11.6.12

Perkasakan Naga Jasadi Anda: Usus Anda Perlu Dilindungi!

SIAPA yang tidak pernah mengalami gejala akibat masalah gastrousus seperti pedih ulu hati, ketidakhadaman, kembung dan sembelit? Ramai menganggapnya masalah biasa, tetapi ketidakselesaan akibat masalah penghadaman ini sebenarnya boleh dicegah.
Masalah penghadaman menjejaskan kesihatan ramai orang dan ia boleh menyebabkan keadaan yang lebih teruk seperti barah usus iaitu barah kedua paling lazim di Malaysia baik pada lelaki mahupun wanita.
Malah, masalah penghadaman juga dikenali sebagai punca kematian biasa yang keenam di hospital kerajaan. Justeru, sempena Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2012 (WDHD) dengan sokongan Pertubuhan Gasteroenterologi Sedunia (WGO), rakyat negara ini diseru berikrar dan bersatu bagi mengatasi peningkatan masalah penghadaman yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan keseluruhan dan kualiti hidup seseorang.

Sambutan WDHD kali ini yang dirasmikan Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Perubatan, Datuk Dr Azmi turut disokong oleh Program Kesihatan Penghadaman Vitagen (VHDP).

Menurut Dr Azmi, berdasarkan laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan (Statistik Kanser Malaysia) yang dikeluarkan pada 2007, barah kolorektal (usus) mewakili 12 peratus daripada jumlah kanser yang direkodkan di Malaysia. Ia adalah barah kedua utama dalam kalangan lelaki dan wanita.

Lebih menyedihkan, lebih 90 peratus penyakit penghadaman seperti ini sebenarnya boleh dicegah, namun kebanyakan orang tidak sedar kepentingan menjaga kesihatan sistem penghadaman. Inilah sebabnya diadakan sambutan WDHD bagi meningkatkan kesedaran orang ramai supaya memberi lebih perhatian terhadap kesihatan sistem penghadaman di samping menggalakkan rakyat negara ini berikrar untuk menjalani gaya hidup lebih sihat.

Dengan kerjasama VHDP, Lembaga Penasihat Kesihatan Penghadaman (DHAB) melancarkan kempen ‘Lindungi Usus Anda’ ke seluruh negara bertujuan mengajak rakyat negara ini berubah dan berusaha menjaga sistem penghadaman melalui tiga langkah mudah - amalkan tabiat makan yang sihat, amalkan gaya hidup sihat dan juga pemeriksaan kesihatan dengan kerap.

“Kempen dengan tema ‘Daripada Pedih Hulu Hati hingga Sembelit: Gejala Biasa Gastrousus dalam Masyarakat: Kesan & Tafsiran’, DHAB menyeru semua lapisan masyarakat untuk memainkan peranan aktif menjaga kesihatan masing. Ikrar ‘Lindungi Usus Anda’ bukan saja melambangkan permulaan baik dalam usaha ke arah kesihatan sistem penghadaman,” kata Perunding Gastroenterologi merangkap Pengerusi DHAD, Datuk Dr Muhammad Razi Abu Hassan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bulan Pemakanan Malaysia (NMM), Dr Tee E Siong, pemakanan dan gaya hidup sihat penting untuk kesihatan penghadaman dan keseluruhannya. Pengambilan probiotik sebagai pemakanan seharian dapat membantu memperbaiki kesihatan penghadaman.

No comments: