Kalau difikirkan untuk kebaikan, memang baik berita ini kerana setidak-tidaknya ramai juga perokok tegar yang mula berfikir untuk berhenti atau pun mengurangkan kadar merokok seharian.
Sebagai pengetahuan mengenai bahan bahaya dalam rokok seperti tar, nikotin dan karbon monoksida. Tar mengandungi bahan ‘benzopyrene’ iaitu sejenis ‘policyclic aromatic hydrocarbon’ (PAH) disahkan sebagai punca utama kanser.
Nikotin, sejenis najis dadah heroin, menjadi salah satu punca utama perokok merasa ketagih. Ia berisiko mengakibatkan serangan jantung dan strok. Karbon monoksida pula, sejenis gas beracun yang dikeluarkan ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalan oksigen ke tisu dan boleh mengakibatkan perokok terencat serta membawa maut sekiranya melebihi had dalam badan.
Itu soal kesihatan dan bahayanya merokok. Tapi kalau dibacakan mengenai kesemua keburukan merokok kepada si perokok tegar, memang masuk telinga kanan keluar telinga kiri saja kerana apa yang penting adalah kepuasan.
Rasanya alternatif pihak berkuasa untuk mengurangkan jumlah perokok dengan menaikkan harga adalah jalan terbaik. Sebelum ini pelbagai kempen dijalankan namun semuanya tidak berkesan.
Tapi kalau ia berkaitan soal duit, memang akan terasa juga. Walaupun sukar untuk memaksa seseorang itu berhenti, mungkin dengan harga yang lebih mahal untuk mendapatkan sekotak rokok, mereka akan cuba mencari jalan untuk mengurangkan kadar merokok.
Masalahnya terhadap isu merokok ini, ia bukan saja memudaratkan kesihatan perokok saja sebaliknya kesannya begitu serius kepada mereka yang menghidu asapnya. Mengikut sebuah kajian kesihatan pernah menyatakan yang mereka yang menghidu asap rokok daripada perokok lebih berisiko berbanding perokok itu sendiri.
Sempat juga Gen Y melakukan tinjauan mengenai kenaikan harga rokok. Adakah ia membuatkan seseorang itu berhenti merokok atau ia langsung tidak meninggalkan impak kepada mereka.
Bagi seorang teman yang sememangnya perokok tegar dan enggan identitinya didedahkan, isu kenaikan harga rokok memang menjejaskan bajet bulanannya namun ia bukanlah alasan untuk dia berhenti merokok.
“Kalau kira pengsan, memanglah sebab sehari sekarang saya perlu sediakan RM12 untuk rokok berbanding lima tahun dulu RM7 saja. Tapi sebab tiada cara lain lagi, jadi suka ataupun tidak terpaksa juga saya ketepikan duit.
“Saya pernah cuba untuk berhenti rokok sebelum ini tapi memang tak menjadi. Saya jadi tak keruan dan sakit badan. Mungkin kerana sudah lebih 10 tahun merokok, ia sudah jadi tabiat wajib untuk sistem badan.
“Justeru sekarang saya perlu berjimat dari segi makan ataupun hiburan peribadi seperti karaoke ataupun menonton wayang bagi memastikan RM400 sentiasa ada setiap bulan untuk rokok,” katanya.
Itu baru seorang responden yang boleh dikatakan mewakili lebih tiga juta perokok lain di Malaysia.
Golongan wanita antara yang paling gembira menyambut berita kenaikan harga rokok ini kerana kebanyakan mereka memang terpaksa akur dengan sikap teman lelaki atau suami mereka yang tidak boleh berenggang daripada rokok.
Apa kata kita dengar cerita mereka sendiri.
Peluang cari ‘BF’ luas
“Sememangnya saya tidak suka lelaki merokok dan sudah tentu itu kriteria utama untuk menjadi kekasih. Saya tidak akan menerima lelaki yang merokok untuk bersama saya kerana rokok adalah pembaziran dan boleh memudaratkan.
“Justeru apabila harga rokok dinaikkan dengan mendadak hingga mendesak kebanyakan perokok terpaksa berfikir untuk terus merokok, itu satu berita baik untuk semua pihak kerana kesan rokok ini meluas hingga kepada mereka yang tidak merokok.
“Kiranya lepas ini saya harap lebih ramai lelaki yang cuba untuk berhenti merokok dengan melakukan senaman ataupun mengambil vitamin. Hidup pun lebih sihat dan badan tidak berbau.
“Bukankah itu satu perubahan positif kerana setidak-tidaknya saya lebih banyak peluang untuk mencari kekasih memandangkan sebelum ini ramai sangat golongan lelaki muda yang merokok,” katanya.
Nama: Susianah Sidin
Umur: 23
Lokasi: Sabah
Berita gembira
“Saya adalah orang paling gembira apabila pihak berkuasa menaikkan lagi harga rokok secara mendadak kerana sejak dulu saya sukar menerima situasi perokok yang mengeluarkan asap dan dihidu oleh orang sekeliling.
“Kemungkinan peratusan asap dihidu oleh orang berhampiran perokok, lebih memudaratkan daripada si perokok itu sendiri.
“Perkara ini jelas salah dan boleh membawa maut sama ada penghisap mahupun orang sekeliling. Satu lagi yang kita perlu tahu, tindak balas merokok mengambil masa agak lama. Bukannya, kalau kita hisap hari ini esok dah mati. Tapi dia memakan sistem dalam badan secara perlahan-lahan.
“Tapi kalau saya sembang dengan kawan lelaki yang kuat merokok, biasanya alasan mereka untuk hilangkan tekanan dan memberikan ilham bagi memulakan sesuatu perkara, itulah sedap dan nikmatnya merokok. Tapi setiap benda yang sedap itu memang ada kesan negatifnya, sama seperti merokok,” katanya.
Nama: Norfasehah Md Rusdi
Umur: 25
Lokasi: Perak
Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/10
No comments:
Post a Comment