‘Kami dilayan seperti penjenayah’
KUALA LUMPUR – “Kami ditahan seperti penjenayah perang selama 28 jam di penjara Israel.” Itu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan oleh 12 sukarelawan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Israel selepas kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza ‘Mavi Marmara’ diserang tentera Israel di perairan antarabangsa tiga hari lepas.
Menurut Ketua Misi Sukarelawan Malaysia, Noorazman Mohd. Samsuddin, mereka tidak boleh bergerak bebas sehinggakan hendak membuang air pun tidak dibenarkan.
“Bayangkanlah betapa azabnya keadaan kami pada ketika itu menghadapi kekejaman rejim Zionis,” katanya.
Wartawan penyiaran Astro Awani, Ashwad Ismail, 25, yang menyertai misi bantuan tersebut juga turut menceritakan bagaimana dia cemas selepas terpisah dengan jurukamera, Samsulkamal Abdul Latip selepas serangan komando Yahudi tersebut.
Katanya, kedua-dua mereka terpisah selepas ditahan dan digari oleh tentera Israel, dan hanya ditemukan selepas dibebaskan di sempadan Israel-Jordan semalam.
“Layanan diterima dalam tempoh 28 jam itu menggambarkan konflik enam dekad dialami rakyat Palestin yang tertindas,” katanya.
===============
Aktivis Gaza digari ke bilik air
BANDAR KUWAIT - Seramai 18 orang aktivis warga Kuwait yang dibebaskan semalam selepas ditangkap pihak berkuasa Israel pada Isnin lalu dalam serangan di sebuah kapal bantuan ke Gaza mendakwa pasukan komando rejim Zionis melepaskan tembakan tanpa memberi sebarang amaran.
Aktivis-aktivis itu termasuk seorang Ahli Parlimen Kuwait, Waleed al-Tabtabai dan enam orang wanita diterbangkan menggunakan sebuah pesawat kerajaan Kuwait dari Jordan selepas mereka keluar dari Israel dengan menaiki bas semalam.
Beliau memberitahu, sekurang-kurangnya dua aktivis bantuan kemanusiaan mati akibat ditembak komando Israel dari bot dan helikopter.
"Komando Israel naik ke atas bot selepas berlakunya pembunuhan. Kami melawan dengan menggunakan tangan untuk mempertahankan diri kerana tidak mempunyai senjata. Ini adalah jenayah seperti lanun," katanya.
Sementara itu, seorang peguam, Mubarak al-Mutawa yang turut berada di atas kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza, Mavi Marmara berkata: "Komando-komando Israel mula melepaskan tembakan tanpa memberi amaran. Mereka (komando-komando itu) telah membunuh beberapa orang sukarelawan sebelum beberapa komando lagi mendarat di atas kapal," kata seorang peguam, Mubarak al-Mutawa yang turut berada di atas kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza, Mavi Marmara.
Seorang aktivis muda, Ali Buhamd mendakwa dia melihat seorang askar Israel menembak kepala seorang warga Turki yang cedera.
Askar itu juga membiarkan seorang lagi warga Turki yang cedera mati akibat pendarahan.
Namun, Israel menyalahkan aktivis-aktivis di atas kapal Mavi Marmara ekoran insiden serbuan di perairan antarabangsa itu dengan menyatakan anggota-anggota tentera diserang terlebih dahulu.
Pihak Israel mendakwa anggota-anggota tentera diserang sebaik sahaja mendarat di kapal yang menyebabkan seramai sembilan orang terbunuh.
"Saya boleh pastikan bahawa tiada siapa pun daripada sukarelawan ini memiliki senjata api.
"Kami tidak bersenjata selain daripada peralatan dapur. Sukarelawan tidak memulakan sebarang tentangan," kata Mubarak.
Dua orang aktivis wanita, al-Abduljader dan Senan al-Ahmad memberitahu mereka telah digari dan dilayan dengan buruk oleh pihak berkuasa Israel selain terpaksa ke bilik air dengan tangan masih bergari di sebuah penjara.
Insiden yang berlaku pada awal pagi itu di Laut Mediterranean telah mencetuskan kritikan antarabangsa terhadap Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tunduk pada tekanan antarabangsa apabila 680 aktivis dari pelbagai negara asing yang ditahan selepas serangan ke atas enam buah kapal bantuan Gaza pada Isnin lalu dibebaskan dan diusir dari negara berkenaan semalam.
Sebelum dibebaskan, mereka ditahan di sebuah penjara di selatan Israel.
Keputusan untuk membebaskan aktivis-aktivis asing itu dibuat oleh Perdana Menteri Israel pada malam kelmarin. - Agensi
===================
Sebab Israel bebaskan aktivis asing
TEL AVIV – Peguam Negara Israel, Yehuda Weinstein semalam menyatakan pihaknya memutuskan untuk tidak menghukum semua aktivis-aktivis asing yang ditahan dalam serbuan komando ke atas konvoi kapal misi bantuan ke Gaza pada Isnin lalu
Menurutnya, menahan semua aktivis asing itu akan hanya membawa banyak kesan buruk terhadap kepentingan negara tersebut.
Sebelum ini rejim Zionis itu dikutuk oleh masyarakat antarabangsa selepas anggota-anggota komando membuat serbuan ke atas enam buah kapal bantuan ke Gaza. – Agensi
==========
8 jam rasai azab Palestin
Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
2010/06/03
KUALA LUMPUR: Diacu raifal dengan laser senjata disasarkan ke dahi dan terpaksa merangkak di celah mayat bergelimpangan serta berlumuran darah, adalah antara episod ngeri yang dilalui wartawan penyiaran Astro Awani, Ashwad Ismail, dalam serangan tentera Israel ke atas kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Ahad lalu.
Ashwad yang menyertai misi itu bersama jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip dan 10 rakyat Malaysia lain, turut menceritakan layanan buruk tentera Israel terhadap mereka sepanjang ditahan sebelum dibebaskan, kelmarin.
Berikut adalah rentetan pengalaman yang diceritakan Ashwad ketika dihubungi Berita Harian, beberapa jam selepas beliau tiba di Amman, Jordan, semalam.
“Tempoh 28 jam diserang dan ditawan tentera Israel dalam kapal sudah cukup untuk saya merasai penderitaan enam dekad warga Palestin berdepan dengan kekejaman regim Yahudi itu. Perasaan takut, marah dan panik bercampur baur, apatah lagi apabila terpaksa berdepan senjata mereka yang setiap saat diacu ke arah kami.
Episod ngeri itu bermula pada jam 4.30 pagi (waktu Turki) Ahad lalu, sejurus kapal Mavi Marmara memasuki perairan antarabangsa apabila tiga kapal perang Israel yang diiringi 16 bot laju komando mengepung kapal kami.
Tidak ada jalan lain untuk menghalang mereka menaiki kapal, melainkan penjaga keselamatan kapal terpaksa menyembur air ke arah mereka. Itupun tidaklah sekuat mana, berbeza sekali dengan dakwaan media Barat yang mendakwa Mavi Marmara memulakan serangan ke atas tentera Israel.
Selama hampir satu jam kami bergelut menghalang mereka menawan kapal sebelum kemuncaknya apabila tiga helikopter menurunkan komando di lokasi siaran langsung televisyen sedang dijalankan di mana pada ketika itu dianggarkan antara 30 hingga 40 komando Israel bertindak melepaskan tembakan rambang secara bertubi-tubi bagi mengosongkan kawasan itu.
Siapa yang berani berdepan situasi sebegitu, apatah lagi ia adalah pengalaman ngeri pertama sepanjang saya bertugas sebagai media, terutama apabila melihat sendiri beberapa rakan serombongan tumbang terkena peluru sesat.
Malah, lebih menakutkan apabila sasaran serangan mereka dilihat tidak mengira siapa termasuk wartawan dan jurugambar. Ada beberapa jurugambar ditembak di tangan untuk memaksa mereka melepaskan kamera.
Saya dan beberapa rakan lain ketika itu hanya mampu berlindung di sebalik tiang kapal dan berlari ke sana sini bagi mengelak terkena tembakan sebelum terpaku apabila cahaya laser senjata mereka disasarkan ke dahi saya.
Sukar digambarkan betapa saya terpaksa merangkak di celah mayat bergelimpangan dan berlumuran darah untuk menyelamatkan diri selepas seorang penumpang kapal di sebelah saya ditembak dengan peluru getah di dada.
Kira-kira jam 7 pagi, kami semua diikat di tangan dan diarah berkumpul di satu kawasan dalam kapal. Keadaan ketika itu tegang dengan perasaan takut menyelubungi wajah semua tawanan apatah lagi muncung senjata tentera Israel sentiasa diacu ke arah kami.
Sejak itu, kami langsung tidak diberi makan atau minum, malah tidak dibenarkan ke tandas. Bayangkan beberapa warga emas, terutama yang menghidap diabetes terpaksa menahan sakit untuk membuang air kecil kerana ketegasan tentera Israel yang langsung tidak bersimpati terhadap mereka.
Mujurlah, selepas berkali-kali dirayu, baru beberapa orang dibenarkan ke tandas, itupun dengan kawalan sangat ketat dan diperlakukan umpama banduan sedangkan mereka semua tidak berdaya dan sekadar orang awam yang tidak berbahaya.
Ketika itu juga, semua kamera, komputer riba serta pen dirampas dan dihancurkan tentera Israel. Apa saja bahan yang merakamkan kejadian serangan itu, turut dihapuskan. Apa yang tinggal pada kami hanya dompet dan dokumen seperti pasport.
Sakit di tangan juga mula terasa dan kebas seperti darah tidak mengalir kerana ikatan itu sangat kuat. Nak bergerak pun sukar kerana cahaya laser senjata mereka sentiasa disasar di dada kami. Bagi menghilangkan dahaga pula, kami terpaksa meminum sisa air dalam botol minuman berhampiran kami. Paling tak dapat dilupakan, satu bar Snickers dikongsi 30 orang untuk sekurang-kurangnya memberi sedikit tenaga.
Sebaik kapal kami berlabuh di Ashdod, Israel, proses untuk keluar dari kapal saja mengambil masa hampir 12 jam. Habis semua pakaian kami ditanggalkan ketika pemeriksaan dibuat. Pemeriksaan semua dokumen itu saja mengambil masa lebih satu jam.
Ketika itu, Tuhan saja yang tahu betapa kasarnya tentera Israel memperlakukan kami meskipun sekadar orang awam. Sudahlah diperlakukan seumpama banduan, kami turut dibawa ke Be'er Sheva, lokasi penjara baru Israel menggunakan bas yang hanya sesuai untuk membawa pengganas dalam perjalanan selama dua jam.
Be'er Sheva adalah penjara baru. Jadi, kami boleh dikatakan tahanan pertama yang merasmikannya. Selepas semua dokumen kami diserahkan kembali, barulah kami dapat merasa sedikit makanan, itupun hanya air mineral, sedikit sayur dan roti. Itu sajalah makanan yang dapat kami jamah sepanjang lebih 15 jam ditahan di penjara itu.
Jika hendak digambarkan keganasan tentera Israel memang sukar, tetapi cukuplah sekadar dikatakan bahawa mereka langsung tidak ada belas kasihan, tidak peduli apa yang diminta walau puas dirayu dan herdikan mereka menjadi teman sepanjang kami ditawan.
Layanan terhadap kami juga tak ubah seperti banduan. Ditolak ke sana sini dengan sangat kasar. Ketika itu, tiada perkara lain yang berlegar dalam kotak fikiran kecuali rasa marah dan berserah. Melihat kepada situasi yang kami hadapi itu, sukar untuk diagak sama ada kami bakal dibebaskan atau sebaliknya.
Mulanya, kami menjangka akan lama merengkuk di penjara sehinggalah kami didatangi wakil dari Pertubuhan Palang Merah dan Kedutaan Jordan yang membawa berita gembira, iaitu kami akan dibebaskan tidak lama lagi.
Tepat jam 8 pagi kelmarin kami dibebaskan tetapi terpaksa menjalani beberapa pemeriksaan sebelum dibenarkan menaiki bas pada jam 6.30 petang. Selepas perjalanan meletihkan hampir 12 jam, kami akhirnya sampai di sempadan Jordan dan dibawa ke sebuah hotel di Amman.
==========
Dua isteri Dr Selamat, keluarga titis air mata gembira
IPOH: Panggilan telefon ke tanah air tidak sampai seminit Dr Selamat Aliman, 54, seorang daripada 12 sukarelawan Misi Lifeline 4 Gaza (LL4G) selepas dibebaskan tentera Israel semalam, membuatkan dua isteri serta keluarganya menitiskan air mata kegembiraan.
Faezah berkata, dalam perbualan singkat itu, suaminya hanya sempat memberitahu beliau selamat tetapi dalam keadaan sehelai sepinggang kerana semua pakaian serta peralatan termasuk komputer riba hilang.
“Saya seolah-olah mati hidup semula sebaik mendapat panggilan telefon daripadanya. Berdasarkan perbualan itu saya tahu dia penat. Saya bersyukur kerana mengetahui dia selamat. Sebelum mendengar sendiri suaranya, hati saya tidak tenang. Justeru, tengah hari ini, saya mampu mengukir senyuman dengan lebih ikhlas berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Rapat Setia Baru, dekat sini semalam.
Faezah berkata, dalam perbualan itu suaminya hanya sempat memaklumkan beliau dalam perjalanan ke Amman, Jordan, tetapi tidak dapat bercerita panjang kerana kesuntukan masa.
Katanya, suaminya juga ada menghantar SMS pada jam 6.20 petang yang menyatakan “Abang dah sampai di Amman. Raja Jordan bagi hotel dan makan bagi semua peserta yang kena deport melalui Jordan. Malam ini ada perjumpaan dengan Menteri Luar (Datuk Anifah Aman). Belum tahu bila nak balik lagi, insya-Allah malam ini akan dibincang. Sekarang sedang cari baju nak ganti (baju) penjara, sehelai sepinggang. Bag, laptop, blackberry, kamera... ghaib. Doakan seterusnya.”
Faezah mengucapkan penghargaan kepada semua pihak termasuk kerajaan dan warga Malaysia yang tidak putus-putus berdoa serta melakukan solat hajat bagi memastikan keselamatan suami serta rakan sukarelawan lain.
Ditanya sama ada beliau akan membenarkan suaminya mengikuti misi seumpama itu pada masa depan, Faezah berkata, beliau bersama madunya, Norizan Lazim, 54, serta anak-anak tidak menghalang minat dan kehendak suaminya kerana misi kemanusiaan sejagat terutama membabitkan isu Palestin sudah sebati dalam dirinya.
“Dia sangat tersentuh dengan isu kemanusiaan dan kesengsaraan masyarakat Palestin. Fokus utamanya kini adalah membantu dalam apa juga cara untuk membebaskan masyarakat itu dari belenggu dan kekejaman Israel," katanya.
Di KUALA LUMPUR, isteri Hasanuddin Mohd Yunus, sukarelawan yang menyertai misi bantuan kemanusiaan itu bersyukur apabila mengetahui suaminya akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
Sharifah Mahiza Syed Abdul Kadir, 47, berkata beliau mendapat panggilan daripada Hasanuddin tengah hari semalam yang mengatakan beliau serta semua rakyat Malaysia sedang dalam perjalanan ke Jordan sebelum pulang ke tanah air.
“Saya menerima panggilan menyatakan mereka dalam perjalanan ke hotel di Jordan dan akan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi.
Sharifah Mahiza yang turut dalam aktiviti keamanan sejagat bersyukur semua rakyat Malaysia selamat walaupun tidak dapat meneruskan misi ke sana.
“Kita masih tidak tahu perancangan selanjutnya namun ini memperlihatkan sedikit sebanyak kejayaan misi kali ini sehingga Mesir dilapor bersetuju membuka sempadan Rafah bagi membolehkan bantuan dihantar ke Gaza. Kita berharap bantuan dapat disalurkan kepada rakyat Palestin secepat mungkin,” katanya.
============
Jurukamera Astro diaib depan 60 tahanan selepas ditangkap bersembunyi
KUALA LUMPUR: Hanya kerana memegang kamera video, jurukamera stesen televisyen Astro Awani, Samsul Kamal Abdul Latip, diarahkan oleh komando Israel supaya menanggalkan seluarnya di depan lebih 60 tahanan untuk pemeriksaan lanjut pada tubuhnya ketika kapal berlabuh di Haifa, Israel.
“Saya membiarkan saja mereka memegang dan menolak badan kerana hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri. Yang bermain di fikiran hanya keluarga di tanah air. Mereka merampas kamera video, komputer riba dan kad SIM telefon bimbit selepas tidak menemui alat lain,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di Jordan semalam.
Beliau berkata, selepas mengenakan semula seluar, semua tahanan yang berada di tempat berkumpul selama dua jam setengah sebelum diarahkan turun dari kapal dan disumbat ke penjara.
Menceritakan serangan itu, Samsul Kamal berkata, beliau sedang tidur dalam kabin dan mendengar letupan sebelum menjenguk ke arah tingkap kecil dan melihat berpuluh-puluh anggota tentera sedang menuruni tangga helikopter untuk mendarat atas kapal Mavi Marmara.
“Saya dapat melihat lebih 30 bot laju mengepung kapal dan bersembunyi di bawah tempat duduk penumpang. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi saya kerana mereka dapat mengesan lokasi persembunyian dan diarahkan berkumpul di tingkat tiga kapal itu.
“Pada masa itu, saya melihat anggota komando yang memakai pakaian kalis peluru, bertopeng dan bersenjata mengarahkan semua tahanan menyerahkan semua barang yang dipegang termasuk kamera video saya,” katanya.
Samsul Kamal berkata, selepas diarahkan berkumpul, beliau tidak melihat kelibat wartawan kanan, Ashwad ismail, tetapi masih mengharapkan rakannya itu selamat.
Katanya, ketika dalam penjara selama satu hari dua malam, beliau ditempatkan bersama dua lelaki warga Algeria dan hanya diberi makanan untuk mengalas perut seperti roti dan sup sayur.
“Mereka melayan kami dengan baik dan tiada kekerasan. Saya sempat meminta mereka menyediakan segelas teh panas bagi menghilangkan dahaga dan mereka sediakan. Saya tidak bercakap sangat dengan anggota komando kerana tidak pandai berbahasa Arab, tetapi rakan warga Algeria mendakwa alasan utama kapal Mavi Marmara ditahan kerana ia memasuki kawasan perairan mereka,” katanya.
Samsul Kamal yang terlalu rindu untuk menjejakkan kaki ke Malaysia bersyukur kerana selamat untuk meneruskan kehidupan bersama isteri, Salina Abdullah, 34, dan seorang anak lelaki, Zareif Zakwan, 11
No comments:
Post a Comment