11.6.12

“Syria: The Inside Story” oleh Ikhwan Muslimin Syria


“Syria: The Inside Story” anjuran IKRAM, ABIM dan HALUAN 
di Masjid Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Ceramah yang diterjemahkan oleh
Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Sahar dihadiri lebih 2,000 jamaah.

Dr Khaled merakamkan penghargaan atas keprihatinan rakyat Malaysia
berkenaaan isu Syria. Menurutnya, pembunuhan terhadap golongan dewasa,
wanita dan kanak-kanak dilakukan  oleh golongan yang menentang Ahlus Sunnah
Wal Jamaah (ASWJ) sejak 40 tahun yang lalu.

Sejak 40 tahun, tambahnya, seramai 60,000 orang syahid dan rejim Basyar
telah melakukan penyembelihan rakyat tidak kurang daripada 100 tempat tanpa
bantuan mana-mana pihak untuk rakyat.

Terkini, rakyat bangun dengan lebih bersemangat bila ditindas ditambah lagi
dengan para tentera Syria yang berpaling tadah meninggalkan rejim ini yang
mencecah 200,000 orang. Beliau menterjemahkan iman kita ibarat muslim yang
satu jasad menentang rejim yang zalim ini.
“Pemerintah yang bertamadun ialah yang adil bukan yang menindas dan
memenjarakan saudaranya,” ujarnya.

Katanya, meskipun rejim ini mendakwa kononnya mereka menentang Yahudi,
sejak 40 tahun lalu, rejim ini tidak pernah bunuh walau seorang Yahudi pun
malah kini telah menghalakan senjata mereka dan membunuh 60,000 rakyat yang
tidak berdosa.

Tambah Khaled, PM Israel Benjamin Netanyahu pernah berkata bahawa Basyar
Al-Assad merupakan orang yang dikasihinya seperti mana mereka kasihi
ayahnya (Hafez Al-Assad) yang kekal membawa kebaikan dan kemaslahatan
kepada Israel.

Mengatakan mereka berjuang melawan Israel merupakan satu penipuan. Baru-baru
ini, di perkampungan bernama Hawlah, seramai  150 orang disembelih,
dicincang termasuk 50 orang kanak-kanak. Ujarnya, rejim ini telah dibantu
oleh Russia, Hizbullah dan Iran yang ingin menghapuskan rakyat ASWJ.
Menurut beliau lagi, ada menara masjid yang ditembak rejim, di tempat
bernama Dar’a, negeri kelahiran Imam An-Nawawi dan ada juga rakyat yang
ditanam hidup-hidup kerana tidak mahu mengatakan “Tiada Tuhan melainkan
Assad”.

Pimpinan IM Syria, Dr Amer Abu Salamah pula menambah, rakyat Syria
menampakkan keberanian mereka hingga sanggup berkorban dan syahid, ribuan
mereka yang cedera dan lebih 2 juta menjadi pelarian.

Sungguhpun Allah SWT berfirman bahawa orang beriman itu bersaudara, namun
demikian katanya, hanya dengan ucapan sahaja tidak memberi manfaat kerana
ia juga menuntut pengorbanan daripada kita jika kita katakan kita
bersama-sama dengan rakyat Syria.

Menurut beliau, amat bahaya bila ada yang mengatakan “Kami tiada apa-apa
kaitan dengan apa yang berlaku di Syria, itu masalah mereka“ sedangkan kita
merupakan jasad yang satu, umat yang satu.

Katanya, umat Islam amat simpati dengan apa berlaku di Gaza dan memang
wajib kita bantu umat Islam di Gaza. Beliau turut mencetuskan persoalan
yang mengheningkan suasana:

“Kini berlaku di pelbagai tempat di Syria seperti mana yang berlaku di
Gaza. Di manakah saudara-saudara Islamku yang telah membantu saudaranya di
Gaza? Takutlah Allah, hendaklah kamu bersama dengan anak yatim yang
dizalimi, mata dikorek, leher mereka dikapak.”

Tambahnya, Kesatuan Ulama Sedunia yang berjumlah 50,000 yang diketuai oleh
Dr Yusuf Al-Qardhawi turut menyokong rakyat Syria dan mengatakan kewajipan
umat Islam membantu rakyat Syria. Jemaah yang hadir turut dipertontonkan
dengan gambar dan video kekejaman rejim Basyar membunuh rakyatnya.

Dr Amer turut mencabar jemaah yang hadir termasuk para ahli perniagaan
untuk menginfakkan harta mereka untuk mencontohi infak para sahabat baginda
Abu Bakr RA, Umar Al-Khattab RA dan Abdur Rahman Auf RA bagi membantu
rakyat Syria yang tertindas.

Menambah semangat untuk menyumbang, beliau menceritakan bagaimana seorang
jutawan Qatar yang menyumbang sebanyak 3 juta Riyal. Dalam masa dua hari
selepas sumbangan, beliau telah mendapat 4 juta Riyal keuntungan
perniagaannya.

Lebih terharu, seorang ibu menyahut cabaran Dr Amer dengan menyumbang
sebanyak RM50,000. Sejumlah lebih RM67,000 sumbangan tunai berjaya dikumpul
selain mereka yang menyahut cabaran infak lebih RM200,000 yang akan
disumbangkan kemudian. Selepas ceramah, kelihatan sebahagian jemaah
berpusu-pusu beratur di mesin ATM Masjid Negeri untuk memindahkan sumbangan
tersebut melalui akaun.
*Sumbangan boleh dibuat melalui Tabung Kasih Ummah Syria atas nama
Pertubuhan Ikram Malaysia akaun Bank Islam Malaysia Berhad 12029010063512. *
**
*Ayuh bantu umat seakidah kita daripada dizalimi dan dibunuh berterusan!
*

Lawatan lima hari ulama dan pimpinan IM Syria di Malaysia berjaya membuka
mata masyarakat negara ini dan memberi gambaran sebenar apa yang berlaku di
Syria. Bagi mereka yang mengatakan kebangkitan rakyat Syria adalah kerana
rencana Barat, anda silap.

*Rakyat Syria seperti Dr Khaled dan Dr Amer sendiri datang ke Malaysia
untuk menceritakan realiti di sana dan bangkit kerana tidak sanggup lagi
melihat kekejaman dan kezaliman berlaku sesuka hati di hadapan mata
lantaran dibiarkan dan didiamkan oleh dunia.
*

Penghargaan harus diberikan kepada penganjur lawatan ini iaitu Sekretariat
Gabungan Selamatkan Syria mewakili suara 27 NGO di mana koordinatornya
adalah anak muda, Saudara Naim Jusri di samping tiga NGO utama gabungan
iaitu IKRAM, ABIM dan HALUAN. Program kesedaran dan pendedahan mengenai
Syria akan terus digerakkan oleh gabungan ini dari masa ke semasa,
insya-Allah.
 
Nota :
 
Bashar Al-Assad adalah berfahaman SYIAH, sebab itu beliau ditolong dan 
disokong oleh Iran dan Hizbullah, Lubnan... itulah yang dimaksudkan oleh
 Dr Khaleed (golongan yang menentang Sunni (ASWJ). 
==========
KISAH SATU
BEIRUT 11 Jun 2012- Tentera Syria hari ini membedil kubu kuat pemberontak di tengah wilayah Homs sebagai usaha menawan semula bandar itu ketika seramai 22 terbunuh di seluruh negara, menurut pasukan pemantau.

Tentera kerajaan menggunakan helikopter untuk menyerang kedudukan pemberontak di bandar Rastan yang menjadi sasaran serangan sejak pertengahan Mei lalu, kata Pemantau Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain.


Di Qusayr, pemberontak menyerang pondok kawalan keselamatan tentera Syria pada awal pagi, menyebabkan beberapa anggota terbunuh dan cedera.

"Pasukan tentera rejim turut memasuki kampung Shaghoureit dan Qastoun di Hama.

"Kami bimbang tentang keganasan yang terus berlaku kerana tentera kerajaan menggunakan penduduk awam sebagai perisai," kata seorang aktivis, Abu Ghazi al-Hamwi.

Menurut jurucakap pemantau hak asasi manusia, sekurang-kurangnya empat terbunuh di Shaghoureit, Qastoun dan al-Laj.

Keganasan di Deir Ezzor turut menyebabkan enam anggota tentera Syria terbunuh manakala satu letupan di bandar Idlib meragut nyawa seorang penduduk awam dan empat tentera kerajaan.

KISAH DUA

Tentera Syria bedil Al-Haffe


IMEJ yang disiarkan di laman YouTube semalam menunjukkan asap menjulang tinggi semasa pertempuran antara tentera Syria dengan para penentang Bashar di Homs.



DAMSYIK - Tentera rejim pemerintah Syria membedil bandar Al-Haffe di utara negara berkenaan untuk hari kelapan semalam.

Perkembangan tersebut mencetuskan kebimbangan akan berlaku pembunuhan beramai-ramai terbaharu di Syria.

Serangan berkenaan turut mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut agar pasukan pemerhatinya diberikan akses untuk melawat bandar itu.

Seorang pegawai pertubuhan Pemerhati Syria bagi Hak Asasi memberitahu agensi berita AFP bahawa tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad menggunakan meriam berat untuk membedil bandar berkenaan sementara mengumpul kekuatan untuk melakukan serangan darat.

Beberapa penduduk Al-Haffe memberitahu bahawa helikopter-helikopter tempur membedil kedudukan pemberontak di bandar itu.
Mereka bimbang tragedi pembunuhan beramai-ramai akan berlaku jika tentera Bashar memasuki Al-Haffe.

Sebelum ini, 55 orang maut dalam pembunuhan beramai-ramai di Al-Kubeir pada minggu lalu dan sekurang-kurangnya 108 mangsa lagi dibunuh dekat Houla pada 25 dan 26 Mei lalu.

Bandar Al-Haffe dianggap strategik kerana terletak berdekatan bandar kelahiran Bashar, Qardaha.

Menurut Abdel Rahman, terdapat ratusan anggota Tentera Pembebasan Syria yang masih aktif dalam dan di sekitar Al-Haffe.

Bandar yang terletak dalam wilayah Latakia dan dihuni oleh sekitar 30,000 orang itu bakal menjadi medan konfrontasi ganas antara pemberontak dan tentera Syria.


Kelmarin, tentera Syria dilaporkan melepaskan bedilan di bandar Homs dan Hama, wilayah Daraa, Aleppo dan pinggir bandar Damsyik.

Pertempuran antara tentera Syria dengan para penentang pemerintahan Bashar bermula pada awal tahun lalu yang dikatakan telah meragut nyawa lebih 14,000 orang. - Agensi

KISAH 3

Syria guna budak: PBB


2012/06/13

NEW YORK: Tentera Syria menyeksa kanak-kanak, membunuh mereka dan menjadikan golongan itu yang semuda usia lapan tahun sebagai perisai manusia ketika menyerang pemberontak, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

PBB melabel kerajaan Syria antara pemerintah paling teruk mengikut senarai negara bermasalah tahunannya kerana kanak-kanak diseksa, dibunuh atau dipaksa berperang. 
Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan 1,200 kanak-kanak maut dalam bantahan anti pemerintah selama 15 bulan terhadap Presiden Bashar al-Assad yang dikecam masyarakat antarabangsa kerana bertindak kejam ke atas penunjuk perasaan. 
“Jarang sekali saya lihat kekejaman terhadap kanak-kanak seperti di Syria apabila kanak-kanak lelaki dan perempuan ditahan, diseksa, dibunuh dan digunakan sebagai perisai manusia,” kata wakil khas PBB bagi kanak-kanak dalam konflik bersenjata, Radhika Coomaraswamy.

Tentera kerajaan mengumpul berpuluh-puluh kanak-kanak lelaki berusia lapan hingga 13 tahun sebelum menyerang kampung Ayn l’Arouz di Idlib pada 9 Mac lalu, menurut laporan.

Mereka digunakan tentera dan anggota militia sebagai perisai manusia, ditempatkan di depan tingkap bas yang membawa askar menyerang kampung itu.

Memetik kenyataan saksi dalam laporan PBB, askar dan pasukan perisik Syria serta militia Shabiha pro-kerajaan (SYIAH), mengepung sebelum menyerang kampung berkenaan lebih empat hari.

Di kalangan 11 yang maut pada hari pertama ialah tiga remaja lelaki berusia 15 hingga 17 tahun, 34 lagi termasuk dua remaja lelaki berusia 14 dan 16 tahun dan seorang budak perempuan berusia sembilan tahun, ditahan.

1 comment:

Antara Mata, Hati dan Minda Perkasa said...

Bashar Al-Assad adalah berfahaman SYIAH, sebab itu beliau ditolong dan disokong oleh Iran dan Hizbullah, Lubnan... itulah yang dimaksudkan oleh Dr Khaleed (golongan yang menentang Sunni (ASWJ).

Sekadar nota makluman.