29.11.10

PEREBUTAN SYARIKAT YANG DAH MAJU DAN MEWAH!

Syarikat yang dah maju dan berada dalam prestasi yang bagus mempunyai kepimpinan "anugerah tuhan utk memimpin syarikat".

Mereka menjadi rebutan bagi yang tahu meramalkan masa depan.... namun begitu setiap peristiwa itu mempunyai kisah yang tersirat dan tersurat....manusia di dunia korporat lebih mengetahui kisahnya......

QSR: Antara maruah dan tawaran munasabah

SUDAH pasti Ahli Lembaga QSR Brands Bhd. (QSR) dan Kulim Bhd. (Kulim) kini sedang berusaha gigih untuk mempertahankan penjualan kedua-dua syarikat milik Johor Corporation (JCorp) daripada terlepas ke tangan Carlyle Asia Investment Advisors Ltd. (Carlyle).

Bukan mudah bagi Kulim mahupun QSR untuk menghampakan Carlyle seperti mana ia mengenepikan tawaran Tan Sri Halim Saad melalui Idaman Saga Sdn. Bhd. (Idaman Saga) kerana harga yang ditawarkan oleh firma antarabangsa itu dilihat munasabah.

JCorp memerlukan seminggu untuk menolak tawaran Idaman Saga tetapi, secara sinikalnya, Carlyle pula meminta Kulim tidak mengadakan sebarang rundingan dengan mana-mana pihak dalam tempoh 30 hari.

Sesuai dengan reputasinya sebagai firma pelaburan global, Carlyle menawarkan harga yang disifatkan lebih munasabah iaitu RM6.70 sen sesaham bagi memiliki QSR dan membeli kepentingan Kulim dalam QSR berbanding RM5.60 sesaham yang ditawarkan oleh Tan Sri Halim Saad dan Datuk Che Mukhtar Che Ali menerusi Idaman Saga Sdn. Bhd.

Kebanyakan pemerhati pasaran menyifatkan bidaan yang dibuat oleh Carlyle itu sebagai satu permainan korporat kerana ia menjurus kepada sebuah syarikat yang memiliki aliran tunai kukuh.

Kedudukan aset, kualiti pengurusan dan strategi adalah faktor kedua. Dalam trend pengambilan alih sekarang, syarikat seperti QSR dianggap raja dalam perniagaan.

Ditambah pula dengan prospek kukuh dan stabil QSR dalam pembinaan rangkaian secara agresif di Malaysia, Singapura, Brunei, Kemboja dan India mengukuhkan lagi alasan untuk mendapatkan syarikat itu.

Atas alasan tersebut, tidak sukar untuk meramalkan keputusan yang bakal diambil oleh JCorp, yang sebenarnya mempunyai kuasa mutlak untuk membuat keputusan sama ada untuk menjual atau terus mempertahankan QSR.

Menurut RHB Reseach Institute, Kulim atau QSR tidak mempunyai sebarang kuasa kerana JCorp adalah pemilik kepada kedua-duanya.

JCorp menguasai 53.2 peratus kepentingan dalam Kulim dan Kulim pula menguasai 55.2 peratus dalam QSR. QSR yang menguasai KFC Holdings Bhd. turut memegang jenama Pizza Hut, Ayamas, RasaMas dan pelbagai perniagaan sokongan.

Memandangkan JCorp yang kini memberi fokus untuk melunaskan hutangnya sebanyak RM3.2 bilion menjelang 2012, tawaran pembelian anak syarikatnya itu bagaikan pepatah 'orang mengantuk disorongkan bantal'.

Sebagai 'bapa', kedudukan JCorp dibayangi dengan kecemerlangan anak-anak syarikatnya seperti Kulim, QSR, KFC Holdings Bhd. dan KPJ Healthcare Bhd. di peringkat domestik dan global.

Bagaimanapun, dalam membuat penilaian itu, JCorp sebagai 'bapa' perlu melihat prospek jangka panjang QSR dan jangan sekadar mampu menjadi jaguh kampung sahaja dan sebagai 'bapa' juga JCorp perlu memikirkan apa yang terbaik untuk masa depan 'anaknya'.

QSR bukan satu perniagaan yang calang-calang kekuatannya kerana ia telah membuktikan mampu mencapai kecemerlangan pengurusan dan operasi sehingga mendapat kepercayaan daripada syarikatnya francaisnya Yum!Brand untuk meluaskan perniagaan ke Singapura, Brunei, Kemboja dan India.

Dalam membuat keputusan itu, JCorp sepatutnya melihat keupayaan dan kebolehan QSR untuk terus kukuh.

Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Bhd., Alsetdek Al Haj Ali berkata, sekiranya QSR dimiliki oleh syarikat Cina, sudah tentu tawaran yang dibuat oleh Carlyle tidak akan dipandang sebelah mata pun.

''Saya tidak menafikan tawaran ini memang menarik tetapi dari segi nilainya, ia (QSR) berpotensi untuk meningkat lebih tinggi,'' ujarnya.

Lebih penting, JCorp perlu meletakkan agenda maruah korporat Melayu di peringkat teratas dalam membuat keputusan tersebut.

QSR yang diterajui dan dipimpin bersama nama-nama hebat seperti Tan Sri Ali Hashim, Ahamad Mohamad, Jamaludin Md. Ali telah membuktikan kejayaan mereka memimpin, mengurus dan menjalankan operasi sebuah syarikat francais global sehingga menjadi satu jenama hebat. Disebabkan kehebatan mereka itulah, QSR kini menjadi rebutan di kalangan pelabur yang mahu memilikinya.

No comments: