17.1.11

BICARA Seorang Pejuang Bisness Melayu Muslim.....kental ketika disingkirkan....

Rakan punca Ali Hashim beralah


Muhammad Ali Hashim menunjukkan trofi Pengguna Mesra Terbaik dimenangi KFCH ketika beliau masih menerajui syarikat berkenaan.


KUALA LUMPUR 16 Jan. - Ramai yang terkejut apabila bekas orang kuat Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim meletakkan jawatan dalam kesemua enam buah anak syarikat milik kerajaan negeri Johor lebih awal, ketika beliau dijangka mempertahankannya sehingga berlangsung mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Malah, terdapat pihak yang tidak mempercayai tindakannya itu dan mendakwa beliau mempunyai agenda lain.

Ketika persoalan itu diutarakan, Muhammad Ali berkata, sifat kasih dan sayang terhadap rakan-rakan seperjuangannya yang bersama-sama sejak 30 tahun lalu menjadi pertimbangan utama untuk beliau melepaskan jawatan pengerusi dan pengarah dalam syarikat-syarikat berkenaan.

Muhammad Ali berkata, beliau tidak mahu mereka berasa serba-salah untuk mengundi dalam EGM yang diadakan untuk menyingkir beliau.

Menurut beliau, dalam situasi berkenaan pasti timbul keadaan serba-salah di dalam diri rakan-rakannya sama ada mahu mengundi atau sebaliknya.

''Saya tidak mahu meletakkan mereka dalam keadaan ini hanya disebabkan perkara cukup remeh sedangkan mereka mempunyai tanggungjawab lain yang cukup berat dalam syarikat-syarikat yang diterajui.

''Jadi, jalan terbaik ialah biarlah saya yang beralah kerana keakraban hubungan saya dengan mereka lebih penting. Mereka adalah sebahagian daripada saya, setidak-tidaknya saya masih memiliki rakan-rakan sebaik mereka, merekalah yang mendoakan saya nanti.

''Lebih penting, saya tidak mahu jenazah saya dikafankan dengan 'kerusi' (kuasa) apabila mati nanti,'' katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Pada Rabu lalu, Muhammad Ali melepaskan jawatan pengerusi dan pengarah dalam Kulim (M) Bhd., Damansara Realty Bhd. dan KPJ Healthcare Bhd., yang akan menyingkirkan beliau dalam EGM dijadualkan bulan ini. Tiga syarikat lain yang bakal mengambil tindakan yang sama adalah QSR Brands Bhd., KFC Holdings (M) Bhd. dan KPJ Al Aqar REIT Bhd..

Katanya, pada usia 63 tahun itu, tiada apa yang dikesalkan kerana separuh daripada usianya telah dicurahkan kepada JCorp sehingga berjaya membawa syarikat-syarikat di bawahnya ke tahap sekarang.

Muhammad Ali yang dilantik menerajui JCorp sejak 1982 berkata, apa yang paling penting tindakannya keluar daripada syarikat-syarikat itu bukan disebabkan salah laku, ketidakcekapan, penyelewengan atau mengakibatkan prestasi syarikat.

Malah, beliau sekali lagi menegaskan tidak ada sekelumit rasa kesal terpaksa meninggal JCorp dengan penuh kontroversi kerana apayang penting prinsipnya dipertahankan.

''JCorp bolehlah diumpamakan taman yang menjadi tempat yang paling seronok dan ia juga adalah sekolah yang banyak mengajar saya dalam segala aspek,'' tambah beliau.

Ditanya tentang prinsip yang menjadi pegangannya, beliau secara sinikal berkata, ibunya pernah berpesan supaya tidak sekali-kali membiarkan diri menjadi seperti galah, membiarkan dipergunakan untuk mengait buah tetapi akhirnya ditinggalkan begitu sahaja.

Ditanya sejauh mana kebenaran JCorp tidak mengadakan sebarang majlis perpisahan sebagai tanda penghargaan kepada beliau, Muhammad Ali berkata: ''Saya tidak pernah meminta disanjung sebegitu''.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia difahamkan JCorp tidak membuat sebarang majlis bagi Muhammad Ali meskipun beliau pernah menjadi pemimpin nombor satu dalam syarikat berkenaan.

Bukan itu sahaja, JCorp juga difahamkan tidak pernah menawarkan sebarang jawatan di dalam senarai Lembaga Pengarah kepada beliau, walaupun pada kebiasaannya amalan tersebut dipraktikkan.

Mengulas mengenai perkara itu, Muhammad Ali berkata: ''Bukan saya yang patut menjawab soalan anda''.

Kata Muhammad Ali, walaupun sudah meninggalkan JCorp, beliau akan terus memantau perkembangan syarikat itu sebagai ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau mengakui sejak isu penjualan QSR tercetus, semakin ramai orang Melayu prihatin terhadap JCorp.

''Perkembangan ini diharapkan menyedarkan JCorp bahawa ia tidak memiliki kuasa autonomi kerana setiap tindak tanduk JCorp akan diperhatikan oleh rakyat terutama orang Melayu,'' kata beliau lagi.

No comments: