Ahlan Wasahlan...

Jawatan Kosong Untuk Gadis Bawah 27 Tahun

Minuman Kesihatan dan Kekuatan

Minuman Kesihatan dan Kekuatan
Belum Cuba ..Belum Tahu... Cuba dulu baru tahu..

KEHEBATAN SYEIKH RAMADHAN AL-BUTI

Ketinggian ilmu ulama Syria Sheikh Said Ramadhan

TUTUR kata dan keperibadian Sheikh Said Ramadhan dikagumi ramai ulama.


"TIDAK tinggal lagi umur bagi aku melainkan beberapa hari yang boleh dikira. Sesungguhnya aku mencium bau syurga dari belakangnya. Jangan lupa wahai saudaraku untuk mendoakan aku."

Itu pesanan terakhir Sheikh Muhammad Said Ramadhan Al-Bouti, 84, kepada ulama terkenal Yemen, Habib Ali al-Jufri yang menghubungi beliau melalui telefon kira-kira dua minggu sebelum kematiannya akibat serangan nekad pengebom berani mati.

Kejadian itu berlaku sewaktu beliau sedang mengajar anak-anak muridnya di Masjid Eman yang terletak di Damsyik, Syria pada 22 Mac lalu. Serangan tersebut mengakibatkan 42 jemaah terbunuh termasuk beliau.

Ternyata benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hendaklah kamu takuti firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan pandangan Allah."

Keadaan ini menunjukkan seolah-olah Sheikh Said Ramadhan sudah mengetahui ajalnya akan tiba yang semua itu merupakan kurniaan Allah kepada hamba pilihan-Nya.

Apa yang pasti, pemergian Syeikh Said Ramadhan pada malam Jumaat yang mulia dalam keadaan al-Quran didakap di dadanya, ditangisi jutaan umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Reda terima berita

Bagi Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 44, anak murid kepada Sheikh Said Ramadhan ketika menuntut di Universiti Ulum Islamiyyah di Syria sekitar tahun 1994 hingga 1997, walaupun sedih namun beliau menerima takdir itu dengan reda.

"Secara peribadi saya terkejut mendengar berita pemergian guru kami dalam tragedi tersebut. Tetapi, saya reda. Sheikh meninggal dalam keadaan sangat mulia kerana menegakkan agama Allah iaitu ketika mengajar di masjid.

"Antara keistimewaan Sheikh Said Ramadhan ialah beliau seorang mufaqih Islam. Setiap tutur kata dan pengaruhnya dikagumi dan diambil prihatin oleh ramai ulama dunia Islam. Beliau juga merupakan syeikh mazhab Syafie terkemuka pada tahun 1960-an hingga 1970-an," ujar Zulkifli yang merupakan seorang pendakwah bebas di Malaysia ketika dihubungi Kosmo!.


KETINGGIAN ilmunya membuatkan Sheikh Said Ramadhan sering diundang untuk menyampaikan syarahan di seluruh dunia.


Tambah Zulkifli, beliau pernah bertanya pada anak Sheikh Said Ramadhan, Dr. Tawfik Ramadhan berkenaan ayahnya. Ia lantas dibalas dengan kata-kata: "Di rumah kami ada sebuah bilik khas yang aku tidak pernah melihat ayahku kecuali dalam tiga keadaan iaitu membaca, menulis dan bersolat (berzikir)."

Ketika di Syria, Zulkifli turut berkesempatan berguru dengan beberapa ulama selain Sheikh Said Ramadhan iaitu Sheikh Dr. Wahbah Zuhayli, Sheikh Abdul Latif Marfour dan Sheikh Abdul Rahman Habbannakah. Menurut beliau, guru-gurunya di Syria terbahagi kepada beberapa kelompok.

"Ada antara mereka bersama kerajaan, menentang kerajaan atau memilih untuk berdiam diri. Bagi saya, pendirian Sheikh Said Ramadhan terhadap isu di Syria wajar dihormati kerana beliau lebih memahami keadaan semasa di sana.

"Ia berbeza dengan Mesir. Apa pun, Sheikh Said Ramadhan di akhir hayatnya bersama dengan perjuangan rakyat," tegas Zulkifli sambil berharap umat Islam akan berpegang teguh pada pesanan terakhir Sheikh yang meminta mereka bersatu atas kalimah Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Gelaran profesor
Dilahirkan pada tahun 1929 di sebuah perkampungan Ayn Dewar di utara Syria, Sheikh Said Ramadhan merupakan ulama Ahlus Sunah Wal Jamaah (ASWJ) yang bermazhab Syafie terkemuka di negara tersebut.

Beliau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1955. Sekitar tahun 1960-an, Sheikh Said Ramadhan pernah menjadi tenaga pengajar sebelum dilantik sebagai Dekan di Fakulti Syariah, Universiti Damascus, Syria.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Undang-Undang Islam juga di Universiti Al-Azhar.

Semasa hayatnya, beliau masih bergelar profesor di Universiti Damascus dan bergiat aktif dalam persidangan serta seminar di peringkat antarabangsa. Beliau juga telah menulis tidak kurang daripada 40 buah buku dalam pelbagai bidang termasuk kesusasteraan, falsafah, sosiologi dan keagamaan.
Ketinggian ilmunya terserlah dalam kuliah-kuliah dan ceramah yang disampaikan di serata Syria. 

Sebagai seorang ahli akademik, beliau juga menganggotai Majlis Tertinggi Akademi Oxford, England dan penyelidik di Royal Society of the Islamic Civilisation yang berpusat di Amman, Jordan. Antara buku beliau yang terkenal adalah kitab Fiqh Sirah yang menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia.

Sementara itu, pelajar jurusan Ijazah Takhassus Qiraat Shoubra di Maahad Qiraat Al-Azhar, Mesir, Haniff Abu Talib, 24, turut melahirkan rasa sedih di atas pemergian Syeikh Said Ramadhan.
"Kita membesar dengan kitab Fiqh Sirahnya. Takziah kepada seluruh umat Islam kerana kehilangan sebuah permata ummah. Beliau merupakan ulama yang telah mengarang banyak kitab dan kebanyakannya menjadi rujukan utama umat Islam," ungkap Haniff yang turut dipaparkan pada laman sosial Facebook miliknya.

Menurut Haniff, ulama bukanlah maksum dan mereka mempunyai ijtihad sendiri. Tetapi, inilah yang menyebabkan fitnah ke atas Sheikh Said Ramadhan apabila beliau membela rejim Bashar al-Assad.

SALAH satu program wacana ilmiah yang dihadiri Sheikh Said Ramadhan bertempat di Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi sewaktu berkunjung ke Malaysia tiga tahun lalu.


Kunjungan ke Malaysia
"Ia berlaku lantaran kejahilan golongan awam terhadap ijtihad seseorang ulama. Apa pun, ingatlah jasa beliau yang telah meninggalkan banyak ilmunya pada kita," luah anak muda kelahiran Port Dickson, Negeri Sembilan ini.

Pada tahun 2010, Sheikh Said Ramadhan pernah berkunjung ke Malaysia melalui inisiatif yang dianjurkan oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Sepanjang berada di Malaysia, beliau sempat menghadiri pelbagai majlis ilmu dan memberi ceramah yang diterjemahkan oleh Zulkifli.
Ini termasuklah mengadakan syarahan perdana di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor, Wacana Ilmiah: Islamic & Extremism di Institut Kajian Rantau Asia Barat (Ikrab), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kuliah di Masjid Al-Azhar Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan program Aplikasi Fiqh Sirah dalam Realiti Semasa di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Dalam pada itu, salah seorang ulama Syria, Sheikh Muhammad Abul Huda al-Yaqoubi berkata, Allah telah mengurniakan pengakhiran hayatnya dengan kebaikan dan kemuliaan syahid.

"Sesungguhnya pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat umat Islam seluruhnya. Beliau merupakan seorang mujaddid dalam pemikiran dan akidah. Beliau adalah seorang alim rabbani yang berjuang membela Islam dan ASWJ berdekad lamanya di mimbar Damsyik dan kuliah syariah," jelas Sheikh Muhammad Abul Huda.

Beberapa hari sebelum dijemput pulang menghadap Ilahi, Sheikh Said Ramadhan juga pernah berkata: "Setiap apa yang berlaku padaku atau yang menuduhku daripada ijtihadku, maka aku harap ia tidak terlepas daripada ganjaran ijtihad (yang betul mendapat dua ganjaran dan yang tidak mendapat satu ganjaran)."

Jenazah beliau telah disembahyangkan oleh ribuan pengikutnya dan dikebumikan di sebelah makam Salahuddin al-Ayubi yang terletak berdekatan dengan Masjid Ummaiyyah di Damsyik, Syria

No comments: