14.3.10

TANTAWI..PERGIMU TIADA PENGGANTI

RABU lalu, umat Islam di seluruh dunia sedih berikutan pulangnya ke rahmatullah, Sheikh al-Azhar, Sheikh Dr. Mohamed Sayed Tantawi, 81, yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Riyadh.

Walaupun sebahagian besar kita di Malaysia tidak berkesempatan bertemu Allahyarham, namun ulama besar ini sebenarnya amat dekat dengan negara kita.

Biarpun, pendapat atau fatwa beliau kadangkala mencetuskan kontroversi, keilmuan dan sifat tawaduk beliau disegani kawan mahu pun lawan.

Antara fatwanya yang mengundang kontroversi adalah niqab (pakaian yang menutup seluruh wajah perempuan), pengguguran bayi, serangan berani mati, berkhatan bagi wanita dan ibu tumpang.

Bagaimanapun, fatwa-fatwa beliau kerap menjadi perdebatan dalam dunia Islam.

Sebagai mantan Mufti Besar Mesir yang dilantik sebagai Ketua Universiti al-Azhar pada tahun 1996, Allahyarham sentiasa menjadi pusat rujukan umat Islam dalam mendepani pelbagai isu.

Malah, beliau menduduki tangga kelapan dalam buku 500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia The Royal Islamic Strategic Studies Center susunan pengkaji perbandingan agama, Prof. John Esposito. yang diterbitkan oleh

Tantawi dilahirkan pada Oktober tahun 1928 di Kampung Salim As-Syarquyyah di Muhafazah Sohaj di Soi'd Misr. Beliau menghafal al-Quran dan belajar di Iskandariah, Mesir.

Berkelulusan doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang hadis dan tafsir pada tahun 1966 dengan pangkat mumtaz (cemerlang). Memulakan kerjaya sebagai tenaga pengajar di Kuliah Usuluddin kemudian belajar di Libya.

Beliau kemudian dilantik sebagai Dekan Kuliah Ad-Dirasat Al-'Ulya di Universiti Islam Madinah.

Pada 28 Oktober 1986, dilantik sebagai Mufti Kerajaan Mesir. Kedudukan sebagai ulama terkenal dan berkedudukan tinggi dalam negara dan di peringkat antarabangsa, tidak menjejaskan sifat tawaduk beliau.

Allahyarham terkenal sebagai orang yang zuhud, tenang dan sejuk mata memandang. Malah, setiap butir percakapannya mampu menusuk ke jiwa sanubari sesiapa yang memahaminya.

Diberitakan beliau seorang yang amat kuat membaca dan terlalu asyik jika membaca. Sehingga diceritakan beliau terpaksa meminta pembantunya menunggu dan mengingatkan masuknya waktu solat kerana bimbang terlepas waktu solat.

Sebabnya, jika beliau mula membaca pada awal pagi, maka beliau hanya akan tamat membaca apabila masuk waktu zuhur.

Sesungguhnya kita kehilangan seorang ulama hebat yang berpandangan sederhana. Ketokohan beliau amat diperlukan dalam mendepani isu-isu melibatkan hubungan Islam, kristian dan yahudi.

Pada tahun 2008 di Kuala Lumpur, Tantawi meminta dunia Islam tidak terlalu mudah menghukum semua masyarakat Barat membenci Islam kerana masih terdapat sebahagian mereka yang menghormati agama suci itu.

Sehubungan itu, beliau meminta pendapat yang terlalu umum mengenai hubungan antara Islam dan Barat perlu dielakkan supaya tidak berlaku salah faham.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang soleh. Al-Fatihah.


No comments: