6.6.10

Baik Dan Buruknya Laman FACEBOOK!

Kelahiran FACEBOOK adalah sebagai laman sosial yang membenarkan rangkaian sosial dibangunkan....

Ramai yang memuji facebook apabila mereka dapat bertemu dan berinteraksi dengan kenalan - kenalan lama yang jauh berpisah..... ada yang berjumpa kawan kelas 10 tahun , 20 tahun yang lalu...jumpa balik kawan sekolah rendah...sekolah menengah dan kawan universiti.....

Ada yang menggunakan Facebook untuk memasarkan produk atau perniagaan masing-masing.....

Ada yang menggunakan Facebook untuk membuat pemasaran bertingkat - MLMlah paling senang ceritanya....

Ada yang menggunakan Facebook bagi meluaskan jaringan org yang baru dikenali....

Ada yang menggunakan Facebook untuk bercinta, mencari pasangan hidup....

Bagi seorang Trainer, mereka menggunakan facebook untuk berkomunikasi dgn clients atau bekas pesertanya......

Ramai "kaunselor" dlm facebook walaupun tak bertauliah...tulis sahaja masalah anda....nanti kawan anda/networks anda akan selesaikan.....

Namun begitu kebaikan atau keburukan FACEBOOK bergantung kepada Hati dan Jiwa Orang Yang Menggunakannya

Kalau org itu baik...maka baiklah penggunaan FACEBOOK....

Kalau org itu kurang baik, nakal tak bertempat, jahat, jiwa kotor maka buruklah penggunaan FACEBOOK.....

ANDA akan tertipu di FACEBOOK dan mengundang bahaya jika:-

1. Anda menganggap semua org dalam facebook baik dan ikhlas seperti anda...

2. Anda mendedahkan sepenuhnya tarikh lahir anda.....

3. Menerima sesiapa sahaja sebagai Friends anda tanpa usul periksa latarbelakangnya...secara real dan bukan sekadar info dalam facebook.

4. Mudah menerima friends hanya berdasarkan wajah dan rupa paras sahaja.

5. Meletakkan semua maklumat peribadi anda seperti nombor telefon, alamat rumah penuh, alamat ofis penuh dan segala maklumat yang akan memerangkap anda.

6. Menulis semua pergerakan anda secara terlalu detail.

7. Menulis semua perasaan anda secara detail.....

Ingat RAMAI BUAYA dan harimau DALAM Facebook...

IKUTI masalah FACEBOOK ini di dunia barat......

Facebook tempat bukti kecurangan

Hubungan sulit pasangan didedah dalam web sosial

NEW YORK: Semakin ramai pasangan yang bercerai menjadikan laman web sosial Facebook sebagai bukti pasangan mereka melakukan kecurangan, menurut hasil kajian terbaru.
Kajian yang dijalankan sekumpulan peguam terkenal di Amerika mendedahkan, pelanggan mereka datang ke mahkamah dengan membawa bukti yang mereka temui di laman web itu.

Mereka berkata, laman sosial yang amat popular itu dilayari berjuta-juta pengguna memberi peluang mereka menghubungi rakan lama dan mencari rakan baru, tetapi pada masa yang sama menjadi punca individu berbohong dan menipu pasangan mereka.

Masalah biasanya bermula apabila pengguna bersembang perkara membabitkan seks perkara yang tidak wajar dilakukan dengan ‘rakan’ di internet.

“Semakin ramai pelanggan datang menemui saya dan apabila saya bertanya mengapa mereka mahu bertemu dengan saya, mereka menjawab Facebook,” kata peguam perceraian terkenal, Mary Cay Trace.

Beliau berkata, e-mel lucah dan mesej berbaur seks di laman Facebook menjadi bahan bukti yang semakin banyak didedahkan di mahkamah, sebagai punca perubahan sikap individu terhadap pasangan mereka sehingga menyebabkan perceraian.
Mary Cay berkata, mana-mana individu juga kini boleh menyiasat jiran dan rakan sepejabat melalui Facebook jika mengesyaki mereka berlaku curang.

Mary Cay merujuk kes seorang wanita yang menulis dalam laman web MyFoxPhilly.com mengenai gelagat suaminya bertukar-tukar nota cinta dengan bekas rakan sekolahnya selepas mereka bertemu kembali melalui Facebook.

“Hanya dalam tempoh beberapa bulan, perkahwinan wanita itu dan suaminya selama 13 tahun, berakhir dengan perceraian. Teman wanita baru suaminya juga bercerai dengan pasangannya. Mereka mempunyai dua orang anak,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mary Cay lagi, perkara yang lebih menyedihkan adalah apabila seseorang individu mengesan kecurangan pasangan mereka di Facebook.

Perkara itu tidak hanya diketahui oleh mereka saja, sebaliknya jiran tetangga, anggota keluarga dan anak juga dapat mengetahuinya, kata peguam itu. – Agensi

Kegagalan Kedua Kapal Sukarelawan Hantar Bantuan Ke Gaza


Israel tawan Rachel Corrie

pix_gal0
19 aktivis selamat, kapal ditunda ke pelabuhan Ashdod di selatan Israel

KUALA LUMPUR: MV Rachel Corrie, kapal terakhir membawa misi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang dikepung Israel, bersama sekumpulan aktivis damai yang turut disertai enam rakyat Malaysia ditawan tentera Israel kira-kira jam 2.45 petang, semalam.

Kapal berkenaan yang dalam perjalanan menuju Gaza membawa pelbagai barangan bantuan seperti keperluan perubatan, kerusi roda, peralatan sekolah dan bahan binaan seberat 1,500 tan, kemudian diiringi ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel oleh kapal tentera laut milik rejim Zionis itu.

Semua 19 aktivis yang berada di atas Rachel Corrie ketika ditawan tidak diapa-apakan oleh tentera Israel.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata semua rakyat Malaysia yang kini ditahan Israel dilaporkan selamat dan kerajaan akan terus memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, mereka yang berada di atas kapal itu terdiri daripada tiga sukarelawan mewakili Perdana Global Peace Organisation (PGPO) iaitu Matthias Chang, Shamsul Akmar Musa Kamal dan Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, selain mereka, turut berada dalam kapal itu ialah Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, wartawan TV3, Halim Mohamed bersama jurukamera, Mohd Jufri Judin.
“Semua aktivis damai itu meneruskan usaha untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Palestin selepas kapal Mavi Marmara gagal dalam misinya selepas diserang tentera Israel, Ahad minggu lalu.


Sementara itu, Penasihat PGPO, Datuk Mukhriz Mahathir mengesahkan Rachel Corrie sudah ditunda dari perairan antarabangsa untuk ke Ashdod.


“Tindakan itu dilakukan tanpa persetujuan penumpang di atas Rachel Corrie dan ia satu tindakan paksaan yang dibuat ke atas kapal itu dengan matlamat untuk menggagalkan usaha menghantar bekalan ubat-ubatan atas dasar kemanusiaan.

“Kita sebelum ini pun tidak pernah mengiktiraf kependudukan Israel ke atas Gaza apa yang dilakukan Israel (menunda Rachel Corrie) adalah satu pencabulan hak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Membebaskan Gaza (FGM), Huwaida Arraf yang dihubungi di Palestin, berkata pihaknya juga gagal mendapatkan maklumat keadaan terkini Rachel Corrie.

======================================

6 sukarelawan negara misi Rachel Corrie akan dibebaskan 6 petang ini


2010/06/06

SEPANG: Enam sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan kapal MV Rachel Corrie yang ditawan tentera Israel semalam akan dibebas dan dihantar ke Jordan jam 6 petang ini.

Perkara ini diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sidang media di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebentar tadi.
"Kementerian Luar Jordan sudah memaklumkan kepada Kedutaan Malaysia bahawa mereka akan di hantar ke King Hussein Bridge pada 12 tengah hari (6 petang waktu malaysia)," katanya.










5.6.10

Planet dihentam objek misteri

Planet Musytari dihentam objek misteri


GAMBAR yang dirakamkan Anthony Wesley menunjukkan satu objek misteri (dalam bulatan) menghentam planet Musytari kelmarin.


LOS ANGELES - Planet Musytari dihentam lagi oleh sebuah objek misteri kelmarin.

Seorang ahli astronomi amatur, Anthony Wesley di Australia melaporkan dia menyaksikan satu cahaya terang dari sebuah objek yang menghentam planet itu.

Pengakuan itu turut disahkan lagi oleh seorang lagi ahli astronomi amatur dari Filipina.

Menurut Wesley, cahaya bebola api itu berlangsung selama dua saat.

Planet Musytari merupakan planet kelima mengelilingi matahari dan terbesar dalam sistem solar.

Pada tahun lalu, dia mengesan satu kawah sebesar Lautan Pasifik dekat Kutub Selatan planet tersebut yang dipercayai disebabkan oleh hentaman sebuah asteroid.

Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik Amerika Syarikat (AS) kemudian menemui bukti bahawa planet berkenaan dihentam sebuah objek di Kutub Selatan. - Agensi

3.6.10

PENGALAMAN 12 SUKARELAWAN MALAYSIA DI PENJARA ISRAEL...

‘Kami dilayan seperti penjenayah’


KAPAL Rachel Corrie kini meneruskan pelayaran dan dijangka tiba ke Gaza hari ini biarpun menghadapi halangan pihak berkuasa Israel.


KUALA LUMPUR – “Kami ditahan seperti penjenayah perang selama 28 jam di penjara Israel.” Itu pengalaman yang tidak mungkin dilupakan oleh 12 sukarelawan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Israel selepas kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza ‘Mavi Marmara’ diserang tentera Israel di perairan antarabangsa tiga hari lepas.

Menurut Ketua Misi Sukarelawan Malaysia, Noorazman Mohd. Samsuddin, mereka tidak boleh bergerak bebas sehinggakan hendak membuang air pun tidak dibenarkan.

“Bayangkanlah betapa azabnya keadaan kami pada ketika itu menghadapi kekejaman rejim Zionis,” katanya.

Wartawan penyiaran Astro Awani, Ashwad Ismail, 25, yang menyertai misi bantuan tersebut juga turut menceritakan bagaimana dia cemas selepas terpisah dengan jurukamera, Samsulkamal Abdul Latip selepas serangan komando Yahudi tersebut.

Katanya, kedua-dua mereka terpisah selepas ditahan dan digari oleh tentera Israel, dan hanya ditemukan selepas dibebaskan di sempadan Israel-Jordan semalam.

“Layanan diterima dalam tempoh 28 jam itu menggambarkan konflik enam dekad dialami rakyat Palestin yang tertindas,” katanya.


===============


Aktivis Gaza digari ke bilik air


SEBAHAGIAN aktivis misi bantuan ke Gaza yang dibebaskan Israel menaiki sebuah bas ke Jordan semalam.


BANDAR KUWAIT - Seramai 18 orang aktivis warga Kuwait yang dibebaskan semalam selepas ditangkap pihak berkuasa Israel pada Isnin lalu dalam serangan di sebuah kapal bantuan ke Gaza mendakwa pasukan komando rejim Zionis melepaskan tembakan tanpa memberi sebarang amaran.

Aktivis-aktivis itu termasuk seorang Ahli Parlimen Kuwait, Waleed al-Tabtabai dan enam orang wanita diterbangkan menggunakan sebuah pesawat kerajaan Kuwait dari Jordan selepas mereka keluar dari Israel dengan menaiki bas semalam.

Beliau memberitahu, sekurang-kurangnya dua aktivis bantuan kemanusiaan mati akibat ditembak komando Israel dari bot dan helikopter.

"Komando Israel naik ke atas bot selepas berlakunya pembunuhan. Kami melawan dengan menggunakan tangan untuk mempertahankan diri kerana tidak mempunyai senjata. Ini adalah jenayah seperti lanun," katanya.

Sementara itu, seorang peguam, Mubarak al-Mutawa yang turut berada di atas kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza, Mavi Marmara berkata: "Komando-komando Israel mula melepaskan tembakan tanpa memberi amaran. Mereka (komando-komando itu) telah membunuh beberapa orang sukarelawan sebelum beberapa komando lagi mendarat di atas kapal," kata seorang peguam, Mubarak al-Mutawa yang turut berada di atas kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza, Mavi Marmara.

Seorang aktivis muda, Ali Buhamd mendakwa dia melihat seorang askar Israel menembak kepala seorang warga Turki yang cedera.

Askar itu juga membiarkan seorang lagi warga Turki yang cedera mati akibat pendarahan.

Namun, Israel menyalahkan aktivis-aktivis di atas kapal Mavi Marmara ekoran insiden serbuan di perairan antarabangsa itu dengan menyatakan anggota-anggota tentera diserang terlebih dahulu.

Pihak Israel mendakwa anggota-anggota tentera diserang sebaik sahaja mendarat di kapal yang menyebabkan seramai sembilan orang terbunuh.

"Saya boleh pastikan bahawa tiada siapa pun daripada sukarelawan ini memiliki senjata api.

"Kami tidak bersenjata selain daripada peralatan dapur. Sukarelawan tidak memulakan sebarang tentangan," kata Mubarak.

Dua orang aktivis wanita, al-Abduljader dan Senan al-Ahmad memberitahu mereka telah digari dan dilayan dengan buruk oleh pihak berkuasa Israel selain terpaksa ke bilik air dengan tangan masih bergari di sebuah penjara.

Insiden yang berlaku pada awal pagi itu di Laut Mediterranean telah mencetuskan kritikan antarabangsa terhadap Israel.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tunduk pada tekanan antarabangsa apabila 680 aktivis dari pelbagai negara asing yang ditahan selepas serangan ke atas enam buah kapal bantuan Gaza pada Isnin lalu dibebaskan dan diusir dari negara berkenaan semalam.

Sebelum dibebaskan, mereka ditahan di sebuah penjara di selatan Israel.

Keputusan untuk membebaskan aktivis-aktivis asing itu dibuat oleh Perdana Menteri Israel pada malam kelmarin. - Agensi


===================

Sebab Israel bebaskan aktivis asing


GAMBAR menunjukkan salah sebuah kapal misi bantuan ke Gaza yang ditahan Israel di Pelabuhan Ashdod kelmarin.


TEL AVIV – Peguam Negara Israel, Yehuda Weinstein semalam menyatakan pihaknya memutuskan untuk tidak menghukum semua aktivis-aktivis asing yang ditahan dalam serbuan komando ke atas konvoi kapal misi bantuan ke Gaza pada Isnin lalu

Menurutnya, menahan semua aktivis asing itu akan hanya membawa banyak kesan buruk terhadap kepentingan negara tersebut.

Sebelum ini rejim Zionis itu dikutuk oleh masyarakat antarabangsa selepas anggota-anggota komando membuat serbuan ke atas enam buah kapal bantuan ke Gaza. – Agensi

==========

8 jam rasai azab Palestin
Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my
2010/06/03

ASHWAD menghubungi Kuala Lumpur sejurus tiba di  Jordan, semalam.
ASHWAD menghubungi Kuala Lumpur sejurus tiba di Jordan, semalam.
  • Diacu laser raifal ke dahi
  • Merangkak celah mayat
  • Tak diberi makan, minum
  • Tangan diikat sampai kebas

    KUALA LUMPUR: Diacu raifal dengan laser senjata disasarkan ke dahi dan terpaksa merangkak di celah mayat bergelimpangan serta berlumuran darah, adalah antara episod ngeri yang dilalui wartawan penyiaran Astro Awani, Ashwad Ismail, dalam serangan tentera Israel ke atas kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, Ahad lalu.

  • Ashwad yang menyertai misi itu bersama jurukamera, Samsul Kamal Abdul Latip dan 10 rakyat Malaysia lain, turut menceritakan layanan buruk tentera Israel terhadap mereka sepanjang ditahan sebelum dibebaskan, kelmarin.

    Berikut adalah rentetan pengalaman yang diceritakan Ashwad ketika dihubungi Berita Harian, beberapa jam selepas beliau tiba di Amman, Jordan, semalam.

    “Tempoh 28 jam diserang dan ditawan tentera Israel dalam kapal sudah cukup untuk saya merasai penderitaan enam dekad warga Palestin berdepan dengan kekejaman regim Yahudi itu. Perasaan takut, marah dan panik bercampur baur, apatah lagi apabila terpaksa berdepan senjata mereka yang setiap saat diacu ke arah kami.
    Episod ngeri itu bermula pada jam 4.30 pagi (waktu Turki) Ahad lalu, sejurus kapal Mavi Marmara memasuki perairan antarabangsa apabila tiga kapal perang Israel yang diiringi 16 bot laju komando mengepung kapal kami.

    Tidak ada jalan lain untuk menghalang mereka menaiki kapal, melainkan penjaga keselamatan kapal terpaksa menyembur air ke arah mereka. Itupun tidaklah sekuat mana, berbeza sekali dengan dakwaan media Barat yang mendakwa Mavi Marmara memulakan serangan ke atas tentera Israel.

    Selama hampir satu jam kami bergelut menghalang mereka menawan kapal sebelum kemuncaknya apabila tiga helikopter menurunkan komando di lokasi siaran langsung televisyen sedang dijalankan di mana pada ketika itu dianggarkan antara 30 hingga 40 komando Israel bertindak melepaskan tembakan rambang secara bertubi-tubi bagi mengosongkan kawasan itu.

    Siapa yang berani berdepan situasi sebegitu, apatah lagi ia adalah pengalaman ngeri pertama sepanjang saya bertugas sebagai media, terutama apabila melihat sendiri beberapa rakan serombongan tumbang terkena peluru sesat.

    Malah, lebih menakutkan apabila sasaran serangan mereka dilihat tidak mengira siapa termasuk wartawan dan jurugambar. Ada beberapa jurugambar ditembak di tangan untuk memaksa mereka melepaskan kamera.

    Saya dan beberapa rakan lain ketika itu hanya mampu berlindung di sebalik tiang kapal dan berlari ke sana sini bagi mengelak terkena tembakan sebelum terpaku apabila cahaya laser senjata mereka disasarkan ke dahi saya.

    Sukar digambarkan betapa saya terpaksa merangkak di celah mayat bergelimpangan dan berlumuran darah untuk menyelamatkan diri selepas seorang penumpang kapal di sebelah saya ditembak dengan peluru getah di dada.

    Kira-kira jam 7 pagi, kami semua diikat di tangan dan diarah berkumpul di satu kawasan dalam kapal. Keadaan ketika itu tegang dengan perasaan takut menyelubungi wajah semua tawanan apatah lagi muncung senjata tentera Israel sentiasa diacu ke arah kami.

    Sejak itu, kami langsung tidak diberi makan atau minum, malah tidak dibenarkan ke tandas. Bayangkan beberapa warga emas, terutama yang menghidap diabetes terpaksa menahan sakit untuk membuang air kecil kerana ketegasan tentera Israel yang langsung tidak bersimpati terhadap mereka.

    Mujurlah, selepas berkali-kali dirayu, baru beberapa orang dibenarkan ke tandas, itupun dengan kawalan sangat ketat dan diperlakukan umpama banduan sedangkan mereka semua tidak berdaya dan sekadar orang awam yang tidak berbahaya.

    Ketika itu juga, semua kamera, komputer riba serta pen dirampas dan dihancurkan tentera Israel. Apa saja bahan yang merakamkan kejadian serangan itu, turut dihapuskan. Apa yang tinggal pada kami hanya dompet dan dokumen seperti pasport.

    Sakit di tangan juga mula terasa dan kebas seperti darah tidak mengalir kerana ikatan itu sangat kuat. Nak bergerak pun sukar kerana cahaya laser senjata mereka sentiasa disasar di dada kami. Bagi menghilangkan dahaga pula, kami terpaksa meminum sisa air dalam botol minuman berhampiran kami. Paling tak dapat dilupakan, satu bar Snickers dikongsi 30 orang untuk sekurang-kurangnya memberi sedikit tenaga.

    Sebaik kapal kami berlabuh di Ashdod, Israel, proses untuk keluar dari kapal saja mengambil masa hampir 12 jam. Habis semua pakaian kami ditanggalkan ketika pemeriksaan dibuat. Pemeriksaan semua dokumen itu saja mengambil masa lebih satu jam.

    Ketika itu, Tuhan saja yang tahu betapa kasarnya tentera Israel memperlakukan kami meskipun sekadar orang awam. Sudahlah diperlakukan seumpama banduan, kami turut dibawa ke Be'er Sheva, lokasi penjara baru Israel menggunakan bas yang hanya sesuai untuk membawa pengganas dalam perjalanan selama dua jam.

    Be'er Sheva adalah penjara baru. Jadi, kami boleh dikatakan tahanan pertama yang merasmikannya. Selepas semua dokumen kami diserahkan kembali, barulah kami dapat merasa sedikit makanan, itupun hanya air mineral, sedikit sayur dan roti. Itu sajalah makanan yang dapat kami jamah sepanjang lebih 15 jam ditahan di penjara itu.

    Jika hendak digambarkan keganasan tentera Israel memang sukar, tetapi cukuplah sekadar dikatakan bahawa mereka langsung tidak ada belas kasihan, tidak peduli apa yang diminta walau puas dirayu dan herdikan mereka menjadi teman sepanjang kami ditawan.

    Layanan terhadap kami juga tak ubah seperti banduan. Ditolak ke sana sini dengan sangat kasar. Ketika itu, tiada perkara lain yang berlegar dalam kotak fikiran kecuali rasa marah dan berserah. Melihat kepada situasi yang kami hadapi itu, sukar untuk diagak sama ada kami bakal dibebaskan atau sebaliknya.

    Mulanya, kami menjangka akan lama merengkuk di penjara sehinggalah kami didatangi wakil dari Pertubuhan Palang Merah dan Kedutaan Jordan yang membawa berita gembira, iaitu kami akan dibebaskan tidak lama lagi.

    Tepat jam 8 pagi kelmarin kami dibebaskan tetapi terpaksa menjalani beberapa pemeriksaan sebelum dibenarkan menaiki bas pada jam 6.30 petang. Selepas perjalanan meletihkan hampir 12 jam, kami akhirnya sampai di sempadan Jordan dan dibawa ke sebuah hotel di Amman.

    ==========

    Dua isteri Dr Selamat, keluarga titis air mata gembira

    IPOH: Panggilan telefon ke tanah air tidak sampai seminit Dr Selamat Aliman, 54, seorang daripada 12 sukarelawan Misi Lifeline 4 Gaza (LL4G) selepas dibebaskan tentera Israel semalam, membuatkan dua isteri serta keluarganya menitiskan air mata kegembiraan.
    Selamat membuat panggilan kepada isteri pertamanya, Faezah Hassan, 52, jam 12.08 tengah hari selepas berada dalam tawanan tentera Israel lebih 28 jam.

    Faezah berkata, dalam perbualan singkat itu, suaminya hanya sempat memberitahu beliau selamat tetapi dalam keadaan sehelai sepinggang kerana semua pakaian serta peralatan termasuk komputer riba hilang.

    “Saya seolah-olah mati hidup semula sebaik mendapat panggilan telefon daripadanya. Berdasarkan perbualan itu saya tahu dia penat. Saya bersyukur kerana mengetahui dia selamat. Sebelum mendengar sendiri suaranya, hati saya tidak tenang. Justeru, tengah hari ini, saya mampu mengukir senyuman dengan lebih ikhlas berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Rapat Setia Baru, dekat sini semalam.

    Faezah berkata, dalam perbualan itu suaminya hanya sempat memaklumkan beliau dalam perjalanan ke Amman, Jordan, tetapi tidak dapat bercerita panjang kerana kesuntukan masa.

    Katanya, suaminya juga ada menghantar SMS pada jam 6.20 petang yang menyatakan “Abang dah sampai di Amman. Raja Jordan bagi hotel dan makan bagi semua peserta yang kena deport melalui Jordan. Malam ini ada perjumpaan dengan Menteri Luar (Datuk Anifah Aman). Belum tahu bila nak balik lagi, insya-Allah malam ini akan dibincang. Sekarang sedang cari baju nak ganti (baju) penjara, sehelai sepinggang. Bag, laptop, blackberry, kamera... ghaib. Doakan seterusnya.”
    Faezah mengucapkan penghargaan kepada semua pihak termasuk kerajaan dan warga Malaysia yang tidak putus-putus berdoa serta melakukan solat hajat bagi memastikan keselamatan suami serta rakan sukarelawan lain.

    Ditanya sama ada beliau akan membenarkan suaminya mengikuti misi seumpama itu pada masa depan, Faezah berkata, beliau bersama madunya, Norizan Lazim, 54, serta anak-anak tidak menghalang minat dan kehendak suaminya kerana misi kemanusiaan sejagat terutama membabitkan isu Palestin sudah sebati dalam dirinya.

    “Dia sangat tersentuh dengan isu kemanusiaan dan kesengsaraan masyarakat Palestin. Fokus utamanya kini adalah membantu dalam apa juga cara untuk membebaskan masyarakat itu dari belenggu dan kekejaman Israel," katanya.

