. Melangkah kerana akhirat.
  9. Bersedia menjadi pemimpin kerana akhirat.

Hatinya sepi dari kenikmatan dunia kerana dia ingin menjadi manusia akhirat walaupun dia sendiri memiliki banyak habuan dunia di tangannya namun dunia tidak mampu menembusi hatinya.

Dunia hanya berupaya untuk tinggal di tangannya dan dia dengan mudah mengelolanya.

Ini kerana, jika dunia sampai melekat dalam hati, maka seseorang itu akan dikendalikan oleh dunia dan dia akan menjadi hambanya.

Oleh sebab itu, dunia boleh menjadi hamba yang baik dan mungkin juga boleh menjadi tuan yang paling jahat.

Seseorang yang telah menjadikan akhirat sebagai fokus utamanya, dia akan mendapatkan tiga nikmat yang tidak terkira harganya di mana andaikata para raja mengetahui tentang nikmat itu pastilah mereka akan memukulnya dengan cemeti hingga mereka dapat merampas nikmat itu darinya.

Namun kurniaan itu Allah berikan kepada siapa yang Dia kehendaki dari hamba-hambaNya yang telah menghambakan diri mereka secara sepenuhnya kepadaNya dan tidaklah ada yang masuk ke dalam hatinya selain Allah, dari berhala-hala dunia dan perhiasannya yang hanya akan mengaburkan pandangan tajamnya tentang akhirat.

NIKMAT PERTAMA: ALLAH BERIKAN KEKUKUHAN PADA URUSAN HIDUPNYA.

Ini akan menyebabkan orang itu akan diliputi dengan perkara-perkara berikut :

  1. Rasa damai dan tenteram.
  2. Fikirannya fokus dan jernih.
  3. Sifat lupanya sangat jarang.
  4. Keluarganya sentiasa mendukung dan bersamanya.
  5. Suasana cinta tumbuh subur di tengah keluarganya dan anak-anaknya menyenanginya.
  6. Keluarga dekatnya sentiasa dekat dan berhimpun dengan dirinya.
  7. Perpecahan tidak muncul di tengah-tengah mereka.
  8. Hartanya mudah diperolehi.
  9. Dia tidak terlibat dalam perniagaan yang merugikan atau tindakan-tindakan yang tidak bijak.
  10. Tidak ada seorangpun yang melihatnya kecuali mereka pasti menyukainya.
  11. Kebaikan-kebaikan sentiasa mengiringinya.

NIKMAT KEDUA : ALLAH KURNIAKAN PADANYA NIKMAT YANG PALING AGUNG IAITU KAYA JIWA.

Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadits shahih yang mengatakan :

“Bukanlah kekayaan itu kaya harta namun kaya yang sebenarnya adalah kaya hati dan jiwa.” (HR Muslim)

Manusia-manusia yang kaya jiwa akan sentiasa :

  1. Merasa puas dengan apa yang Allah kurniakan padanya.
  2. Tenteram jiwanya dengan apa yang Allah kurniakan.
  3. Menilai dari mana dia dapatkan hartanya dan untuk apa dia belanja dan gunakan.

NIKMAT KETIGA : DUNIA AKAN DATANG KEPADANYA TANPA DIMINTA.

Dia seringkali lari menghindari dunia namun dunia sentiasa mengejar-ngejarnya dengan hina. Dunia memburunya namun dia tidak peduli pada dunia kerana dia yakin dia pasti mendapatkannnya dan bahkan akan ditambah bahagiannya.


SEBALIKNYA MANUSIA YANG MENJADIKAN DUNIA sebagai fokus utamanya, maka dia tidak akan berfikir kecuali tentangnya. Otaknya sentiasa sibuk memikir dan memeras akalnya.

Dia :

  1. Tidak bekerja kecuali demi dunia.
  2. Tidak gembira kecuali kerana dunia.
  3. Tidak sedih kecuali kerana memikirkan dunia.

Hatinya diliputi dunia sehingga akhirat lenyap dari fikiran dan hatinya. Maka akhirnya Allah akan turunkan azab-azabnya seperti berikut:

AZAB YANG PERTAMA : ALLAH AKAN KACAU BILAUKAN URUSANNYA.

  1. Allah kacaukan fikirannya.
  2. Allah goncang jiwanya.
  3. Allah tumpahkan kesedihan dan gundah gulana dalam hatinya.
  4. Anak-anaknya menjadi anak-anak yang melawan perintahnya.
  5. Isteri atau suaminya menjadi pasangan yang tidak setia.
  6. Berbagai keluhan muncul setiap saat.
  7. Berbagai sikap pembangkangan menghiasi rumah tangganya.

Ia terasa ingin sekali melepaskan dirinya dari kehidupan ini kerana seakan-akan hidupnya terasa sentiasa membara dengan kepulan asap masaalah yang tiada henti. Setiap kali manusia melihatnya, muncul perasaan benci secara tiba-tiba.

AZAB YANG KEDUA : DIA AKAN MENGALAMI KEFAKIRAN YANG MENYELIMUTI DIRINYA.

  1. Dia tidak pernah merasa puas dan qana’ah dari dunia yang dia miliki.
  2. Perasaannya terus menerus merasa fakir dan selalu berkurang.

Inilah yang membuatnya sentiasa terseret lari di belakang harta dan mengais-ngaisnya. Setiap perasaan fakir muncul dalam hatinya maka muncul pula gundah gulana yang tidak terhingga, semakin banyak hartanya maka perasaan keresahan dan gundah semakin membakar hatinya.

AZAB YANG KETIGA : WALAUPUN DIA MENGEJAR DUNIA SEBAGAI BONUS TAMBAHAN DARI KEPERLUANNYA NAMUN HARTA TIDAK MAHU MENDEKATINYA.

Harta sentiasa menjauhkan diri darinya kerana harta telah menjadi tuannya, sementara dia dengan setia menjadi hambanya .

Dunia terus menghindarinya walaupun dia mengejarnya bersungguh-sungguh. Dia laksana orang yang mencari air di fatamorgana ketika dia mendatanginya ternyata hanyalah bayang-bayang belaka.

Dia memburu kedudukan, pangkat, pujian dan kemasyhuran di tengah mata manusia yang ingin melihatnya dan ingin memujinya sehingga dia mesti bersusah payah dan menghancurkan dirinya namun yang dia kejar sentiasa lari lebih kencang.

Ini semua adalah siksaan dari Allah kerana dia mengalihkan penghambaannya dari Allah kepada dunia.

Suatu ketika Saiyyidina Uthman Bin Affan, khalifah ketiga umat Islam pernah berkata :

“Fokus pada dunia adalah kegelapan dalam hati sedangkan fokus pada akhirat adalah cahaya dalam hati.”

Manusia pencinta akhirat akan :

  1. Hidup untuk akhiratnya.
  2. Bekerja keras untuk membangun istana-istana megah di akhirat.
  3. Kumpulkan segala bekalannya untuk kehidupan akhirat yang lebih kekal.
  4. Berjuang untuk keabadiannya di akhirat.
  5. Bergerak untuk mengisi pundi-pundi tabungan akhiratnya kerana dia tahu dan sedar bahwa akhirat adalah negeri keabadiannya.

Ibarat seperti mereka yang menjadi tenaga kerja di luar negara. Orang yang bijak dari mereka tidak akan menghamburkan wang gaji mereka yang telah diperolehi untuk perkara yang sia-sia. Hasil dari susah payah tersebut akan ia kumpulkan sebagai bekalan untuk pulang ke negara asalnya kerana ia sedar bahwa keberadaannya di rantau orang tidak akan berlaku selama-lamanya di mana pada suatu hari ia mesti pulang juga ke kampung asalnya sesuai dengan batasan waktu yang telah ditetapkan untuknya.

Adapun hamba dunia, ia memiliki pandangan yang singkat iaitu hidup untuk sebuah dunia yang fana. Orang-orang yang berfikiran singkat dari mereka lebih memilih kesenangan sesaat.

  1. Waktu mereka telah dihabiskan.
  2. Tenaga telah banyak dikeluarkan.
  3. Fikiran telah diperas.

Manakala mereka ingin terus menikmati hasil kerja keras itu sehingga ketika batas waktu telah habis dan waktu pulang ke negara asal telah tiba, mereka tidak mempunyai bekalan untuk dibawa balik ke kampung halaman. Tidak ada yang mampu mereka berikan untuk keluarga dan sanak saudara. Semuanya telah mereka habiskan selama berada di negara orang.

Begitulah lebih kurang perumpamaan orang-orang yang cerdik dan bodoh sehingga Rasulullah saw sendiri telah menegaskan bahwa,

"Orang cerdik itu adalah dia yang sentiasa menghisab dirinya dan beramal untuk sesudah kematian, adapun mereka yang lemah (jiwa dan akal) adalah mereka yang sentiasa mengikuti hawa nafsunya dan suka berangan-angan kepada Allah swt."

Sekarang marilah bertanya kembali pada diri kita samada kita ingin tergolong ke dalam golongan mana di antara keduanya.

Apakah kita akan menghabiskan waktu, fikiran, tenaga dan harta kita untuk kesenangan yang sesaat?

Ataukah kita memilih untuk bersabar dan mengutamakan kenikmatan yang kekal di akhirat kelak?

Dalam sebuah hadits yang sering kita dengar yang diriwayatkan oleh Abu Barzah ra bahwa Rasulullah saw bersabda :

"Tidak akan bergeser kedua kaki anak Adam pada hari kiamat sebelum ditanya tentang empat perkara : Tentang umurnya untuk apa ia habiskan, masa mudanya untuk apa ia gunakan, hartanya dari mana di perolehi dan ke mana dibelanjakan, dan ilmunya apa yang diamalkannya. " (HR Tirmizi)

Bekerja di dunia memang tidak salah, yang menjadi salah adalah ketika kita menjadikan dunia sebagai tujuan dan matlamat sehingga lupa pada akhirat.

Yang terbaik adalah bekerjalah di dunia untuk persiapan bekalan di akhirat kelak.

Binalah bangunan-bangunan sebagai wasilah untuk ibadah, amal soleh dan segala bentuk ketaatan serta kebaikan yang diridhai Allah swt sehingga waktu yang terpakai, fikiran yang diperas, tenaga yang tercurah dan pembiayaan yang telah dikeluarkan tidak akan menjadi sia-sia malah akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat kelak.

Kita tentu bertekad untuk menjadi manusia pencinta akhirat sehingga :

  1. Allah menyukai kita.
  2. Kaya hati dan jiwa kita.
  3. Dunia datang kepada kita tanpa kita perlu bersusah payah memburunya.

Ya Allah, jadikanlah kecintaan kami kepada akhirat melebihi segala kecintaan kami kepada perhiasan-perhiasan dunia kerana segala apa yang ada di dunia ini semuanya fana dan akan hancur musnah tetapi yang ada di sisiMu tetap kekal dan akan memberi manfaat yang besar kepada kami. Mudahkanlah kepada kami jalan-jalan untuk menjadi manusia pencinta akhirat dan jauhkanlah diri kami dari menjadi pencinta-pencinta dunia.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali

No comments: