Salam Buat Semua,
Perginya beliau mengejutkan semua insan yang mengenalinya... tidak akan kembali buat selama-lamanya......Pernah bertemu teman-temannya.... saya dikhabarkan bahawa ketika ibu beliau mengandungkan beliau.... ibunya bermimpi tentang "bulan jatuh ke riba"...
Begitulah kehebatan beliau.... mempunyai suara yang memukau jantung dan telinga pendengar...
Lagu rintihan hamba.... sewaktu beliau bersama nada murni... cukup memukau dan mendirikan bulu roma pendengar..... terutama ketika kita mendengar di waktu yang sunyi....
Salam Kesedihan dan Ta'ziah dari semua.....
888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888
Asri Rabbani meninggal - Rebah sewaktu pegang mikrofon pada sesi latihan di RTM
KUALA LUMPUR - Vokalis dan ketua kumpulan nasyid popular Rabbani, Mohd. Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia secara mengejut selepas rebah di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri di sini semalam.
Beliau yang mesra dengan panggilan Ustaz Asri di kalangan rakan-rakan artis menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.30 pagi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Pantai Bangsar.
Anak kelahiran Bukit Naga, Klang itu tiba-tiba jatuh dan tidak sedarkan diri semasa menjalani sesi latihan untuk persembahan majlis pelancaran program Syahadah musim kelima terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menurut seorang anggota Rabbani iaitu Mohd. Asri Ubaidullah, Asri kelihatan kurang sihat sejak Rabu lalu dan mengadu sakit tekak serta muntah pagi semalam.
"Sejak dua minggu lalu, memang kami agak penat disebabkan jadual dan aktiviti persembahan yang padat memandangkan bulan Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi.
"Pagi tadi (semalam) Allahyarham ada memberitahu bahawa dia sakit tekak dan muntah tetapi beliau segera minum air masak yang dicampur madu bagi mengurangkan masalah yang dihadapi.
"Beliau gagahkan diri juga untuk melakukan persembahan di RTM sempena pelancaran program Syahadah. Tiba-tiba tidak semena-mena sewaktu memegang mikrofon sebelum sempat membuat persembahan di atas pentas, Allahyarham rebah dan tidak sedarkan diri," jelasnya.
88888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888
Asri pergi tak kembali
"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga" – RAMLI MS
PASTINYA lirik puitis penuh sentuhan rohani di sebelah cukup kuat untuk mengingatkan kita semua kepada figura bernama Mohd. Asri Ibrahim, vokalis dan juga ketua kumpulan nasyid terkemuka, Rabbani.
Benarlah, setiap insan pasti akan merasa saat perpisahan yang terakhir kerana pada tanggal 13 Ogos 2009 lalu (semalam), kira-kira seminggu sebelum Ramadan 1430 Hijrah menjelang tiba, seluruh jiwa yang mengenali Asri bagaikan terpana dipukul halilintar.
Suasana ceria, teruja dan gembira tiba-tiba bertukar menjadi kalut dan cemas, anak kepada Robiah Ehsan, 70, yang sedang berdiri hendak memulakan sesi latihan menjelang satu majlis pelancaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) rebah dan nazak. Setengah jam kemudian, berita pemergiaannya diketahui umum.
Perginya Asri tanpa pesan. Tanpa ucap selamat tinggal buat semua, kepada peminat yang sentiasa menyanjungi, sahabat seperjuangan mahupun buat keluarga tercinta.
Hanya lunak suaranya yang tinggal jadi kenangan dan lagu Pergi Tak Kembali seakan-akan mendayu-dayu, merintih dalam sendu dan tangis saat kerandanya di usung menuju ke persemadian terakhir di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam semalam.
Lagu yang ditulis sendiri oleh Allahyarham, Pergi Tak Kembali, itu cukup mengingatkan semua tentang kematian dan bekalan yang perlu dipersiapkan setiap makhluk bernama manusia.
