19.5.10

Warna Kehidupan: Hidup bersara: Susah senang sendiri tentukan

Warna Kehidupan: Hidup bersara: Susah senang sendiri tentukan

2010/03/04
BUDAYA berbelanja mewah semakin berleluasa di kalangan masyarakat kita pada hari ini khususnya golongan Melayu yang dilihat kurang prihatin terhadap aspek perancangan masa depan sehingga mencetuskan masalah apabila seseorang itu mencapai tempoh bersara.

Biasanya seorang pesara mempunyai jangka hayat yang panjang dan berkemungkinan akan meneruskan kehidupannya sehingga 20 tahun atau lebih selepas bersara dengan memerlukan jumlah wang yang banyak untuk menampung perbelanjaan hidup selepas bersara.
Kebanyakan pekerja di negara kita mempunyai simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), dan mengikut KWSP, purata, penyimpan mempunyai simpanan kurang dari RM120,000 sebelum bersara dan ia hanya mencukupi untuk perbelanjaan sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 20 tahun.
Justeru, bagi meneruskan kehidupan, golongan pesara khususnya kakitangan swasta memerlukan wang yang banyak untuk meneruskan hidup, tidak termasuk perbelanjaan pendidikan anak yang masih belum menamatkan pengajian dan kenduri perkahwinan anak mereka.

Bagaimanapun, sikap kebanyakan pesara yang memandang ringan terhadap nasib mereka selepas bersara menyebabkan kebanyakan daripadanya membazirkan duit untuk tujuan yang tiada kepentingan seperti membesarkan rumah dan melancong tanpa mengukur baju di badan sendiri.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Furqaan ayat 67, “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebihan, dan tidak pula bakhil (kedekut), dan adalah pembelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian”.

Pesara, Zainul Abidin, berkata masyarakat masa kini khususnya orang Melayu kurang faham mengenai kepentingan merancang kewangan menjelang hari tua kerana mentaliti sesetengah daripanya yang menganggap jumlah wang pencen sudah mencukupi untk menampung kehidupan selepas bersara.
"Namun, keadaan ini berbeza dengan kakitangan swasta yang hanya terpaksa bergantung kepada simpanan KSWP semata-mata walaupun mendapat wang dalam jumlah yang banyak. Kelompok ini memerlukan pelan tindakan yang baik untuk menabung dan perlu dimulakan semasa muda lagi.

"Bagi yang berpencen pula, mereka cuma akan mendapat 50% dari gaji pokok terakhir mereka, dan ini masih rendah dari yang diperlukan untuk menampung kehidupan di usia emas itu. Bagaimanapun, kelebihannya berbanding kakitangan swasta, golongan ini boleh mendapat rawatan kesihatan percuma dari hospital kerajaan sepanjang hayat," katanya yang sebelum ini berkhidmat sebagai Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurutnya, sikap memandang ringan terhadap bekalan masa depan menjelang hari tua perlu diambil perhatian dan budaya menghabiskan wang KWSP bagi kakitangan swasta dan ganjaran perkhidmatan bagi kerajaan harus diubah dengan menggunakannya secara berhemah.

"Ukuran perbelanjaan dalam Islam ialah kesederhanaan kerana kesederhanaan itulah panduan yang membataskan antara keperluan hakiki dan pembaziran serta kemurahan hati dan kebakhilan.

Bagi,Daeng Andak Al Habrah, kebanyakan pesara mula gelap mata apabila mendapat wang dalam jumlah yang banyak sehingga menyebabkan mereka terlupa mengenai kegunaan wang itu pada masa depan.

"Individu, tidak mengira sektor kerajaan atau swasta perlu mengambil perhatian yang serius terhadap masalah ini khususnya dalam aspek jangka masa panjang. Sekiranya sebulan kita memerlukan RM2,000, untuk meneruskan hidup secara sederhana, ini bermakna kita memerlukan RM24,000 setahun atau RM480,000 untuk jangka masa 20 tahun.

"Ini adalah penilaian mata wang sekarang dan jika inflasi diambil kira, mungkin kita memerlukan lebih dari RM700,000 selain perlu memikirkan aspek penjagaan kesihatan dalam usia yang semakin meningkat,"katanya yang pernah berkhidmat di sektor swasta.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan faktor keinginan setiap manusia untuk memiliki sesuatu yang belum dicapainya sebelumnya menyebabkan sesetengah daripadanya bersikap boros ketika memiliki wang yang banyak.

"Tidak salah sekiranya wang yang ada digunakan untuk tujuan menunaikan haji atau memberi sedekah pada kadar kemampuan kerana ia amat digalakkan dalam Islam asalkan tidak memudaratkan diri. Justeru, pilihan KWSP atau pencen adalah bergantung kepada matlamat persaraan setiap individu kerana yang perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah mengamalkan budaya berbelanja secara berhemah demi masa depan keluarga," katanya.

No comments: