kosmo.com.my
|
SEBAHAGIAN daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional yang hadir pada sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam. |
SHAH ALAM - Seperti dijangka, kerajaan Selangor yang diperintah Pakatan Rakyat gagal meraih sokongan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meluluskan draf pindaan Perkara 52(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 di sini semalam.
Ini bermakna pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, Datuk Mohamed Khusrin Munawi yang dipertikaikan oleh kerajaan negeri sebelum ini adalah sah di sisi undang-undang.
Keputusan tersebut adalah hasil pengiraan undian belah bahagi yang dijalankan pada pukul 6.20 petang apabila seramai 34 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Rakyat menyokong usul pindaan tersebut manakala 20 ADUN daripada Barisan Nasional (BN) menolak.
Malah lebih memalukan, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang akhbar di luar lobi Dewan semasa sesi perbahasan berlangsung telah pun mengaku kalah apabila menyedari pihaknya tidak mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan.
Kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu mendapat sokongan daripada 38 ahli Dewan untuk meluluskan pindaan tersebut.
===============
Sidang DUN gagal
utusan.com.my
|
SEBAHAGIAN daripada lebih 1,000 anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan (NG0) berarak secara aman dari Dataran Shah Alam ke Bangunan SUK Selangor untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap usaha pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam, semalam. Antara NGO yang terlibat termasuklah Perkasa dan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor. |
SHAH ALAM 24 Jan. – Seperti dijangka, pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 yang dicadang oleh Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor gagal diluluskan setelah tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Dalam sesi pengundian secara belah bahagian kira-kira pukul 6.15 petang ini, pindaan tersebut hanya disokong oleh 34 penyokong kerajaan manakala 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) sepakat menolak pindaan tersebut.
Sementara itu, Badrul Hisham Abdullah yang mewakili Bebas dihalang menghadiri sidang itu setelah kerusi DUN Pelabuhan Klang yang disandangnya diisytiharkan kosong, Isnin lalu.
Kerajaan negeri gagal mendapat empat undi bagi mendapat majoriti dua pertiga kerana mereka sekurang-kurangnya perlu memperoleh sokongan 38 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN.
Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim ketika mengumumkan keputusan undian tersebut berkata, meskipun pindaan tersebut lebih suara yang bersetuju, ia tidak dapat diluluskan bagi bacaan kedua dan seterusnya.
Katanya, perkara itu diputuskan berdasarkan Perkara 98, Fasal 5 (Bahagian 2) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.
Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui usul pindaan perlembagaan negeri untuk membolehkan beliau memperolehi ‘kuasa menasihati’ Sultan Selangor tidak dapat dilaksanakan dari awal lagi.
Ini kerana katanya, kerajaan negeri menyedari pihaknya tidak mempunyai majoriti dua pertiga kerusi DUN untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau berharap cadangan pindaan untuk memberi kuasa kepada Menteri Besar melantik tiga pegawai eksekutif negeri itu dapat dibangkitkan semula selepas pilihan raya umum akan datang.
‘‘Walaupun kita tidak berjaya hari ini, ia tidak akan mematahkan semangat pakatan pembangkang.
‘‘Kami berpendirian bahawa Sultan Selangor dan kerajaan negeri berhak memainkan peranan dalam pemilihan tiga pegawai eksekutif bagi memastikan dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.
Pindaan yang dibentangkan di bawah Peraturan 10 (3) Peraturan-Peraturan Tetap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Penasihat Undang-Undang Negeri kepada negeri dengan sultan perlu mendapatkan nasihatkan Menteri Besar.
Dalam pada itu, ketika ditanya bilakah kerajaan negeri akan membenarkan Datuk Mohammed Khusrin Munawi mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar, Abdul Khalid berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Exco kerajaan negeri.
Bagaimanapun, beliau tidak memutuskan bilakah tempoh sebenar perbincangan itu akan diadakan sebaliknya ia bergantung kepada keadaan semasa.
Pada sidang akhbar yang sama, Abdul Khalid yang tidak dapat menerima hakikat kegagalannya untuk meluluskan pindaan tersebut meletakkan kesalahan ke atas BN kerana tidak menyokong usaha kerajaan negeri itu.
‘‘Lebih kesal lagi, BN gagal memberikan hujah-hujah yang konkrit dan berkualiti untuk menolak cadangan pindaan itu.
‘‘Jelas penolakan itu dibuat di atas nama politik dan kesetiaan mereka kepada pihak-pihak yang berkuasa di Putrajaya.
‘‘Sepatutnya sebagai wakil rakyat, keputusan mereka perlu berdasarkan kepentingan rakyat,” katanya.
Malah seperti dijangka sebelum ini, Abdul Khalid menuduh bahawa penolakan BN terhadap pindaan itu membuktikan UMNO sebenarnya tidak menghormati Raja-Raja Melayu dan menghalang peranan mereka dalam institusi Raja Berperlembagaan.
‘‘Walaupun kita mungkin tidak berjaya membuat pindaan, ia tidak akan mematahkan semangat pakatan pembangkang.
‘‘Malah, isu ini telah menguatkan lagi tekad untuk membuktikan kewibawaan kami dan memperoleh majoriti dua pertiga dalam pilihan raya kelak supaya pindaan ini dapat dibangkitkan semula,” katanya.
Abdul Khalid berkata, pihaknya masih mempunyai pendirian bahawa Sultan Selangor dan kerajaan negeri berhak untuk memainkan peranan dalam pemilihan tiga pegawai ex-officio demi memastikan dasar-dasar negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna.
‘‘Walaupun pihak Persekutuan nampaknya terus mengetepikan suara rakyat Selangor dan enggan menghormati semangat federalisme, kerajaan negeri akan berusaha memastikan pentadbiran negeri akan terus berjalan dengan baik dan selancar mungkin demi kebajikan rakyat negeri ini,” katanya.
===========
Khalid gagal
(Kasihan SUK...jadi mangsa peperangan politik)
ADUN Kinrara, Teresa Kok dan ADUN Sementa, Datuk Rahman Pahlil (gambar kanan) mengambil persetujuan daripada semua ADUN bagi pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang dibentangkan pada sidang khas Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam, semalam.
Pindaan tak dapat sokongan dua pertiga; Status Mohd Khusrin masih tergantung
SHAH ALAM: Kedudukan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor yang baru, Datuk Mohd Khusrin Munawi, masih tergantung meskipun usul pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang dibentangkan pada sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam, gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga.
Ini kerana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus berteka-teki mengenai status Mohd Khusrin yang sehingga kini masih tidak dapat menghadiri mesyuarat EXCO dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) kerana belum mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan belia
Abdul Khalid berkata, majlis angkat sumpah itu bergantung kepada keadaan semasa dan beliau perlu berbincang dengan EXCO negeri.
“Kita juga akan tengok prestasi Khusrin dari semasa ke semasa sebelum menilainya untuk angkat sumpah SUK yang baru.
“Khusrin adalah seorang profesional, dia akan melakukan yang terbaik dan dia akan bekerja dengan rakyat,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai status Mohd Khusrin selepas kerajaan negeri pakatan pembangkang itu tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga untuk meminda Perkara 52 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959.
Usul pindaan rang undang-undang itu dibentangkan Abdul Khalid untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif Selangor, iaitu SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri, kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar, selepas pelantikan Mohd Khusrin dibantah atas alasan ia tidak dirunding dengan kerajaan negeri.
Mohd Khusrin yang memulakan tugas rasminya, 3 Januari lalu, sudah mengangkat Sumpah Taat Setia di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 6 Januari lalu.
Terdahulu, pada perbahasan usul itu, Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Satim Diman, menegaskan BN tidak menyokong pindaan itu kerana kerajaan negeri derhaka kepada Sultan apabila tidak menerima keputusan baginda memperkenankan pelantikan Mohd Khusrin.
Beliau berkata, pelantikan SUK baru itu bukan isu besar yang menimbulkan satu keadaan darurat sehingga Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor perlu dipinda.
“Kemelut ini tidak akan berlaku jika kerajaan negeri memahami, menghormati dan mematuhi Perlembagaan, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor terutama keputusan Sultan Selangor memperkenankan pelantikan Mohd Khusrin.
“Menteri besar sendiri sedar bahawa pindaan ini tidak akan diluluskan DUN kerana tidak akan mendapat sokongan dua pertiga. Bukankah ini sia-sia,” katanya.
Pada sidang khas itu, 34 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP menyokong usul berkenaan, manakala 20 ADUN BN tidak setuju. Usul itu memerlukan sokongan 38 ADUN.
Ketika ini, tiga parti yang membentuk kerajaan negeri mempunyai 35 wakil, tetapi Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim tidak boleh mengundi berikutan kedudukannya sebagai Speaker, manakala ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, tidak dibenarkan hadir selepas kerusinya diisytihar kosong.
Teng menjelaskan walaupun sidang DUN mendapat lebih suara bersetuju, iaitu 34 undi berbanding 20 undi tidak setuju, ia tetap tidak dapat dipinda kerana tidak mendapat majoriti dua pertiga.
“Oleh itu, pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 tidak dapat dibaca kali kedua," katanya selepas penggulungan hujah oleh Menteri Besar.
Mohamad Satim dalam perbahasannya menjelaskan BN tidak menyokong usul itu berdasarkan empat faktor, iaitu:
- Pindaan itu bertentangan dan ultra vires dengan Perlembagaan Persekutuan;
- Bermotifkan politik yang membuktikan sikap hipokrit dan tidak ikhlas kerajaan serta kepemimpinan kerajaan negeri pakatan pembangkang.
- BN tidak pernah mengetepikan dan membelakangkan Sultan Selangor sejak Pindaan Perlembagaan 1993 berhubung imuniti kuasa Raja-Raja Melayu, dan
- Menteri Besar dan kerajaan negeri dianggap derhaka kepada Sultan Selangor kerana tidak menerima keputusan baginda yang memperkenankan Mohd Khusrin.
Mohamad Satim mendakwa kerajaan negeri pimpinan pembangkang sebagai `syok sendiri' kerana mengadakan sidang khas bagi meminda undang-undang berkenaan yang dianggap membuang masa dan membazir wang kerajaan.