12.11.10

Kari rosakkan warna tampalan





ANTARA perkara lazim yang dilakukan oleh pakar gigi untuk mengelakkan gigi daripada terus diserang karies ialah membuat tampalan pada gigi tersebut.

Tampalan dapat melindungi bahkan menyelamatkan gigi daripada dibuang. Selalunya jangka hayat tampalan ditentukan oleh jenis tampalan dan bahan yang digunakan.

Menurut pensyarah Jabatan Periodontologi, Fakulti Pergigian, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Masfueh Razali, bahan tampalan ada yang sama warna dengan gigi dan sebaliknya.

“Tampalan yang mempunyai warna seakan gigi adalah menggunakan komposit yang kandungan utamanya ialah methyl methacrylate dan silika,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Masfueh, komposit tersebut hanya sesuai digunakan bagi tampalan gigi hadapan.

“Amat jarang ia digunakan bagi tampalan gigi belakang kerana ia tidak begitu kuat untuk menampung daya kunyahan dan otot muka,” ujarnya.

Bahan komposit lazim digunakan oleh pakar gigi kerana hasilnya pesakit tidak dapat membezakan antara tampalan dengan gigi yang asli.

Selain itu, komposit tersebut melekap pada gigi secara mekanikal dan sesetengahnya secara kimia.

Namun, komposit tersebut tidak sesuai untuk lubang gigi yang besar kerana ia akan mengecut ketika proses pengerasan.

Ini mendedahkan gigi tersebut kepada bakteria di dalam mulut sekali gus menambah risiko berlakunya karies gigi atau gigi menjadi lebih sensitif.

Bukan itu sahaja, tampalan ini turut berubah warna selepas beberapa waktu dan pelunturan warna tersebut boleh dilihat dengan jelas di pinggiran tampalan.

“Tetapi dengan penjagaan gigi yang sempurna di samping menjauhi kafein, teh dan kari, ia mampu bertahan selama lima tahun,” beritahunya sambil menjelaskan, purata gantian semula tampalan tersebut adalah dua tahun jika terdapat masalah.

Masakan kari yang popular di serata dunia sememangnya sudah lama diketahui memberi kesan kepada warna gigi.

Komposit

Selain bahan komposit tersebut, pesakit juga boleh memilih simen ionomer kaca sebagai bahan tampalan.

Dikenali juga sebagai GIC, bahan tersebut amat berguna jika gigi berlubang itu terletak di bahagian akar atau leher gigi.

GIC akan mengeluarkan fluorida secara terus-menerus dalam jumlah yang sedikit bagi melindungi bahagian yang terjejas.

“Meskipun begitu, penghasilan fluorida tersebut tidak akan mengganggu sistem tubuh. Ia juga melekat pada permukaan gigi secara kimia dan tidak mudah tertanggal,” kata Masfueh.

Tampalan tidak sewarna gigi yang paling biasa digunakan ialah amalgam, iaitu aloi dengan campuran utamanya ialah argentum, stanium, dan merkuri serta beberapa bahan lain.

Bahan ini amat kuat dan lazim digunakan bagi tampalan di bahagian gigi belakang kerana kadar risiko pecah yang sangat rendah.

Bagi penggunaan amalgam, risiko kebocoran merkuri daripada tampalan tersebut boleh berlaku pada bila-bila masa.

Namun, beberapa kajian yang dijalankan mendapati merkuri di dalam amalgam tidak bocor sepanjang tampalan berada di dalam mulut.

“Jika ada, bilangannya amat kecil dan tidak menyebabkan penyakit lain seperti yang sering digembar-gemburkan.

“Malah, di Sweden dan Jepun, amalgam dilarang memandangkan rakyat negara itu sudah pun terdedah kepada merkuri iaitu daripada hasil laut yang mereka makan,” tegas Masfueh.

Justeru, katanya, semua tampalan yang biasa digunakan oleh pakar gigi di negara ini adalah selamat dan jika berlaku masalah, ia lebih kepada pesakit yang alah terhadap logam.

Dalam pada itu, untuk kawalan dan memanjangkan hayat sesuatu tampalan, pesakit harus menjaga kebersihan mulut seperti memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari.

“Berjumpa dengan doktor gigi untuk pemeriksaan berkala akan memudahkan pakar mengenal pasti gigi yang berlubang dan mengelakkannya daripada menjadi semakin besar.

“Pengambilan gula harus dikawal kerana ia merupakan faktor utama berlakunya karies gigi,” ungkap Masfueh.

No comments: