Luahan kecewa Raihan
hmetro.com.myKUALA LUMPUR: “Saya menganggap ia lebih kepada luahan hati kami terhadap kesukaran mendapatkan penaja untuk mengadakan persembahan nasyid terutama memenuhi jemputan di luar negara sejak kebelakangan ini, kata anggota kumpulan nasyid popular Raihan, Che Amran Idris, 40, berhubung desas-desus Raihan akan dibubarkan.
Che Amran, 40, berkata luahan kekecewaan itu bertujuan menyedarkan pihak berkaitan supaya memandang lagu nasyid sebagai satu daripada penggerak industri hiburan tanah air.
“Kami sayangkan industri lagu nasyid, tetapi tanpa sokongan daripada semua pihak termasuk penaja, memang sukar untuk kami mengembangkan dakwah terutama di luar negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar sebelum ini mengenai keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ Raihan apabila genre nasyid semakin merosot dari segi sambutan.
he Amran berkata, Raihan yang kini sudah berusia 13 tahun menerima jemputan mengadakan persembahan di luar negara kerana di sana penganjur lebih menghargai lagu nasyid sebagai satu cabang seni bukan semata-mata berkaitan agama.
“Memang kami ada menerima jemputan mengadakan persembahan biasa dalam negara, tetapi dalam soal penajaan terutama untuk memenuhi jemputan luar agak sukar umpama lagu nasyid ini dipandang dengan sebelah mata saja.
“Mungkin mereka (penaja) menganggap lagu nasyid hanya berkaitan agama seperti solat dan zikir tetapi sebenarnya ia lebih daripada itu, lagu nasyid meliputi motivasi serta teguran apatah lagi berkaitan gejala sosial remaja sekarang,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan stesen radio juga dilihat lebih banyak memainkan lagu berkonsep komersial berbanding nasyid.
“Lagu nasyid mungkin hanya dimainkan pada waktu tertentu seperti Ramadan dan Aidilfitri saja sedangkan kami bukan berceramah sebaliknya menyampaikan dakwah menerusi lagu serta muzik.
“Lagu nasyid mempunyai peminat tersendiri malah ada lagu yang ‘evergreen’ dan sokongan mereka tidak pernah putus namun dalam suasana sekarang yang menyukarkan kami untuk mendapat peluang memperkembangkan industri nasyid,” katanya.
Che Amran berkata, disebabkan kemurungan industri hiburan sekarang, Raihan hanya menghasilkan ‘single’ bertajuk Doa Niat Puasa sempena Ramadan.
No comments:
Post a Comment