Penilaian 'tangan syaitan', ramai akan terzalim | |||
|
Merujuk kenyataan bekas calon BN, Mohd Nor Idris (bawah, kanan), mengenai Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat:
"Apabila dia hulur tangan itu, solah-olah saya nampak tangan itu tangan syaitan... dengan kasyaf saya, tangan dia itu macam tangan syaitan yang dihulurkan kepada saya. Jadi saya tidak sambut tangan dia, saya tidak mahu jamah (pegang) tangan syaitan". (Malaysiakini)
Bukan kerana hendak membela MB Kelantan semata, tetapi saya ingin menyanggah cara penghujahan sebegini agar tidak menjadi trend
Saya fikir jika kita membenarkan hujah seperti digunakan untuk menilai insan lain, maka rosaklah alam ini.
Bagaimana mungkin dengan mendakwa kasyaf atau dapat mengingkap rahsia seseorang dengan menggunakan unsur spiritual dijadikan ukuran dalam menilai seseorang?
Jika ini dijadikan hujah dalam menilai atau menghukum seseorang, maka ramailah yang akan terzalim.
Nanti akan datang pihak lain pula, lalu menghukum orang pula sebagai buruk berdasarkan kasyafnya atau mimpinya atau ilhamnya yang kesemua itu disandarkan kepada Tuhan. Lalu nama Allah dijadikan mainan.
Salah, betul berdasarkan fakta, bukti
Dalam Islam, walaupun seseorang mungkin mempunyai 'perasaan dalamannya' yang tersendiri, namun itu tidak boleh dijadikan hujah dalam memburuk atau menilai orang lain tanpa bukti apath lagi untuk tatapan umum.
Nabi SAW yang menerima wahyu pun, namun dalam hadis baginda menyebut: "Kamu mengangkat perbalahan kamu kepadaku. Boleh jadi sesetengah kamu lebih petah hujahnya daripada yang lain. Lalu aku berikan untuknya berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku berikan sesuatu hak saudaranya janganlah dia ambil, kerana sesungguhnya aku memotong untuknya potongan api neraka (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ertinya, dalam menghukum dan menilai baginda berteraskan hujah. Maka kita dalam menilai seseorang hendaklah berdasarkan bukti dan hujah bukan sekadar perasaan hati, atau bisikan kasyaf atau mimpi. Jika hal itu dibolehkan, tentu baginda Nabi SAW terlebih dahulu melakukannya. Sebaliknya, penilaian atau hukuman tetap berteraskan bukti dan hujah.
golongan agama nanti.
Maka hendaklah kita ingat, bahawa kasyaf, mimpi, ilham dan seumpamanya bukan hujah dalam menentukan kebenaran atau kesalahan.
Penentuan salah betul dalam Islam adalah fakta dan bukti. Al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) menyebut: "Selemah-lemah hujah mereka (ahli bidaah) ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut. Mereka berkata: 'Kami bermimpi lelaki solih tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini, buat ini1'."
Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasauf. Di kalangan mereka ada yang berkata: 'Aku melihat Nabi SAW dalam mimpi, baginda berkata kepada sebegini. Dan memerintah aku sebegini'. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syariat. Ini adalah salah, kerana mimpi selain para nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika dibolehkan, maka ianya diamalkan, jika tidak ianya ditinggalkan"(Al-Syatibi, Al-`Itisam, 198, cetakan Dar al-Kitab al-`Arabi, Beirut).
Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Di sana ada golongan sufi yang melampaui batas dalam menilai ilham. Bahkan ada di kalangan mereka yang mengiranya sebagai jalan mengetahui kebenaran yang tidak akan silap. Mereka mencerca ulama syariat yang berpegang kepada dalil dan tidak menerima sesuatu dakwaan tanpa bukti daripada hujah yang baik atau akal atau wahyu". (Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim al-Mu`asir, m.s. 134, cetakan Muassasah al-Risalah, Beirut)
No comments:
Post a Comment