    Di KUALA LUMPUR, isteri Hasanuddin Mohd Yunus, sukarelawan yang menyertai misi bantuan kemanusiaan itu bersyukur apabila mengetahui suaminya akan pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

    Sharifah Mahiza Syed Abdul Kadir, 47, berkata beliau mendapat panggilan daripada Hasanuddin tengah hari semalam yang mengatakan beliau serta semua rakyat Malaysia sedang dalam perjalanan ke Jordan sebelum pulang ke tanah air.

    “Saya menerima panggilan menyatakan mereka dalam perjalanan ke hotel di Jordan dan akan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi.

    Sharifah Mahiza yang turut dalam aktiviti keamanan sejagat bersyukur semua rakyat Malaysia selamat walaupun tidak dapat meneruskan misi ke sana.

    “Kita masih tidak tahu perancangan selanjutnya namun ini memperlihatkan sedikit sebanyak kejayaan misi kali ini sehingga Mesir dilapor bersetuju membuka sempadan Rafah bagi membolehkan bantuan dihantar ke Gaza. Kita berharap bantuan dapat disalurkan kepada rakyat Palestin secepat mungkin,” katanya.

    ============

    Jurukamera Astro diaib depan 60 tahanan selepas ditangkap bersembunyi

    KUALA LUMPUR: Hanya kerana memegang kamera video, jurukamera stesen televisyen Astro Awani, Samsul Kamal Abdul Latip, diarahkan oleh komando Israel supaya menanggalkan seluarnya di depan lebih 60 tahanan untuk pemeriksaan lanjut pada tubuhnya ketika kapal berlabuh di Haifa, Israel.
    Ketika diarahkan menanggalkan seluar, Samsul Kamal hanya menurut perintah tanpa memikirkan perasaan malu kerana terlalu takut dan hanya berlaku beberapa minit saja selepas komando yang memeriksanya gagal menemui sebarang peralatan mencurigakan.

    “Saya membiarkan saja mereka memegang dan menolak badan kerana hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri. Yang bermain di fikiran hanya keluarga di tanah air. Mereka merampas kamera video, komputer riba dan kad SIM telefon bimbit selepas tidak menemui alat lain,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di Jordan semalam.

    Beliau berkata, selepas mengenakan semula seluar, semua tahanan yang berada di tempat berkumpul selama dua jam setengah sebelum diarahkan turun dari kapal dan disumbat ke penjara.

    Menceritakan serangan itu, Samsul Kamal berkata, beliau sedang tidur dalam kabin dan mendengar letupan sebelum menjenguk ke arah tingkap kecil dan melihat berpuluh-puluh anggota tentera sedang menuruni tangga helikopter untuk mendarat atas kapal Mavi Marmara.

    “Saya dapat melihat lebih 30 bot laju mengepung kapal dan bersembunyi di bawah tempat duduk penumpang. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi saya kerana mereka dapat mengesan lokasi persembunyian dan diarahkan berkumpul di tingkat tiga kapal itu.
    “Pada masa itu, saya melihat anggota komando yang memakai pakaian kalis peluru, bertopeng dan bersenjata mengarahkan semua tahanan menyerahkan semua barang yang dipegang termasuk kamera video saya,” katanya.

    Samsul Kamal berkata, selepas diarahkan berkumpul, beliau tidak melihat kelibat wartawan kanan, Ashwad ismail, tetapi masih mengharapkan rakannya itu selamat.

    Katanya, ketika dalam penjara selama satu hari dua malam, beliau ditempatkan bersama dua lelaki warga Algeria dan hanya diberi makanan untuk mengalas perut seperti roti dan sup sayur.

    “Mereka melayan kami dengan baik dan tiada kekerasan. Saya sempat meminta mereka menyediakan segelas teh panas bagi menghilangkan dahaga dan mereka sediakan. Saya tidak bercakap sangat dengan anggota komando kerana tidak pandai berbahasa Arab, tetapi rakan warga Algeria mendakwa alasan utama kapal Mavi Marmara ditahan kerana ia memasuki kawasan perairan mereka,” katanya.

    Samsul Kamal yang terlalu rindu untuk menjejakkan kaki ke Malaysia bersyukur kerana selamat untuk meneruskan kehidupan bersama isteri, Salina Abdullah, 34, dan seorang anak lelaki, Zareif Zakwan, 11

    1.6.10

    Facebook n Youtube kena Block....bagaimana?

    UltraSurf

    Bagi sesiapa yang bekerja dgn kerajaan, akan selalu menghadapi masalah tidak dapat membuka laman web yang tertentu kerana ianya telah disekat.

    Kalau laman web seperti Facebook dan YouTube sahaja yang disekat, tak apalah. Namun sekatan adalah dibuat berdasarkan keyword, dan ia sangat menganggu anda dalam mencari maklumat di Internet.

    Jadi bagi mengatasi masalah ini, boleh menggunakan UltraSurf. Anda cuma perlu lancarkan UltraSurf, dan ia akan membuka satu Internet Explorer khas untuk anda melayari Internet.

    Jika anda ingin menggunakan UltraSurf dengan browser lain seperti Firefox, Chrome, atau Opera; anda cuma perlu menetapkan proxy bagi browser tersebut kepada – 127.0.0.1:9666

    UltraSurf ini juga berguna sekiranya anda tidak dapat membuka laman web tertentu (blog di via.my contohnya) kerana menggunakan IP yang dikongsi (Celcom Broadband, DiGi Broadband, dsb)

    Dapatkan UltraSurf di sini

    Bengkel Kepemimpinan KUIS 2010 Di Palm Garden Hotel

    Komando Israel serang kapal bantuan



    SEBUAH bot tentera Israel mendekati sebuah kapal bantuan ke Gaza pada waktu pagi semalam.


    BAITULMAQDIS – Sebanyak 19 orang terbunuh kebanyakannya rakyat Turki manakala berpuluh-puluh yang lain cedera selepas anggota-anggota komando Israel menyerbu enam buah kapal yang membawa beratus-ratus aktivis pro-Palestin yang sedang dalam misi menghantar bantuan termasuk dari Malaysia kepada penduduk Palestin di Genting Gaza semalam.

    Operasi ketenteraan di perairan antarabangsa dekat dengan pesisir pantai Gaza itu bukan sahaja bertukar menjadi mimpi ngeri bagi Israel berikutan ia menjejaskan reputasi negara berkenaan di kaca mata masyarakat antarabangsa, bahkan ia memburukkan lagi hubungan tegang negara itu dengan dengan sekutunya, Turki serta membuka mata dunia terhadap penderitaan penduduk Gaza.

    Kedua-dua belah pihak memberi kenyataan bercanggah berhubung apa yang berlaku pada hari kejadian.

    Seorang wartawan di dalam salah sebuah kapal misi bantuan itu berkata, anggota-anggota komando Israel melepaskan tembakan sebelum menaiki kapal mereka tetapi pihak Israel memberi alasan kononnya mereka hanya melepaskan tembakan setelah diserang aktivis-aktivis berkenaan dengan menggunakan kayu, pisau dan senjata api.

    Ketika kejadian, aktivis-aktivis itu sedang menuju ke Gaza bagi mengalih perhatian dunia terhadap sekatan laut selama tiga tahun yang dikuatkuasakan Israel selepas Hamas mengambil alih kuasa di wilayah berkenaan.

    “Sungguh menjijikkan kerana mereka (pasukan komando Israel) menceroboh kapal dan menyerang orang awam. Kami adalah orang awam,” kata jurucakap Gerakan Membebaskan Gaza, Greta Berlin, yang menganjurkan misi armada bantuan tersebut.

    Bercakap dari pulau Cyprus di timur luat Mediterranean, wanita itu berkata, dia terputus hubungan dengan armada kecil itu ada pukul 3.30 pagi waktu tempatan.

    Israel sebelum ini mengisytiharkan untuk tidak membenarkan kapal-kapal itu sampai ke Gaza.

    Menurut seorang aktivis Palestin di Greece yang terbabit dalam misi bantuan tersebut, pasukan komando Israel menyerbu semasa bot dan sebuah kapal itu berada di perairan antarabangsa setelah mengarahkan misi berkenaan berhenti kira-kira 130 kilometer dari perairan Gaza.

    Sebuah laman web Turki menunjukkan rakaman video keadaan huru-hara di atas kapal itu dengan aktivis-aktivis memakai jaket keselamatan berlari-lari di dalam kapal manakala sesetengahnya cuba membantu seorang rakan mereka yang tidak sedarkan diri di atas dek.

    Laman web berkenaan turut menunjukkan sebuah helikopter Israel sedang berlegar di atas kapal itu dan beberapa kapal perang Israel yang berada berdekatan.

    Kapal-kapal misi bantuan itu kemudian ditunda ke pelabuhan Ashdod di Israel manakala mangsa-mangsa cedera dibawa keluar dengan helikopter bagi menerima rawatan di hospital-hospital Israel.

    Setakat ini, tiada maklumat mengenai identiti mangsa yang terbunuh atau cedera mahupun keadaan beberapa individu berprofil tinggi di atas kapal-kapal tersebut termasuk pemenang Hadiah Nobel Keamanan 1976, Mairead Corrigan Maguire dari Ireland Utara, beberapa wakil rakyat Eropah dan mangsa yang terselamat dalam kejadian pembunuhan besar-besaran kaum Yahudi oleh tentera Nazi, Hedy Epstein, 85.

    Semua telefon satelit di atas kapal-kapal itu dimatikan dan komunikasi dengan sekumpulan kecil wartawan yang menyertai tentera Israel turut disekat.

    Gerakan Membebaskan Gaza adalah sebuah pertubuhan antarabangsa yang mendakwa sekatan terhadap Gaza tidak adil dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. – AP

    ======================================

    KUALA LUMPUR: “Sejak tengah malam semalam (kelmarin) saya cuba hubungi suami tapi tak dapat. Alhamdulillah, jam 6 petang tadi (semalam), suami hubungi dan beritahu dia selamat,” kata Dr Yuhanis Fazlina Fazil, 36.

    Suaminya, Ahli Parlimen kawasan Parit, Mohd Nizar Zakaria, 41, adalah seorang daripada anggota konvoi misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza membabitkan enam kapal dan sebuah daripada kapal berkenaan, Mavi Marmala diserang komando tentera laut Israel jam 10.30 pagi (waktu Malaysia) semalam. Dr Yuhanis berkata, dalam perbualan telefon kira-kira 10 minit itu, Mohd Nizar memberitahu dia sudah dimaklumkan bahawa Israel akan menyerang kapal misi bantuan terbabit.


    “Kami hanya dapat berbual seketika. Perkara pertama suami beritahu ialah kapal Rachel Corrie yang dinaikinya bersama dua petugas TV3 tidak terbabit dalam serangan itu.


    “Suami juga memaklumkan tak mengetahui status kedudukan kapal dinaikinya ketika itu...dia kata hanya di kelilingi laut. Ke mana arah perjalanan selepas ini sama ada meneruskan misi atau berpatah balik juga tidak diketahuinya,” katanya.


    Dr Yuhanis berkata, suaminya sempat bertanya mengenai bayi lelaki mereka, Mohd Nursharir yang belum pun sebulan usianya ketika Mohd Nizar menyertai misi Perdana Global Peace Organisation (PGPO) pada 22 Mei lalu.


    Sementara itu, jurucakap TV3 ketika dihubungi berkata, kapal Rachel Corrie yang membawa wartawan Halim Mohamed dan jurukamera Mohd Jufri Judin terselamat daripada serangan itu disebabkan tertinggal jauh di belakang.


    “Sebelum ini, kapal terbabit terpaksa memperlahankan kelajuan kerana menghadapi masalah teknikal.


    “Kapal terbabit belum sempat memasuki perairan Gaza ketika serangan Israel terhadap kapal Turki Mavi Marmara yang sudah berada jauh di hadapan,” katanya.

    =======================================================

    Flotila bantuan tak bawa senjata

    KUALA LUMPUR 31 Mei - Salah seorang aktivis pro-Palestin dari Malaysia yang menyertai 'Flotila Pembebasan' membawa bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza menafikan aktivis pro-Palestin yang menaiki kapal Mavi Marmara membawa senjata.

    Seorang wakil delegasi Malaysia daripada Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Shamsul Akmar Musa Kamal ketika menghubungi Utusan Malaysia hari ini berkata, tidak ada seorangpun aktivis mahupun kapal-kapal yang menyertai 'Flotila Pembebasan' ke Gaza membawa senjata.

    ''Setiap kapal yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ini telah diperiksa setiap kali sampai di pelabuhan-pelabuhan negara-negara terbabit.

    ''Kami (kapal-kapal) telah diperiksa dengan ketat semasa tiba di Ireland, Cyprus, Gilbralta dan Malta,'' katanya.

    Beliau berkata, Israel sengaja menggunakan alasan itu untuk menyerang kapal Mavi Marmara.

    Shamsul Akmar yang menaiki kapal Rachel Corrie menyertai konvoi kapal-kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza itu kini berada di belakang setelah kapal itu terlewat berlepas dari Malta apabila pihak berkuasa Cyprus enggan memberi kebenaran kepada kapal tersebut berlepas melalui pelabuhannya.

    ''Kami terlewat berlepas kerana terpaksa menggunakan laluan dari Malta untuk berlepas setelah Cyprus enggan membenarkan kami berlepas dari pelabuhannya,'' kata beliau.

    Menurutnya, kapal Rachel Corrie yang mereka naiki berlepas malam tadi dan kini berada 800 batu nautika dari Gaza.

    ''Kapal kami kini berada di Laut Mediterranean pada pukul 11 pagi (kira-kira pukul lima petang waktu Malaysia) pada jarak 800 batu nautika dari Gaza,'' katanya.

    Shamsul Akmar berkata, kapal Rachel Corrie dijangka tiba dalam masa dua hari lagi bersama dua lagi kapal Challenger 1 dan Challenger 2 yang bertolak lebih awal.

    Beliau berkata, semua kapal yang menyertai misi itu tidak membawa senjata kerana misi turut disertai seorang tokoh Nobel Keamanan, Mairead Corrigan Maguire dari Ireland dan bekas Penolong Setiausaha Agung PBB, Denis Halliday.

    Menurutnya, sebanyak sembilan kapal menyertai flotila tersebut bersama-sama 700 aktivis pro-Palestin.

    Beliau melahirkan rasa sedih dengan berita kapal Mavi Marmara diserang tentera Israel dan mendoakan aktivis pro-Palestin yang lain yang berada di atas kapal itu selamat.

    Menurutnya, terdapat empat wakil Malaysia dalam kapal Turki itu termasuk dua wartawan Malaysia.

    Seramai 16 aktivis pro-Palestin terkorban dalam serangan tentera Israel itu pagi ini waktu tempatan. - Utusan


    ======================================================


    Flotila Gaza diserang Israel


    Kapal Mavi Marmara


    BAITULMAQDIS 31 Mei - Sekurang-kurangnya 19 terkorban dan 30 lagi cedera apabila komando Israel hari ini menyerang flotila yang membawa beratus-ratus aktivis pro-Palestin dalam misi bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza, setelah mendakwa mereka menghadapi tentangan tidak disangka-sangka ketika menaiki kapal tersebut.

    Sebuah badan amal Turki menyatakan bahawa kebanyakan mangsa yang maut terdiri daripada rakyat negara itu.

    Kedua-dua belah pihak memberi maklumat berbeza-beza tentang apa yang berlaku dengan rejim Zionis mengarahkan semua maklumat berhubung mangsa yang cedera atau terbunuh dalam operasi kejam itu dihalang daripada disebarkan.

    Berita terkini yang diperolehi menerusi khidmat pesanan ringkas daripada konvoi Life Line for Gaza (LL4G) dari Malaysia menyatakan bahawa satu daripada enam kapal dalam misi itu, Mavi Marmara telah diserang oleh helikopter tentera Israel pada pukul tujuh pagi waktu Mekah (kira-kira pukul 12 tengah hari waktu Malaysia).

    Persoalan masih berlegar mengenai nasib penerima anugerah Nobel Keamanan 1976, Mairead Corrigan Maguire dari Ireland Utara dan ahli Parlimen Eropah yang juga bangsa Yahudi yang terselamat dari Holocaust, Hedy Epstein, 85.

    Sementara itu, nasib wartawan Malaysia dari saluran Astro Awani, Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Latip masih belum diketahui, namun enam lagi rakyat Malaysia lain berada dalam keadaan selamat.

    'Flotila Pembebasan' itu menuju ke Gaza dalam misi untuk menarik perhatian dunia mengenai kepungan selama tiga tahun rejim Zionis ke atas wilayah Palestin itu selepas pergerakan Hamas mengambil alih kuasa di sana.

    Kumpulan kapal itu mula menuju Gaza dari perairan antarabangsa Cyprus pada pukul tiga petang (pukul lapan malam tadi waktu Malaysia), dengan harapan dapat memasuki perairan Gaza pada waktu siang,

    Enam jam selepas bertolak, tiga bot peluru berpandu Israel meninggalkan bandar Haifa untuk memintas flotila itu.

    "Amat menjelikkan bila mereka naik ke atas kapal dan menyerang orang awam. Kami adalah orang awam," kata jurucakap pergerakan Free Gaza, Greta Berlin yang menganjurkan flotila itu.

    Hamas hari ini turut menyeru negara-negara Arab dan umat Islam 'bangkit' mengadakan protes di hadapan Kedutaan Israel di seluruh dunia bagi membantah tindakan pasukan tentera laut rejim Zionis Israel itu,

    Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengutuk serangan itu dan menyifatkannya sebagai 'pembunuhan besar-besaran' sementara Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa menyifatkan ia sebagai 'jenayah' ke atas misi kemanusiaan.

    Moussa juga meminta mesyuarat tergempar diadakan bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil oleh badan yang dianggotai 22 negara Arab itu terhadap 'tindakan pengganas' Israel ke atas flotila bantuan antarabangsa itu.

    Flotila tiga kapal kargo dan tiga kapal penumpang itu mengangkut 10,000 tan bahan bantuan dan 700 aktivis yang dilarang oleh rejim Zionis seperti simen dan bahan-bahan pembinaan lain.

    Ini adalah kali kesembilan pergerakan Bebaskan Gaza cuba membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak Ogos 2008.

    Israel membenarkan kapal seumpamanya masuk lima kali tetapi telah menarik balik kebenaran itu daripada memasuki perairan Gaza sejak serangan ketenteraan Zionis ke atas Gaza pada Disember 2008 hingga Januari 2009. - AFP/AP/Utusan

    =========================================================


    EU desak siasatan segera kematian aktivis pro-Palestin

    BRUSSELS 31 Mei - Kesatuan Eropah (EU) menuntut diadakan siasatan segera mengenai kematian aktivis di atas kapal bantuan kemanusiaan Palestin yang dirampas tentera Israel hari ini dan mahu rejim tersebut membenarkan laluan bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza.

    EU juga memanggil satu mesyuarat tergempar negara-negara ahli ke Brussel bagi membincangkan insiden tersebut yang mengorbankan sekurang-kurangnya 19 nyawa selepas enam kapal cuba melepasi sekatan Israel ke atas wilayah yang dikuasai pejuang Islam Palestin.

    "Perwakilan Tinggi Catherine Ashton melahirkan rasa kekesalan terhadap berita korban nyawa dan keganasan yang berlaku serta menyatakan rasa simpati beliau kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera," kata jurucakap Ashton yang merupakan Ketua Polisi Luar EU.

    "Bagi pihak EU, beliau meminta supaya satu inkuiri penuh diadakan bagi menyiasat bagaimana ia boleh terjadi."

    Jurucakap tersebut berkata, Ashton juga mengulangi pendirian EU berhubung penutupan Gaza dengan mengatakan ia tidak boleh diterima dan tidak meningkatkan produktiviti dari segi politik.

    Beliau menyeru Israel membuka laluan untuk bantuan kemanusiaan, barangan komersial dan laluan orang ramai keluar dan masuk ke Gaza dengan segera, secara berterusan dan tanpa bersyarat.

    Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu membatalkan pertemuannya dengan Presiden Barack Obama di Washington esok, berikutan tindakan keras tentera Zionis ke atas kapal kemanusiaan menuju ke Gaza hari ini.

    "Netanyahu memutuskan untuk memendekkan lawatannya ke Kanada dan pulang lebih awal ke Israel,'' menurut kenyataan kerajaan rejim Zionis. Netanyahu berada di Kanada sejak Jumaat. - REUTERS


    ====================================================

    Israel bunuh aktivis misi Gaza


    2010/06/01

    KOMBINASI gambar (atas) menunjukkan salah sebuah kapal yang  mengambil bahagian dalam misi bantuan antarabangsa membentuk armada  ‘Freedom Flotilla’ ke Gaza. Gambar bawah menunjukkan  helikopter Israel terbang dekat kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan  untuk penduduk Gaza. Foto sebelahnya pula dirakam saluran televisyen  Turki menyaksikan tentera laut Israel mendekati kapal aktivis.
    KOMBINASI gambar (atas) menunjukkan salah sebuah kapal yang mengambil bahagian dalam misi bantuan antarabangsa membentuk armada ‘Freedom Flotilla’ ke Gaza. Gambar bawah menunjukkan helikopter Israel terbang dekat kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan untuk penduduk Gaza. Foto sebelahnya pula dirakam saluran televisyen Turki menyaksikan tentera laut Israel mendekati kapal aktivis.
    Komando Yahudi gempur enam kapal bantuan bawa bekalan kemanusiaan

    ASHDOD: Komando Israel menyerbu beberapa kapal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza awal semalam menyebabkan 19 orang maut dan 36 lagi cedera, kebanyakannya aktivis Turki sekali gus mencetuskan krisis diplomatik antarabangsa.
    Anehnya, Israel menyalahkan aktivis kerana mencetuskan keganasan hingga membawa kematian menyebabkan aktivis memberi keterangan bagaimana ia berlaku di perairan antarabangsa.

    Rakaman secara langsung sebuah bot Turki yang boleh dilihat di internet, menunjukkan komando berpakaian hitam Israel turun dari helikopter dan menyerang aktivis.

    “Ketika keadaan masih gelap, komando Israel turun dari helikopter ke kapal Mavi Marmara dan terus melepaskan tembakan sebaik menjejakkan kaki di dek,” menurut laporan laman web Pergerakan Bebaskan Gaza.

    Rakaman itu menunjukkan keadaan kacau bilau dengan beberapa bot peronda Israel berada tidak jauh dari situ.

    Tentera Israel, bagaimanapun, mendakwa askarnya hanya menembak selepas diserang dengan pisau, cotar dan tembakan peluru hidup.
    “Kesan daripada keadaan itu anggota tentera laut menggunakan kekerasan termasuk melepaskan tembakan,” menurut jawapan tentera Yahudi itu.

    Apapun, Israel tetap mempersalah aktivis damai terbabit.

    “Mereka yang memulakan keganasan. Kami berusaha sedaya upaya mengelakkannya. Tetapi askar kami diserang dengan pisau, besi serta ditembak,” kata jurucakap Netanyahu, Mark Regev.

    Antara yang cedera termasuk komando laut Israel, dua daripada mereka parah dan tiga lagi semakin pulih.

    Ketika butir-butir pertumpahan darah itu mula diketahui umum, sebuah bot tentera Israel dilihat mengiringi kapal besar berwarna putih dan sebuah lagi kapal lebih kecil masuk ke pelabuhan Ashdod.

    Lelaki berpakaian hitam dilihat di dek bot lebih besar dipercayai kapal penumpang. Laporan media menyatakan, seorang pemimpin Arab, Raed Salah juga cedera dalam kejadian itu.

    Presiden Palestin, Mahmud Abbas menyifatkan korban serangan di perairan antarabangsa itu sebagai mangsa pembunuhan beramai-ramai Yahudi dan mengumumkan tempoh berkabung tiga hari.

    “Kita perlu ambil keputusan yang sukar hari ini,” kata seorang pegawainya di televisyen tanpa menjelaskan lebih lanjut.

    Pihak Berkuasa Palestin (PA) juga menggesa diadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membincangkan tindakan umpama lanun, jenayah dan pembunuhan oleh Israel, kata ketua perunding, Saeb Erakat.

    Selain itu, masyarakat Arab Israel juga menyarankan mogok diadakan sebagai membantah operasi laut Yahudi itu selain melancarkan protes.

    Berikutan itu, beratus-ratus orang daripada pelbagai peringkat politik keluar beramai-ramai ke jalan raya di bandar Nazareth bagi membantah serangan berkenaan.

    Pergerakan Hamas pula meminta PA berhenti berunding dengan Israel kerana melakukan jenayah terkutuk itu, kata pemimpinnya, Ismail Haniyeh.