Kata seorang teman Che Amran daripada kumpulan Raihan yang telah lama mengenali Asri : "Dalam hati saya, setiap kali mendengar berita kematian sesiapa sahaja termasuklah rakan-rakan, saya berkata, biarlah, itu takdir. Tapi saya selalu minta kepada Tuhan, janganlah orang berkenaan Ustaz Asri.
"Tapi panggilan Ilahi tidak mampu dilawan. Hari ini (semalam) Ustaz Asri dijemput Ilahi. Mulanya saya anggap berita yang diterima menerusi panggilan telefon sekadar gurauan.
"Dalam berdebar-debar, saya hubungi Azadan (anggota Rabbani) dan barulah saya tahu, benarlah Asri sudah tiada."
Bagi pencinta dan seluruh penggiat muzik nasyid di Malaysia, nama Asri muncul nombor satu sebagai tiang yang menjadi tunjang kekuatan. Dialah sumber inspirasi kepada mana-mana sahaja anak-anak muda yang mula ingin menginjak ke dunia nasyid.
"Bagi saya, Allahyarham adalah pahlawan sejati kepada perkembangan muzik nasyid kontemporari. Dialah pahlawan yang akan mengetuai gerakan kami.
"Dialah satu-satunya orang yang akan menjadi rujukan dan inspirasi penyanyi nasyid baru. Saya sendiri membesar dengan lagu-lagu dendangan Allahyarham sewaktu Allahyarham masih bersama Nada Murni lagi," tambah Che Amran yang ditemui di lobi Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Kuala Lumpur ketika menziarahi jenazah Asri.
Pemergian Allahyarham pada usia 40 tahun sungguh mengejutkan dan merupakan kehilangan besar kepada negara khususnya kepada bidang dakwah Islam menerusi seni.
Keunggulan anak ketujuh daripada 13 adik-beradik itu di mata pencinta muzik nasyid bukan hanya tertumpu kepada keindahan melodi dan kelunakan suaranya yang sukar ditemui persamaan dengan mana-mana penyanyi nasyid yang ada.
Sebaliknya pengetahuan agama yang tinggi dan pekerti Asri itu sendiri sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja pantas menyenangi kehadirannya.
Dua hari sebelum kematiannya, Allahyarham bersama ahli kumpulan Rabbani yang lain iaitu Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Loqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman sempat mengadakan satu sidang media dan memeterai satu lagi perjanjian kerjasama dengan Hotel Singgahsana, hotel yang tidak pernah mengenepikan nama Rabbani apabila tibanya Ramadan sejak 12 tahun lalu.
Seraya tersenyum, ini antara bait-bait terakhir yang dilafazkan Allahyarham ketika sesi sidang media itu berlangsung: "Orang kata, apabila tiba bulan puasa kalau boleh kurangkan bekerja dan banyakkan ibadah, tetapi bagi saya pula, kerja ini (membuat persembahan) merupakan ibadah kepada saya."
Kepada Ustaz Asri, semua perlakuan, perbuatan dan aktiviti seni yang diceburinya sejak bersama Nada Murni lagi merupakan satu ibadah. Lirik-lirik yang ditulis Allahyarham sendiri banyak berkisar tentang dakwah Islam yang mengajak umat agar kembali ke jalan Allah.
Sejarah awal
Menyingkap sejarah awal pembabitan Allahyarham dalam dunia seni segalanya bermula pada tahun 1991 apabila Allahyarham mula berjinak-jinak dengan kumpulan nasyid Nada Murni dan semakin serius apabila tertubuhnya kumpulan Rabbani pada 1 Mac 1997.
Meskipun kemunculan kumpulan Rabbani di persada muzik tanah air dipandang enteng pada awalnya tetapi itu sedikit pun mematahkan semangatnya walaupun ketika itu nama Raihan sedang mewangi di kalangan peminat nasyid.
Rabbani mengejutkan banyak pihak apabila tampil bersama 13 ahli kumpulan dan menjadi satu-satunya kumpulan nasyid di Malaysia yang mempunyai anggota paling ramai.
Dalam soal keahlian dan tanggungjawab menjaga keutuhan kumpulan agar tidak berlaku onar yang meretakkan hubungan sesama ahli, Ustaz Asri sendiri pernah menjelaskan, keakraban dan setiakawan adalah kunci kekuatan mereka untuk bertahan sehingga kini.
Perkara itu diakui oleh komposer dan pengarah muzik terkenal Ramli MS. Katanya, apa yang menjadikan Asri satu nama besar dalam industri muzik nasyid adalah keunikan suaranya yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.
"Saya individu yang mendengar muzik setiap hari tetapi setiap kali mendengar nyanyian daripada Allahyarham, telinga saya bagaikan tertusuk sesuatu yang indah.
"Suaranya benar-benar mempunyai aura dan merupakan anugerah Allah yang paling berharga," ujar Ramli.
Selama 12 tahun kumpulan Rabbani ditubuhkan, kumpulan nasyid yang dianggap pencabar terdekat kepada Raihan itu melalui banyak fasa termasuklah menyesuaikan muzik nasyid tradisional dengan elemen-elemen muzik dari luar negara.
Bermula daripada konsep nasyid klasik melalui irama-irama yang dipetik dari Timur Tengah, Afrika dan Andalusia, kemudian diadun dan diolah mengikut cita rasa yang sesuai dengan era terkini.
Sehingga kini bersama Rabbani Allahyarham sudah menghasilkan 18 buah album. Bukan itu sahaja, keunggulan Asri dan Rabbani dibuktikan menerusi pelbagai pencapaian dan anugerah yang telah diraih. Ini termasuklah kemenangan demi kemenangan kumpulan Rabbani dalam Anugerah Industri Muzik.
Seorang teman seperjuangan Allahyarham, penyanyi Yassin yang ditemui menyifatkan pemergian arwah satu kehilangan yang besar dalam industri muzik Malaysia.
"Ini kehilangan yang besar pada industri muzik sebab ramai orang yang membesar dengan lagu-lagu Rabbani. Saya sendiri terkejut sebab tidak tahu dia ada penyakit kronik kerana dua tiga hari sebelum ini saya baru jumpa arwah dan tidak nampak sebarang perubahan langsung.
"Arwah juga seorang yang baik. Tanyalah sesiapa sahaja, pasti tiada seorang pun yang tidak suka akan personalitinya," ujar Yassin sambil menitiskan air mata.
Sesungguhnya, apa yang tercatat menerusi penulisan ini tidak dapat menggambarkan keseluruhan riwayat hidup yang pernah dilalui oleh seorang hamba Allah, seorang lelaki, seorang penasyid, seorang penghibur, seorang pendakwah, seorang suami dan seorang ayah bernama Mohd. Asri Ibrahim.
Disahutnya panggilan Ilahi tanpa mengundang banyak keresahan keluarga, peminat dan rakan-rakan, Allahyarham Asri telah pergi meninggalkan semua dalam sekelip mata.
Sepantas itu nyawanya diambil semula oleh Sang Pencipta. Biarpun pemergiannya diratapi dan ditangisi, Asri pergi dan takkan kembali lagi.
Allahyarham yang meninggal dunia pagi semalam ada menulis dalam blognya asrirabbani@blogspot.com yang berbunyi: "Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat. Aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku...."
*****************************************************************************
Berita Harian:
Vokalis utama Rabbani meninggal
KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim (gambar), meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai (PMC), Bangsar, di sini akibat sakit jantung, pagi semalam.
Allahyarham rebah kira-kira jam 10.30 pagi ketika raptai pelancaran program Syahadah musim kelima, di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum dihantar ke PMC untuk rawatan.
Adik iparnya, Adha Buyong, berkata Mohd Asri, 40, dan berasal dari Klang, Selangor menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.Saya menerima panggilan memaklumkan abang ipar saya pengsan. Pagi tadi (semalam) memang abang Asri mengadu tidak sihat dan muntah-muntah, namun dia tetap menyertai raptai itu," katanya ketika ditemui di PMC.
Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Jannah Shahdan, 38, dan enam anak, Mohd Nasimuddin, 15; Mohd Fathi, 14; Nor Afikah, 12; Mohd Ilham, 10; Sofiyah Munawarah, 6, dan Hamidi Rabbani, 4.
Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Islam Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam selepas Maghrib, semalam.
Antara lagu popular nyanyian Mohd Asri bersama Rabbani ialah Pergi Tak Kembali, Subhanullah, Intifada, Assalamualaikum, Iqra, Di Ambang Syawal, Ingat Lima Sebelum Lima dan baru-baru ini berduet dengan Amy Search menyanyikan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur.
Kumpulan itu dinobatkan sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama lapan tahun berturut-turut.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya, berkata ketika kejadian beliau dalam perjalanan dari pejabatnya ke auditorium untuk menghadiri pelancaran program Syahadah yang akan disiarkan di RTM sempena Ramadan ini.
"Apabila sampai di situ, saya lihat orang ramai mengusung beliau untuk dibawa ke hospital. Tidak lama selepas itu, kami dimaklumkan Asri meninggal dunia.
"Majlis diteruskan, tetapi tanpa persembahan perasmian, sebaliknya memainkan lagu tema program Syahadah menerusi cakera padat," katanya.
Penerbitan dan Penyelaras Program Syahadah, Ibrahim Zaidi Ismail, berkata beliau terkejut apabila melihat Asri tiba-tiba jatuh sebelum program bermula.
"Kira-kira jam 10.30 pagi Asri masuk studio. Asri memegang mikrofon, tetapi beberapa saat sebelum program bermula Allahyarham rebah ke lantai," katanya.
Rakan karibnya yang juga anggota kumpulan Raihan, Che Amran Idris menganggap Mohd Asri sebagai idola kerana beliau mula mengenalinya sebelum kemunculan kumpulan nasyid kontemporari lain.
"Malah, banyak kumpulan nasyid sekarang, termasuk Raihan sendiri cuba meniru gaya dan penampilan arwah. Kami menganggap arwah sebagai pahlawan dan ikon nasyid," katanya.
Setempat
Asri mengadu tidak sihat
Oleh Nor Akmar Samudinakmar@hmetro.com.my
AL-FATIHAH...keluarga dan anggota kumpulan Rabbani |
SHAH ALAM: “Balik malam tadi (kelmarin), Asri mengajak saya keluar makan malam, perkara yang jarang dapat kami lakukan bersama kerana kesibukannya. Kami keluar berdua kerana anak-anak sudah tidur dan Asri kata pesan (makanan) apa saja. Selepas itu kami menonton televisyen berdua dan berbual lama.
“Bagaimanapun, ketika keluar hendak menjayakan rakaman program Syahadah di RTM (Radio Televisyen Malaysia), pagi tadi (semalam), Asri mengadu tidak sihat dan batuk lalu dia minta saya menghantarnya ke pejabat Rabbani Productions di Taman Manjalara, Kepong.
“Itu pertemuan terakhir saya dengannya sebelum diberitahu dia sudah tiada, lebih kurang jam 11 pagi,” kata Nur Jannah Shahadan, 39, isteri vokalis utama Rabbani, Allahyarham Mohd Asri Ibrahim, 40, ketika ditemui di rumah keluarga arwah di Kampung Bukit Lanchong di sini.
Asri meninggal dunia akibat serangan jantung. Allahyarham meninggalkan enam cahaya mata, Mohd Nasimuddin, 15, Mohd Fathi, 14, Nur Atikah, 12, Mohd Ilham, 10, Soffiyah Munawwarah, 6, dan Hamdi Rabbani, 5.
“Komitmen Asri terhadap kerjaya seninya menjadikan saya seorang yang berdikari. Allahyarham seorang suami dan bapa yang baik. Tidak ada apa yang terkilan di hati cuma pagi tadi (semalam) sebelum dia keluar rumah, saya tidak dapat memeluknya erat.
“Kenangan paling manis baru-baru ini kami dapat menunaikan umrah bersama-sama sambil berziarah di Istanbul. Asri menyifatkan pemergian kami ke Tanah Suci itu untuk mengerjakan umrah sambil berbulan madu selepas 16 tahun kami berkahwin.
“Insya-Allah, saya akan tabah mengharungi kehidupan ini membesarkan anak bersendirian,” katanya.
Azadan Abdul Aziz, 36, seorang daripada anggota Rabbani dan yang paling rapat dengan Allahyarham berkata, dia dan anggota lain akan meneruskan perjuangan kumpulan nasyid paling popular itu.
“Asri bukan hanya kawan dan rakan seperjuangan dalam dunia seni yang berdakwah menerusi lagu nasyid, malah dia pemimpin dan bapa kepada kami. Namun, Allah lebih menyayanginya dan kami reda pemergiannya.
“Meskipun beliau sudah tiada, semangat dan kekuatannya akan terus bersama kami untuk meneruskan perjuangan Rabbani. Banyak program dirancang pada Ramadan ini terutama persembahan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.
“Selepas ketiadaan Asri, saya akan kumpulkan semua anggota Rabbani untuk membina semula kekuatan bagi menghadapi hari esok. Perjuangan Rabbani dalam bidang seni akan diteruskan.
“Meskipun saya dan anggota lain dapat menerima ketentuan Allah SWT, kami semua tetap terkejut kerana pemergian Asri terlalu mendadak. Sebelum itu kami pernah berbual berdua, macam mana dengan Rabbani jika berlaku apa-apa dengan Asri. Tak sangka pula perbualan kami menjadi kenyataan.
“Pun begitu kami bersyukur kerana Asri pergi dalam keadaan tenang dan wajahnya seperti orang tidur,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 di sini, selepas Maghrib malam tadi, bersebelahan pusara bapanya yang meninggal dunia hampir setahun lalu.
88888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888
Minta al-Quran sebelum rebah
Oleh Esme Johari Wahab dan Wan Asrudi Wan Hasanwanasr@hmetro.com.my
Rap |
KESUNGGUHANNYA menyebarkan dakwah melalui lagu cukup kuat apabila memperjuangkan irama nasyid selama 25 tahun bermula dengan kumpulan Nada Murni yang diasaskan Al-Arqam selama 15 tahun kemudian menubuhkan Rabbani pada 1 Mac 1997. |
BELASUNGKAWA MOHD ASRI IBRAHIM (1969 - 2009)
Sepanjang tempoh itu, Asri yang mesra dengan panggilan Ustaz Asri, menghiburkan peminat dengan alunan zikir, nyanyian malah suaranya berkumandang memanggil umat Islam menunaikan solat apabila masuk waktu di televisyen.
Kewibawaan dan kepimpinannya mengendalikan Rabbani cukup dikagumi kerana mampu bertahan hingga ke hari ini biarpun mempunyai bilangan anggota yang ramai.
Selain Asri, kumpulan berkenaan turut dianggotai Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin, Mohd Asri Ubaidullah dan Zulkiflee Azman.
Selain aktif dalam menjayakan persembahan seni, Rabbani juga melebarkan sayap dalam bidang perniagaan sehingga membawa kepada penubuhan Rabbani Productions Sdn Bhd.
Rabbani menerbitkan 19 album seperti Rabbani, Arah Dari Mana... Ke Mana... (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000) dan Maulana (2007). Daripada irama nasyid klasik sehingga menampilkan irama Timur Tengah dan disesuaikan mengikut peredaran zaman.
Sekalipun mengadu kurang sihat dan mengalami muntah, pagi semalam, Asri tetap hadir ke majlis sidang media dan pelancaran program Dokumentari Syahadah Musim ke-5 yang akan disiarkan Ramadan ini, di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Asri pengsan ketika hendak melakukan raptai ujian bunyi dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur oleh rakan kumpulan Rabbani dan disahkan meninggal dunia jam 11.05 pagi oleh doktor pakar hospital itu.
Rakannya daripada kumpulan Raihan, Che Amran Idris ternyata terkejut apabila menerima berita kematian itu malah menyifatkan ia satu kehilangan besar untuk industri nasyid tanah air.
"Kami baru saja bertemu dan berbincang dua hari lalu mengenai urusan perniagaan. Semuanya berjalan lancar malah dia langsung tidak nampak dalam keadaan sakit," katanya ketika dihubungi semalam.
Bagi Che Amran, pengalaman berkongsi pentas menjayakan persembahan bersama pada 1 Ogos lalu detik paling menarik baginya selepas sekian lama tidak menjayakan persembahan besar bersama.
Mengenali arwah sejak 15 tahun lalu, Che Amran menyifatkan arwah seorang yang sangat tenang dan mudah didekati. Kehilangannya memang tiada galang ganti.
Sementara itu, Penolong Penerbit Dokumentari Syahadah, Murad Mohamad Safie berkata, pihaknya menjemput Rabbani untuk majlis pelancaran program itu memandangkan kumpulan berkenaan menyampaikan lagu tema bagi program ilmuan itu sejak lima tahun lalu.
"Sebaik tiba kira-kira jam 10 pagi, Asri mengadu kurang sihat dan meminta al-Quran daripada saya. Bagaimanapun, belum sempat saya mendapatkannya, dia jatuh pengsan. Sepatutnya ketika itu, dia perlu bersiap sedia menjalani ujian audio sebelum sidang media diadakan.
"Saya terus menanggalkan stokin dipakainya dan mengurut kakinya. Kakitangan RTM turut membantu, tetapi dia masih tidak sedarkan diri. Sebaik sampai di hospital, saya mendapat panggilan daripada rakannya mengatakan doktor mengesahkan Ustaz Asri meninggal dunia jam 11.05 pagi," katanya.
Kolaborasi Rabbani bersama KRU menerusi lagu Pergi Tak Kembali dan Intifada menjadikan kumpulan ini dikenali ramai hingga menang Kumpulan Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama lapan tahun berturut-turut.
Selain memenangi beberapa anugerah seperti Album Nasyid Terbaik (Iqrar - 1421), Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Album (Iqrar-1421), Album Terbaik 2001 (Iqrar-1421), Album Nasyid Terbaik 2002 (Intifada), 2003 (Qiblat) serta 2009 (Nostalgia Nada Murni) dan Lagu Nasyid Terbaik 2009 (Bila Nur Melimpah Di Hati) menerusi Anugerah Industri Muzik (AIM).
Dalam memperjuangkan lagu nasyid, Rabbani sering bergabung bersama kumpulan nasyid lainnya mengadakan persembahan. Kali terakhir, Konsert Antara Dunia 2009 bersama Raihan, Hijjaz, Shoutul Harokah dari Indonesia dan Nebras (Arab Saudi) di Stadium Malawati, Shah Alam, 1 Ogos lalu.
Selasa lalu, Asri hadir di majlis sidang media dan menandatangani perjanjian mengadakan persembahan sepanjang Ramadan ini di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya untuk kali ke-18.
Arwah meninggalkan balu, Noor Jannah Shahadan, 38, dan enam anak iaitu Mohd Nasimuddin, 15; Mohd Fathi, 14; Nor Atikah, 12; Mohd Ilham, 10; Sofiyah Munawarah, 6; dan Hamdi Rabbani, 4.
Arwah yang dilahirkan di Klang, Selangor pada 3 Ogos 1969, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lancong, Seksyen 28, Shah Alam selepas solat Asar, semalam.
8888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888
Daripada Akhabar Harakah
Pahlawan Nasyid
Dalam pada itu, anggota Kumpulan Nasyid Raihan menyifatkan allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim yang juga vokalis Kumpulan Rabbani sebagai 'pahlawan nasyid' yang sukar dicari ganti.
Salah seorang anggota kumpulan terbabit, Che Amran Ibrahim ketika dihubungi memberitahu, pemergian vokalis nasyid yang bersuara �emas� itu amat sukar dicari ganti.
"Berita kematiannya yang mengejutkan itu memang memeranjatkan kami, sama seperti anggota kami yang telah meninggal dunia dahulu allahyarham Zaiery yang pergi dengan cara mengejut,"ujarnya dalam sebak menahan kesedihan.
Beliau seterusnya memberitahu, Asri yang bersuara 'emas' sebenarnya ikon kepada kumpulan nasyid yang ada pada hari ini.
Jelasnya, walaupun Rabbani hanya ditubuhkan pada tahun 1998, namun namanya telah lama terkenal dengan seni irama nasyid sejak sekian lamanya khususnya sewaktu menganggoti Nadamurni.
"Begitu juga anggota Raihan yang ditubuhkan sebenarnya turut mendapat respond yang baik dari allahyarham sendiri, bahkan allahyarham turut memberi saranan supaya perbanyakkan kumpulan nasyid.
"Ianya bertujuan supaya masyarakat turut mendapat hiburan alternatif yang menjurus kepada Islam sebagai mengimbangi lagu-lagu versi lain yang ada pada hari ini,"ujarnya.
Ulama nasyid
Kali terakhir bertemu dengan allahyarham dua malam lalu untuk berbincang tentang program nasyid yang bakal diadakan bersama selepas ini.
Sementara itu, anggota Kumpulan Hijjaz, Isman Hisyam,40, menyifatkan allahyarham sebenarnya seorang ulama yang masyhur dalam nasyid.
"Walaupun kita nampak dia bernasyid, tetapi sebenarnya dia seorang ulama bahkan tempat anggota kumpulan nasyid membuat rujukan khususnya tentang Islam,"ujarnya.
Beliau yang kini berada di Kota Bharu untuk promosi Kopi Hijjaz, bagaimanapun melahirkan rasa terkilan sebab tidak dapat pulang menziarahi allahyarham buat kali terakhir kerana masaalah tiket penerbangan telah habis.
Menurutnya, semua tiket sama ada MAS, Firefly, Air Asia kesemuanya habis untuk penerbangan hari ini.
Jelas Isman lagi, beliau amat terkejut dengan berita yang baru diterima apabila salah seorang anggota Kumpulan Rabbani 'Azadan' menghubunginya memberitahu Asri sudah meninggal dunia.
"Kami macam adik beradik walaupun berlainan kumpulan sebab kumpulan nasyid mana-mana pun menuju ke arah yang sama iaitu membawa manusia ke jalan yang benar serta sentiasa mengaggungkan Allah,"ujarnya.
Tambahnya, lagipun kumpulannya sentiasa merangkakan program bersama khususnya rakaman 'zikir' bersama Rabbani.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua peminat Rabbani khususnya umat Islam mendoakan kesejahteraan allahyarham agar mendapat limpahan rahmat yang tidak perbah putus.
"Kami juga berharap semua peminat seni nasyid tanah air supaya bersabar menerima berita yang begitu menyentuh jiwa ini,"ujarnya yang tidak dapat menahan sebak.
Untuk rekod, salah seorang anggota Hijjaz, iaitu Salleh telah meninggal dunia akibat masalah paru-paru, ianya diikuti dengan anggota kumpulan Raihan, Zaery meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa bulan selepas itu.
Juara ABP lapan tahun berturut-turut
Ustaz Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor.
Beliau menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.
Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi dan memberikan kejayaan kepada Rabbani.
Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapan tahun berturut-turut.
Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini adalah dengan konsep yang tersendiri.
Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti 'ARAH Dari Mana� Ke Mana�' (1997), 'Pergi Tak Kembali' (1999), 'Intifada' (2000), 'Yalla Beena' (2004) dan yang terbaru, 'Nostalgia Nada Murni'. - mks. _
No comments:
Post a Comment